"Ulang baca sampai lunyai"

Sejujurnya, aku tidak pernah, dan tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama. Tetapi, itulah hakikatnya. Dimana dalam begitu ramai sahabat yang mempunyai minat yang sama, iaitu membaca novel, terdapat dua orang sahabat aku yang berupaya untuk membaca novel yang sama berulang kali hingga buku itu 'lunyai.'

Dalam hati aku berkata "hanya orang gila sahaja yang boleh buat macam ini."

Kisahnya terjadi bila aku menziarahi seorang rakan disebuah kampong dalam daerah Sabak Bernam. Keluarganya memang miskin. Tetapi, masih mampu memiliki sebuah kereta Datsun. Itupun harta peninggalan arwah ayahnya.

Bila aku melihat sebuah almari yang penuh dengan buku. Aku terus sahaja memohon keizinan untuk melihat dengan lebih dekat. Setelah mendapat keizinan, aku terus melangkah ke arah almari yang penuh sarat dengan pelbagai buku.

Sewaktu aku memegang buku Hikayat Merong Mahawangsa. Aku dapati, helaiannya telah tercabut, dan beberapa helai jatuh keatas lantai, lalu aku mengutipnya kembali. Kawan aku mentertawakan aku.

"Buku tu dah lama telanjang" spontan kawan aku berkata begitu. Merujuk kepada keadaan kulit buku itu yang tertanggal dengan isinya.

"Engkau buat apa dengan buku ini, sampai jadi begini?" Aku lantas bertanya kembali.

"Aku baca berulang kali" Jawab rakan aku.Sambil membelek buku itu, aku bertanya lagi "sudah berapa kali engkau baca buku ini?"

"Aku rasa ... sudah lebih 10 kali" kawan aku menjawab dengan nada serius.

"Wow ... lebih 10 kali!" Aku terkejut dengan pengakuan beliau.

"Hikayat Merong Mahawangsa dengan Tenggelamnya Kapal Van Der Vjick ... memang buku yang hebat ... cuba kau cari novel sekarang yang setanding atau hampir sama dengan dua buah buku itu ... engkau takkan jumpa!"

Aku hanya mendiamkan diri.

Abang Long

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati