Kekuatan pada novel KUMOHON KASIH persembahan Haiza Najwa adalah kesetiaan yang kental pada cinta dan sumpah pada janji. Walau bertahun ditinggal merana dan menderita, kasih yang membara tetap dipertahankan yang akhirnya menjadi dendam yang trajis.

Apa lagi yang tinggal pada wanita jika kesuciannya direnggut tanpa rela. kemudian ditinggalkan begitu saja dengan sumpah yang mengikat hati dan hidup wanita ini. Ayuni, gadis Kelantan yang teguh pendirian dan kuat berpegang pada janji walau janji itu akhirnya tidak ubah seperti mengusung nanah sepanjang hayat. Rindu yang sarat dan cinta yang mendalam memaksa dia menelan nista dan tohmahan. Dalam hati, hanya dia yang tahu betapa rakusnya insan bergelar kekasih merobek hati dan kesuciannya dengan kejam. Cintanya yang dijaga utuh kini bertukar menjadi dendam.

Ayuni menanti kekasihnya pulang untuk menunai janji untuk sehidup semati.
Namun kekasih yang didamba menghilangkan diri begitu saja tanpa pamitan. Hati kecilnya lebih terusik bila bayi itu dikata milik suaminya, Awang. Hingga apabila Awang diwartakan mati lemas di lautan, Ayuni kian kerap menanti di pantai. Mak Som, ibu Ayuni, hiba melihat anaknya yang dikatakan gila kerana menanti suami yang tidak kunjung tiba. Walhal dalam hati Ayuni kekasih yang didendami ditunggu selama ini.

Kemunculan Rozaimy memberi nafas baru pada keluarga miskin itu hingga akhirnya Ayuni menerima lamaran Rozaimy. Putra, anak Ayuni begitu rapat dengan Rozaimy. Cinta Rozaimy pada Ayuni begitu suci dan dalam namun dia terpaksa berkahwin dengan sepupu sendiri iaitu Salwarina atas nama keluarga.

Lalu muncullah satu demi satu masalah yang terpaksa dipikul Ayuni hingga dia mengidap amnesia akibat kemalangan selepas keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan penghinaan Salwarina. Ujian lebih hebat buat Rozaimy bila teman rapatnya,Firdaus berkahwin dengan Ayuni tanpa mengetahui siapa sebenarnya Ayuni dan lebih malang masih lagi menjadi isteri Rozaimy!

Keadaan kian runcing bila Firdaus sendiri memang mencintai Ayuni yang dipanggil Puteri. Perbalahan antara kedua sahabat ini menjadikan Firdaus sanggup melakukan apa saja bagi memiliki semula Ayuni.

Lebih malang bila Salwarina terjebak dalam perhubungan terlarang dengan seorang lagi sahabat baik Rozaimy. Kucar kacir jadinya hidup Rozaimy apatah lagi bila dia sering dihantui oleh keinginan Ayuni bertemu kekasihnya bagi melunasi dendamnya.

Siapakah kekasih Ayuni dan apa kaitan Rozaimy dengan lelaki yang dinanti oleh isterinya itu.

Mengapa tergamak Salwarina menjalin hubungan terlarang dengan Nazuan meski cintanya utuh untuk Rozaimy sejak kecil lagi?

Apakah yang telah dilakukan Firdaus hingga akhirnya Ayuni berjaya melunasi dendamnya terhadap kekasih hati yang dicintai?

Saya sarankan anda beli novel ini kerana sekali anda baca, anda akan cuba menghabiskannya.

Saya teruja dengan kekentalan cinta milik Ayuni dan Rozaimy. Bukan semudah itu menemui insan yang setia dan berani. Walau terlalu lewat Rozaimy melamar Ayuni namun kebahagiaan sentiasa dihati kerana wanita pujaannya telah ada di depan mata. Namun kesinambungan kesilapan lalu, menghalang kebahagiaan dikecapi setiap saat. Apapun janganlah tenggelam dalam sumpah sesama manusia yang akibatnya merana sepanjang hayat. Kesetiaan sewajrnya diberi pada suami dan lebih indah pada DIA.

Syabas untuk Haiza Najwa! Moga selepas ini dapat menghasilkan buah tangan lebih menarik dan mengujakan.

Akhir dari saya, cintailah ALLAH, kerana DIA tidak akan meninggalkan kita walau di saat kita dalam kesukaran.

Ina

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati