UNGU KARMILA : CERMIN LUKA

Akhirnya muncul juga buah tangan terbaru dari Ramlee Awang Mursyid. Melihat sendiri beliau menandatangani novel-novel untuk dikirim pada peminatnya sewaktu Pesta Buku Alaf21 yang lalu, saya pasti ramai yang akan teruja dan merindui sentuhan terbaru beliau. Mungkin sudah ada yang bertanya, apa sesudah Ungu Karmila?

Mengapa saya mengandaikan novel ini sebagai cermin luka? Jika anda membacanya pasti anda faham. Novel ini diisi dengan kehidupan kini yang sentiasa bermain dengan kata hati yang tidak pernah mati dan berebut dengan takdir.

Meneroka dan menghayati novel ini, umpama merungkai permasalahan peribadi sendiri. Gelora di hati yang tidak menentu memaksa diri ditelanjangi dan akhirnya nadi terhenti. Salah siapa jika tersilap menghitung hari jika kita tidak berani menegak kebenaran hakiki.

Sketsa kehidupan rumahtangga Arif dan Karmila yang berbunga indah menjadi gerhana akibat penemuan yang tidak disangka. Kedegilan Arif menjejak kaki ke taman larangan membawa padah yang tidak diduga. Namun penemuan itu adalah sesuatu yang dibanggakan oleh Arif. Begitu juga Karmila yang berharap hubungan runcing mereka dapat dipulihkan dengan kehadiran bunga cantik yang pelik itu. Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan malah ia umpama mimpi ngeri yang akhirnya meragut nyawa ramai orang.

Kepercayaan dan pantang larang orang asli memang masih menebal di kalangan mereka apatah lagi sekiranya dia adalah orang yang dihormati dalam puak tersebut. Tok Batin cukup menjaga segala pantang larang tersebut dan amat marah dengan sikap Arif yang tdak menghormati larangan beliau. Bagi Tok Batin segala kejadian adalah berpunca dari sikap Arif yang degil ditambah lagi kematian Jikon, semua kesalahan terus diletak dibahu Arif.

Pertemuan antara bekas banduan, Dino dan Bado, ahli Peneroka Alam Ghaib, menambah kekusutan yang ada. Bado yang mempunyai sejarah silam dengan Dino kian mendendaminya. Walau Dino bersikap tenang, tapi gelaran ‘bekas banduan’ menghantui Winda dan Salmi. Keadaan bertambah gawat sebaik mereka masuk ke villa tersebut. Satu demi satu nyawa diragut. Ema, gadis kaum asli yang teruja menyelesaikan tandatanya kematian abangnya Jikon, turut sama menerima padah ‘badi’ villa tersebut. Apa terjadi pada dia? Bagaimana keadaan Dr Ismadi yang amat menyintai beliau hingga turut sama menjejaki Ema ke villa misteri tersebut?

Saya begitu tertarik dengan ungkapan ‘Ia makan untuk hidup tapi tidak pernah minum’. Ungkapan tersebut amat dalam dan unik. Mahu tahu maksudnya…sudah tentu anda akan dapat dalam novel ini.

Sekali anda membaca, anda akan terus membaca untuk mengetahui rentetan seterusnya. Saya gemar jalan ceritanya yang terselit unsur-unsur nasihat secara tidak langsung. Jerutan hidup yang kian sesak dan sempit, banyak memberi impak negatif pada corak hidup kini. Sewajarnya kita tidak lupa akan kehadiranNya yang sentiasa memandang kita dengan kasih sayang.

Saya terfikir bagaimana kiranya di dalam villa tersebut ada insan yang menguatkan diri dengan ingatan tulus padaNya, yang tidak tinggal solat dan sentiasa basah bibir dengan menyebutNya. Seorang insan yang ikhlas dan bersih. Adakah dia juga akan mengalami halunisasi hingga tahap membunuh seseorang? Atau adakah mungkin dia sekadar igauan dosa lama yang dilupai. Yang pasti bukan saya penulisnya.

Kata akhir dari saya.

Ia tidak makan dan minum tapi ujud dengan kasih sayang.

i.n.a

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati