Saat memegang novel Ilham Hati dari Damya Hanna, hati saya terdetik, adakah ianya cerita cinta yang biasa yang diperindahkan, dipercantikkan dan di olah dengan sedemikian rupa hingga mampu buat tangan saya kejap melekat di buku. Bukan sedikit novel cinta yang saya tolak.


Saya sebenarnya dah mula kurang membaca novel cinta yang jiwang-jiwang. Bukan tidak suka tapi mungkin bila topik cinta yang kadang kala terlebih baja, hati saya jadi tidak mampu menerimanya.


Saya memulakan mukadimah novel tersebut. Pada asalnya sekadar hendak membaca sambil lalu tapi lama kelamaan, mata saya terus melekat dan melekat dan melekat… Syabas untuk Damya! Kelainan yang menarik hingga membuat saya tidak sabar-sabar membaca untuk mengetahui kesudahanpercaturan hidup mereka.


Ia bukan novel cinta yang mendayu-dayu atau meleleh seperti orang kata. Sifat cinta yang wujud dalam novel ini adalah bermula dari sepasang suami isteri muda yang mencipta benci dari awal perkahwinan. Hanya disebabkan dendam ia berterusan hingga akhirnya Rian kemalangan yang menyebabkan dia amnesia.


Rian digambarkan seorang wanita yang sombong, garang, selfish dan segala sikap buruk yang menyebabkan dia dibenci dan tidak digemari waima ahli keluarga sendiri. Malah suaminya juga tidak menyenangi beliau. Kadangkala kita tidak perasan sikap kita yang kita anggap professional sebenarnya memerangkap diri ke arah ruang yang memisahkan pada orang lain terutama pada mereka yang rapat dengan kita.


Saya cuba memahami sikap Rian yang dominan hingga tiada siapa boleh ‘in’ dengan dia.
Damya merujuk Rian sebagai isteri yang tidak berpotensi sebagai isteri mithali kerana dia bongkak dan tidak menunjukkan ciri yang selari sebagai isteri malah suami isteri yang duduk se rumah itu hanya terikat di atas kertas saja bukan di dunia nyata. Pendek kata mereka umpama orang asing dalam satu rumah.


Watak Hanif sebagai suami yang mahu merealisasikan dendam terhadap isteri yang terlupa itu kian meluap walau pada masa yang sama dia keliru melihat Rian yang berubah menjadi wanita lembut dan manis dimata. Akal dan hati berperang untuk memenangi jasad Hanif yang adakala terbuai dengan perubahan Rian. Dia mula jatuh sayang pada wanita yang digelar isteri pada kertas.


Memang sukar menerima perubahan mendadak dari seseorang yang kita benci apatah lagi orang itu serumah dengan kita. Hanif terperangkap dalam perkiraannya untuk melunasi dendam.


Atas kerana wasiat Rian berkawin dengan Hanif tapi apa sebenarnya kandungan wasiat tersebut?. Adakah sesuatu yang istimewa hingga Rian tergamak menjadikan Hanif lelaki terakhir yang harus dikahwini bagi memenuhi keinginan hati mengetahui isi wasiat itu? Lantas selepas berkahwin lelaki itu tidak diumpamakan sebagai suami. Mungkin Damya sengaja meninggalkan soal isi wasiat tersebut yang menjadi punca Rian tergesa-gesa begitu.


Hanif berusaha memujuk Rian agar kembali padanya kerana lelaki itu sudah mula menyayangi wanita yang dulu ingin dibuang dari hidupnya. Akibat beberapa insiden yang melukakan Rian, mereka kerap bertengkar. Begitu sukar dia menerima wanita itu yang kerap dibayangi rasa benci dan dendam kerana perkahwinan mereka hanya sekadar memenuhi permintaan ibunya. Tapi kerana Rian yang dilihat berubah sepanjang tempuh ‘kelupaannya’ menggamit rasa hati yang tidak mampu ditolak.


Damya ingin memberitahu pembaca, takdir Ilahi tiada sapa terduga. Orang yang kita benci akhirnya menjadi buah hati yang tidak mampu ditukar ganti. Kemalangan yang kita anggap musibah sebenarnya satu langkah untuk menemukan kembali dua hati yang tidak sehaluan. Lebih mudah dikatakan tiap kejadian ada kebaikan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran.


Saya suka novel ini. Walau ada sedikit kekeliruan, pada saya Damya sudah melakukan yang terbaik. Novelnya kali ini lebih pada persoalan kejiwaan yang rapuh. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah jangan mengambil enteng perkara yang ingin kita lakukan jika ia melibatkan agama, maruah diri dan keluarga serta perasaan orang lain. Perkahwinan bukan jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah malah ia menimbulkan lebih sengketa jika ia dimulai dengan niat yang tidak betul.


Saya lebih suka kalau Damya memasukkan sedikit, sekurang-kurangnya satu bab tentang keadaan sebelum kemalangan itu berlaku iaitu penekanan terhadap sikap Rian yang keras kepala dan sikap Hanif yang lebih pada dendam. Begitu juga keadaan Rian di pejabat yang sebenarnya dia dibenci dan tidak digemari dengan stafnya sendiri. Begitu juga keluarga Rian yang nampaknya tidak sebulu denga sikap Rian. Ceritanya ada cuma terlalu sedikit dan tiada penekanan yang boleh membuatkan saya jengkel atau benci dengan Rian pada waktu lepasnya. Apapun ia tetap tidak membuat saya berganjak untuk menghabiskan novel ini.


Watak Rian dan Hanif mungkin boleh diteruskan ke novel ke 2 dengan membuka beberapa persoalan yang tidak terjawab. Boleh kan Damya?


Moga novel beliau yang seterusnya lebih mantap dan meletup!


Ina

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati