Syabas kepada Ayu Emelda di atas kelahiran novel beliau - Kasih Dania. Novel kali ini dihasilkan dengan kelainan yang tidak dijangka. Ya, lah sepanjang berpuluh tahun saya membaca novel-novel cinta, jarang saya berjumpa dengan kisah sedemikian rupa...kadang-kadang ia melucukan kerana banyak adengan kelakar yang berjaya diselitkan di dalamnya.
Yang membezakan ialah watak Dania di mana seorang perempuan berhati keras akhirnya lembut jua. Tu lah perempuan dah sinonim dengan sekerak-kerak nasi, akhirnya lembut jua. Tapi Dania ini tak lah drastik perubahannya. Ada logik juga. tetapi dia pandai menyesuaikan diri. Mula-mula tu memanglah Dania tu wataknya keras dan tak akan termakan dengan godaan sang suami, Budreez.
Akhirnya, mak oii...dia yang tak tahan menanggung rindu. Tapi saya respect lah si Dania ini kerana dia berubah demi amanah Allah s.w.t, kerana menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Perubahannya juga kerana perasaan yang baru tumbuh dalam hatinya. Tapi ada kalanya saya berasa marah dan geram dengan sikap Budreez ini. Inilah yang dikatakan lelaki, hati nak tetapi ego. Kerana ego sanggup membutakan mata dan memalsukan hati demi nak jaga maruah.
Si Maria ni pun satu, saya punyalah sakit hati rasa macam nak belasah jer perempuan macam dia. Sebab Burdreez dah buta mata hati, kejahatan Maria pun terselindung pandai dia menyorok dengan lakonan palsu semata-mata. Kali ini Ayu berjaya membuat hati pembaca seperti saya memberontak, melenting dan cepat melatah. Itu tandanya satu kepuasan kepada hasil penulisannya ini.
Ayu Emelda berjaya dengan garapannya yang bersahaja, santai dan menyentuh hati.
TAHNIAH Ayu... Keep on the good work!
Salam Sayang,
Rosha.
Archives
Dari kejauhan, tatkala bunga-bunga sudah mekar berkembang mekar, berwarna warna serta cantik , cuaca pula sedang memasuki musim panas yang pastinya menyeronokkan.
Ayu Emelda yang berada di sana, sempat juga menitipkan salam buat kami di Alaf21 FC. Nampaknya musim-musim begitu memang sesuai benar untuk berjalan-jalan makan angin. Lagi pun, novel terbarunya sudah pun berada di pasaran. Bolehlah menarik nafas lega seketika.
Apa-apa pun, kita ikuti cerita beliau.
Assalamualaikum...
Sehari sebelum tu buat barbecue di Treacher Park. Tapi ada accident sikit... anak ayu yang kecik tu test power... pegang arang... bergegas gak pegi ke emergency room. Bara api tu dah disiram dengan air. Tak sangka pula masih lagi panas. Kesimpulannya, buat ikhtibar... kena lebih hati-hati lain kali.
Lama juga nak siapkan manuskrip Kasih Dania... tergendala bila Ayu berpindah ke US. Ayu ambil masa yang lama juga untuk sesuaikan diri di sini. Kesannya... setiap kali nak siapkan Kasih Dania, idea sering menghilang.
Corat-coret 1
Sebelum majlis pelancaran Novel Nostalgia hari tu , saya dah Budi sudah berpakat baik-baik. Tak sia2 saya bawa second cameraman ni, sebab boleh tangkap banyak gambar yang cantik-cantik dari berbagai sudut dan tentunya akan jadi lebih meriah.
“Okey , kau pergi sebelah sana, cover shot sana, aku duduk sini , cover shot sini." Saya memberitahu Budi lokasi yang baik untuknya
“ Abih tu , nak duduk depan ke belakang?” soalnya lagi, sedikit keliru.
“Nak tangkap gambar kena duduk depan. Tapi kalau kau malu, duduk lah belakang sikit, time nak ambil barulah ke depan ,” terpaksalah saya mengajor cameraman amatur nih.
“Kau pulak, duduk mana? Depan ke belakang,” Budi menyoal kembali.
“Ooo.. aku tentulah duduk depan. Senang orang TV nak ambik gambar.. hahahahaha.” Saya dan Budi , sama2 ketawa..
Dan selepas majlis tersebut. Kami berjumpa.
“Aduss.. gambar semua blur lah. Banyak kali tangkap… tapi blur juga “ rungut Budi. Ternyata bukan dia seorang sahaja yang mengalami keadaan sedemikan.
“Macam mana tak blur, masa kau tangkap gambar tu, disekeliling kau semua cameraman yang pakai kamera canggih-canggih. Siap pakai lampu sorot lagi. Bila dia pasang lampu power tu, terus crossover dengan kau punya kamera kecik tu, flash tak hidup, jadi blur ler gambarnya,” Saya memberitahu serba sedikit teori yang pernah diceritakan oleh kawan saya.
Budi mengaru kepalanya yang tak berapa gatal.
Hahahahahaha.. kami ketawa lagi sekali. Walau pun agak terkilan, tapi dalam hati tetap seronok.
Corat-coret 2
Dato' Shahnon Ahmad : Yuk balik...
Dato A Samad Said : Ah.. siang lagi ni..
.
Saya yang berada dibelakang, hanya tersenyum-senyum sahaja apabila mendengar dialog dari orang-orang lama ini.
mersik
Terlebih garam gulai binasa
Terlebih manis penyakit menanti
Terlebih lada pedas menyengat
Terlebih santan lemak berlapis
Terlebih cuka jeruk menjadi
Terlebih asam pekasam tak busuk
Terlebih api nasi pun hangit
Terlebih air bubur namanya
Terlebih senyum orang tertanya-tanya
Terlebih ketawa takut menangis
Terlebih cakap punca bohong
Terlebih janji sukar ditepati
Terlebih puji dusta akhirnya
Terlebih sayang buruk ke tepi
Terlebih belanja hutang berlapuk
Terlebih harta baik bersedekah
Terlebih simpan kedekut berpanjangan
Biar terlebih jasa dan bakti
Serendang pohon dapat berteduh
Sehijau padang luas berlari
Sejernih sungai tempat bermandi
Sedingin bayu berhembus selalu
Seharum mawar kembang pagi
Seindah alam ciptaan Ilahi
Dan kaki kejap terpijak di sini
Khadijah Hashim
Dewan Sastera, Disember 2001
* Nota : Sumber di ambil dari web Alaf21
Memasuki dunia sastera adalah seperti mengutip dan menghimpun segala ratna
Kita menyusuri landai pantainya
Ketika ombak emosi tak henti-henti menderu
Ketika angin sensitiviti ramah menjamah
Kite merentasi padang lapang penuh rumputan
Bersama pautan angin kita melihat bagaimana ia mengusap malam
Kemudian mendengar deru pesona si setiap bulan penuh menjelma
Kita kemudian singgah di belantara ilmu dan akal
Mencari percik fikir yang berjuraian turun dari dahan dan ranting peristiwa
Kita pun menemui makna-makna
Makna membiaskan sinar sedar yang segar
Sinar inilah yang berkilauan di sukma seindah permata
Begitulah, dengan sedikit cinta kita singgah di dunia karya
Karya itu tumpuan kreativiti dari karyawan yang bijak berperi
Mereka, amat tahulah kita, sering berada di tengah-tengah pertelingkahan
Berdiri tenang kerap kali pula gelisah di luar atai di dalam kejadian,
Mengetuk dari pintu ke pintu mencari watak
Sesekali cuba memesrai, disambut penuh berbudi namun selalu juga diherdik
Watak-watak mereka menjerit terpekik atau berubah diam diusapi pujukan,
Mereka, amat fahamlah juga kita, bagaimana sepantasnya memilih ruang
Mencari waktu dan zaman serta merencanakan peta kehidupan
Ah, di waktu yang lain, kita pun mendengar mereka bertengkar
dengan kata dan bahasa, berselisih dan berunding, memujuk pun juga,
paling-paling tidak berkompromi mereka dengan imiginasi
yang sentiasa mahu mensaujana!
Merenangi dan menyeberangi lautan estetika ini sesungguhnya menakjubkan
Lihatlah bagaimana kita mengukir usia menggenggam nostalgia di tangan
Banyak telah yang mengambil kecekalan memaknakan kematangan
setelah ‘Badai semalam’
Bukan sedikit gelora di sawah hati kita
Tatkala berdiri dan melihat ‘Ranjau Sepanjang Jalan’
Kita pun memaut erti yang berbeza
Dengan mengakrabi ‘TukCai’ yang serba menginsafkan
Atau saja menangkap ‘Jalur sincar di Celah Daun’ kemudian menyimpulkan rumusan,
Semuanya pernah hadir mewarna-warnikan takah-takah usia,
mempelangikan wajah jiwa
Dari perah fikir karyawan dan sasterawan ini, ia akan berbekas lama di peta ingatan
Ia akan nenti mengufukkan lagi jangkau insani dalam menemukan makna hakiki
Memasuki dunia saktera adalah seperti mengutip dan menghimpun segala ratna
Marilah dengan lunak kita berkisah lagi tentang kehidupan tentang kesegalaan
Marilah dengan santun kita bersila di anjung pengalaman di beranda pencarian
Hidup tidak seluruh hanya apa yang terpandang,
di sisi kita banyak yang telah hilang
Debar – gementar – gelisah meresah, kasih dan cinta sulam-menyulam
memanusiawikan kita
Ah, kita pun membayangkan bagaimana sang seniman saling berebutan
waktu dengan keletihan
Atau di kamar menganyam hasrat tingginya dan amat sendirian,
terasing kadang-kadang memejalkan kesepian
Kitalah yang sepintasnya lebih banyak mengambil
Menjaring percik kilauan anugerah kalam pujangga zaman
Lim Swee Tin
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia
13 Jun 2007
Akhirnya hari yang di tunggu-tunggu telah pun tiba iaitu 13.06.2007 merupakan hari yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh saya sendiri.Tepat jam 2 petang , saya telah pun sampai di hadapan Hotel Singgahsana. Cuma waktu itu masih berlegar-legar mencari tempat parking kereta yang telah penuh. Akhirnya... di tepi lereng bukit tempatnya.Tapi itu tak kisah...asalkan saya ada disitu pada hari tersebut.
Masuk je ke pintu depan Hotel, Abg Long dan mersik dah sedia menanti. Mersik kita bukan main lagi dengan baju batiknya macam nak menghadiri pemilihan wakil rakyat, kwang...kwang...abg long pulak bukan main bergaya lagi dengan blazernya.
Setelah menanti yang lainnya hadir... akhirnya muncullah wajah kak Salmah dan Zarina kita. Wajah yang merah padam. Menapak ke apa?
Masuk je ke dalam bilik dewan tersebut.....kehadiran kami dari Alaf21 FC telah di sambut dengan ramah oleh staff Alaf21 yang bertugas.Yang paling seronok dan tak terkata punya bila selepas saja menandatangani buku pendaftaran tersebut, pihak alaf21 telah memberi buku novel sebagai cenderahati. Senyum melebar saya sampai ketelinga....mana tidaknya.....novel nostalgia hasil tulisan Zaharah Nawawi iaitu Jalur Sinar Di Celah Daun.
Setelah mengambil tepat duduk dihujung sekali, saya pun sibuklah tangkap gambar sana... tangkap gambar sini.....lebih2 lagi gambar novelis2 kita yang hadir. Sungguh tak disangka,semuanya novelis kita yang hadir pakat duduk dibarisan berhadapan dengan saya Nampak meriah sungguh majlis tersebut dengan iringan muzik gamelan dan tradisionalnya.
Ramai juga yang hadir. Hati dah tak sabar ni nak tunggu atur cara seterusnya. Saya intai dari jauh, Abg long dan mersik kita duduk di baris depan sekali di sebelah kanan. Amboi.... syoknya depa berdua....mana taknya dapat duduk sebaris dengan Dr.Lim Swee tin dan juga tokoh sasterawan negara kita Datok A.Samad Said.
Setelah menanti semua para tetamu hadir,akhirnya majlis pelancaran Novel Nostalgia pun bermula seingat saya ketika jam menunjukkan kepukul 3.20 ptg. Majlis di mulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Noor Tahir.
Habis saja doa dibaca, ucapan dimulakan oleh Pengurus Besar ALAF21 iaitu En.Norden Mohamed. Dalam ucapan tersebut En. Norden kita ada menyatakan tentang peranan novel nostalgia pada masyarakat pembaca pada masa sekarang juga peranan novel nostalgia tersebut kepada novelis2 baru yang kini sedang mencipta nama dan juga yang telah sedia ada.
( Salmah dan Zarina bergambar bersama idola mereka, Khadijah Hashim )
Memahami jerit perih penulis2 kita yang terdahulu bagaimana berkarya dan menghasilkan setiap cerita itu untuk dijadikan novel. Pihak ALAF 21 juga sentiasa mengharapkan penulis2 yang berkarya sentiasa mempunyai cerita-cerita yang baru dan segar agar dapat menghasilkan setiap jalan cerita yang indah.
Selesai saja ucapan dari En. Norden kita, tibalah masanya ucapan ringkas dari ketiga2 novelis Novel Nostalgia kita...sepatutnya empat, tapi bonda Zaharah Nawawi kita tidak dapat menghadirkan diri. Ucapan2 yang diberi begitu indah, mantap dan padat isinya. Lebih-lebih lagi ucapan dari novelis kita Dato' Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad... bagaimana kisahnya beliau melakarkan karya yang bermakna.Karya-karya yang boleh dikatakan MASTER PIECE dan juga karya2 MAGNUM OPAS (iaitu karya2 yang terpilih).
Deklamasi puisi petang itu telah dibaca oleh Dr. Lim swee Tin kita dengan penuh bersemangat dan begitu memukau hati sanubari saya.
Ucapan masih diteruskan oleh YB Senator Tan Sri Datuk Dr.Jins Shamsudin kita sebagai tetamu kehormat dan seterusnya bakal melancarkan perasmian Novel Nostalgia pada petang itu.
Setelah sessi soal jawab antara novelis dan media majlis di susuli dengan penyampaian cenderahati untuk Novelis Nostalgia kita dan juga tetamu-tetamu kehormat pada ptg itu.
Akhir sekali jamuan ringan telah di sediakan pada tetamu-tetamu yang hadir. Apa lagi... saya dan mersik kita pun dok menjamulah selera dengan ala kadarnya. Dalam pada tu saya sibuk gak bangun dengan mengambil foto para novelis Novel Nostalgia kita serta sempat juga mendapatkan tandatangan sebagai tanda kenangan.
Dalam erti kata yang tak terkatalah... hari itu merupakan salah satu sejarah dalam catatan kamus hidup saya yang kekal terpahat di hati buat selamanya.
" KENANGAN YANG TERINDAH"
Budi Kasyah
Syukur Alhamdulillah. Sekali lagi, ahli Kelab Peminat Novel ALAF 21, bertemu dalam sebuah majlis anjuran ALAF 21. Majlis pelancaran Novel Nostalgia, yang telah berlangsung di Hotel Singgahsana itu membawa seribu kenangan yang tidak akan dapat dilupakan.
( Dari kiri, Salmah, Zarina, Carrie Kirana dan Abg Long )
Pada hari Rabu, 13 Jun yang lalu, bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, telah di adakan Majlis Pelancaran Novel Nostalgia oleh Alaf21.
Terasa bertuahnya badan kerana dapat menghadiri upacara sedemikian bersama para hadirin yang lain. Sesungguhnya, tidak pernah diri ini termimpi untk bertemu dengan sasterawan agung negara dan karyawan unggul di dalam satu majlis yang gilang gemilang.
Kedatangan kami disambut mesra oleh kakitangan Alaf21 yang sentiasa ramah dan murah dengan senyuman. Kemeriahan begitu terasa dengan kehadiran para wartawan dari pelbagai media cetak dan elektronik bersama lensa-lensa kamera mereka. Alunan muzik asli begitu santai dan menenangkan halwa telinga cukup untuk menghilangkan segala kepenatan. Kelihatan juga novelis-novelis dibawah naungan Alaf21 turut sama hadir memberi sokongan dan penghormatan. Bersama meraikan para novelis nostalgia dengan buku-buku mereka yang masih segar sepanjang zaman, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tiada tolok bandingnya, yang diakui hebat oleh semua. Malah ada di antara hasil karya mereka yang telah tersiar di layar perak, diantaranya, Ranjau Sepanjang Jalan.
“Ini adalah antara warisan negara yang akan menjadi bahan sejarah untuk negara dan budaya. Novel-novel yang tersohor yang dihasilkan adalah amat berharga pada generasi kini dan akan datang dengan pelbagai mesej yang tersurat dan tersirat bagi mendidik anak bangsa dengan pelbagai cara.”
Ini adalah antara ucapan yang diberikan oleh YB Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin. Beliau yang dijemput untuk merasmikan pelancaran tersebut, juga turut merasa terharu semasa berucap kerana diri sendiri membesar dengan karya-karya tersebut.
Novel-novel mereka banyak mengisahkan tentang realiti kehidupan dan masa lampau yang tidak pernah generasi muda masa kini lalui, apatah lagi generasi akan datang. Dengan mengekalkan warisan mereka, sudah tentu ianya pasti akan sentiasa boleh dijadikan sebagai bahan rujukan masa kini dan masa depan.
Nama-nama mereka memang sudah tidak asing lagi di negara kita. Mereka adalah Dato’ Shahnon Ahmad (Ranjau Sepanjang Jalan), Puan Khadijah Hashim (Badai Semalam), Encik Azizi Hj. Abdullah (Tukcai) dan Puan Zaharah Nawawi (Jalur Sinar di Celah Daun).
Ternyata, Alaf21 telah mengambil tindakan bijak dengan menerbitkan semula novel-novel penulis-penulis tersohor ini yang boleh digelar ‘magnum opus’ seperti kata Dato’ Shahnon Ahmad, dalam bentuk yang istimewa, segar dan kreatif. Rata-rata, kesemua novelis nostalgik juga melahirkan rasa senang dengan kecekapan pengurusan pihak Alaf21 tanpa ada masalah birokrasi. Antara lain, mereka turut memberi kredit kepada Alaf21 yang telah mengambil inisiatif memelihara dan memartabatkan karya-karya lama yang unggul.
Encik Norden Mohamed, pengurus besar Alaf21, turut memberi nasihat kepada penulis baru atau bakal penulis agar mencontohi sikap profesionalisme seperti yang ditonjolkan oleh penulis-penulis tersohor tanahair ini. Dimana, mereka lebih terbuka kepada cadangan dan pembaharuan bagi mereliasasikan impian bersama. Malah kerjasama yang diberikan oleh kedua belah pihak, amat menyenangkan dan memudahkan misi yang dijalankan.
Sekiranya anda belum lagi memiliki novel-novel nostalgia ini, jangan lepaskan peluang yang ada. Banyak ilmu dan pengalaman hidup yang dipaparkan boleh dijadikan pedoman kehidupan seharian. Dengan gaya bahasa dan plot cerita yang mudah faham, karya-karya mereka memang umph! Apatah lagi, ramai diantara kita yang tidak pernah melalui detik-detik kepayahan di masa lampau.
Para hadirin juga dihidangkan dengan suara lunak dan lembut Puan Khadijah Hashim mendeklamasikan sajak yang berjudul ‘Terlebih’. Sajak yang hebat, hasil buah tangan dari wanita yang hebat juga.
Tidak dapat disangkal, kegembiraan saya memuncak apabila mendapati antara yang hadir adalah Sasterawan Negara, A. Samad Said. (gambar kanan)
Bertambah teruja apabila dikalangan hadirin, Dr. Lim Swee Tin (gambar kiri) turut hadir dan memeriahkan lagi majlis.
Beliau turut mendeklamasikan sajak penghargaan kepada keempat-empat pengkarya tersohor, garapannya sendiri. Suaranya yang lantang dan mantap, melahirkan intonasi yang berbeza-beza pada setiap bait-bait puisi yang dilafazkan.
Kami dari Kelab Alaf21FC amat berbesar hati kerana di beri peluang menghadiri majlis hebat seumpana ini.
Terima kasih yang tidak terhingga dari kami. Moga Alaf21 akan terus aktif menerbitkan bahan bacaan yang bermutu dan berkualiti bagi santapan minda untuk masyarakat supaya minat membaca terus mantap dan berkembang.
Syabas dan tahniah dari kami!
saLiNa
(Salmah dan Zarina )
NOTA :
Cerita majlis tersebut dari web Alaf21 , klik disini
Masa : 9.30 Pagi - 5.30 Petang
Lokasi : Dataran Merdeka & Taman Tasik Titiwangsa
1400 - 1500 : Makan-minum (Pot Luck)
Setelah beberapa pertemuan diadakan, akhirnya mesyuarat bersama di antara Kelab Peminat Novel ALAF 21 dan sebuah organisasi, yang dijalankan beberapa hari lalu, mencapai kata pemutus. Dimana, program yang julung-julung kalinya akan diadakan dengan kerjasama beberapa pihak, akan dilangsungkan tidak lama lagi.
Masing – masing berasa puashati dengan agenda yang telah dirancang bersama, di mana pembahagian tugas serta tanggungjawab dibahagikan sama rata.
Perbincangan juga di adakan dalam suasana yang begitu terbuka dan harmoni. Ini mempereratkan lagi tali silaturrahim di antara dua buah organisasi.
Program yang telah berlegar diminda beberapa orang, akhirnya telah dicurahkan, dan diperjelaskan lagi isi kandungannya. Semata – mata untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.
Semuanya dilakukan demi untuk melihat budaya membaca lebih bertambah marak di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya.
Masing – masing telah bersepakat untuk menjalankan satu sahaja tugas secara bersama
Iaitu - PROMOSI.
Untuk anda semua, nantikan program yang akan diadakan tersebut.
Abang Long.
Bila kita menyebut tentang Alaf21, ramai yang akan membayangkan novel-novel keluaran Alaf21 yang bermutu dan berkualiti. Penggunaan gaya bahasa yang santai dan mudah faham membuatkan novel-novel mereka antara yang digemari oleh pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat. Malah, bukan sahaja ianya terkenal dikalangan pembaca Melayu, bahkan juga dikalangan bangsa-bangsa asing.
Namun, saya juga pasti ramai yang sudah mengetahui bahawa Alaf21 tidak hanya tertumpu pada novel-novel dari penulis-penulis yang berkaliber sahaja. Selain dari koleksi novel yang sentiasa menjadi habuan dan penantian para pembaca, banyak lagi buku-buku ilmiah yang turut dipaparkan. Buku-buku motivasi, agama, resepi, fesyen, dan berbagai lagi.
Antara yang suka saya kumpul adalah buku-buku motivasi dan resepi yang pelbagai. Rata-rata ramai diantara kita disini senang memperkatakan tentang keseronokan membaca novel itu dan ini. Berkongsi pendapat tentang pelbagai cerita yang dikaryakan. Kali ini, saya ingin bercakap tentang buku yang mengenyangkan perut! Ya, buku-buku resipi yang turut menjadi koleksi peribadi saya, penerbitan Alaf21.
Kadangkala, sebagai ketua chef di rumah, kita buntu dengan masakan yang mahu dihidangkan untuk keluarga. Adakala pula, pening memikirkan jamuan apa yang akan dihidangkan untuk tetamu yang bakal berkunjung.
Sekali sekala juga, kita mahu menjamu keluarga dengan sesuatu yang istimewa pada masa-masa tertentu, seperti sambutan hari ibu/bapa misalnya. Anak-anak pastinya sukakan sesuatu kelainan yang menarik perhatian mereka semasa dimeja makan. Apatah lagi bila hidangan pencuci mulut nampak begitu menyelerakan dengan salutan coklat! Tidak perlu ke restoran makanan segera atau ke kedai kek setiap kali mahu menjamu selera anak-anak.
Dimasa inilah saya akan buka buku ajaib ini untuk dibelek-belek. Mengapa saya katakan ianya ajaib? Mana tidaknya, daripada tidak punya idea, dapat sudah. Pening yang bertandang memikir-mikir pun, boleh hilang serta merta. Malah timbul pula senyuman kelegaan.
Bila sudah dijadikan hidangan pula, senyuman lebar pula menghiasi wajah tatkala kata-kata positif dari hakim-hakim penjamu selera mendarat di cuping telinga. Sudah tentu sajian pencuci mulut yang mampu meliurkan merupakan satu bonus untuk mereka.Ya, tiada yang lebih menggembirakan saya apabila dapat menjamu orang-orang yang di sayangi dan para tetamu yang dihormati dengan jamuan yang sedap dan enak!
Bukan itu sahaja, bahkan, belum sekali resipi yang telah saya cuba mengecewakan tekak dan perut kami sekeluarga. Belum pernah kek atau biskut mahupun kuih muih yang dibuat terbantut atau terkeras, dan tidak sesekali lembik! Catuan yang diberikan tepat dan memuaskan! Sudah tentu ianya menggembirakan saya kerana tidak membazir wang dan tenaga! Sekurang-kurangnya, koleksi buku resepi tidak saya jadikan tetamu terhormat didalam almari buku.
Bukan itu sahaja, pelbagai resipi juga boleh dijadikan sebagai hantaran untuk bakal tunang/isteri/suami tersayang. Boleh juga dijadikan hidangan untuk menjamu pengantin. Tidak perlu nak pening-pening lalat fikirkan resepi, selak saja helaian resepi-resepi yang ada satu-persatu. Pasti lenyap sakit kepala! Bukan dapat resepi sahaja, malah siap dengan idea dekorasi sekali! Cukup cantik dan sesuai dijadikan hidangan istimewa. Yang paling penting...sedap dan enak untuk dinikmati.
Untuk anda sekelian, tidak kira sama ada anda seorang suri rumah, suami, anak dara, orang bujang, atau sesiapa sahaja, saya ingin berkongsi salah satu resepi yang paling "yummy" pernah dinikmati....
Ketam Masak Padang
Bahan-bahan:
4 ekor ketam – dibelah dua jika besar
400 ml santan
100 ml minyak
3 helai daun limau purut
2 keping asam gelugur
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula pasir secukup rasa
Bahan A (dikisar)
15 tangkai cili kering
3 batang serai
3 sm lengkuas
2 sm halia
3 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak, tumis bahan A hingga berbau.
2. Masukkan serbuk kunyit, asam gelugur, daun limau,
santan, gula pasir dan garam. Kacau sekali sekala hingga mendidih.
3. Bubuh ketam, gaul hingga sebati dan tutup kuali sebentar.
4. Bila ketam masak, tutupkan api.
Cubalah....saya pasti anda tidak akan kecewa.
Resipi ini boleh didapati dari buku ,
Variasi Masakan Selatan oleh Puan Norzailina Nordin.
Salmah
Siapakah dia Sang Puteri yang menghisai wajah kulit Novel BAGAIKAN PUTERI ? Lihat sahaja renungan matanya, tajam dan menikam..
Novelis
-
-
-
-
-
-
-
-
SINOPSIS C1NT4 TOP SECRET VERSI 1.08 years ago
-
SAKITNYA TUH DI SINI - Bab 19 years ago
-
Setahun bersawang...10 years ago
-
-
-
Happy New Year13 years ago
-
SELAMAT TAHUN BARU 200816 years ago
-
Korea Oh Winter Sonata.....17 years ago
-
-
-
-
-
-
-
Labels
- Anis Ayuni (1)
- Novel Cinta (2)
- Perpisahan. (1)
- Pesta Buku Selangor (4)
- Pesta Buku. (4)
- Projek Kelab (1)
- SRI DIAH (1)
- thriller (1)
- ulasan peminat (1)
Search This Blog
Arkib Alaf21fc
-
▼
2007
(158)
-
▼
June
(13)
- Ulasan Novel : Kasih Dania - Ayu Emelda
- Salam dari Ayu Emelda di Troy, New York
- Corat coret di Majlis Pelancaran Novel Nostalgia
- Sajak oleh Khadijah Hashim
- Sajak oleh Dr. Lim Swee Tin
- Lagi cerita mengenai Majlis Pelancaran Novel Nosta...
- Sekitar Majlis Pelancaran Novel Nostalgia.
- Majlis Pelancaran Novel Nostalgia
- Sambutan Hari Weblog sedunia Malaysia 2007
- Agenda bersama.
- Cerita resipi...
- Kenyataan Rasmi dari Meja Presiden.
- Bagaikan Puteri - Sudah dimiliki...
-
▼
June
(13)