Pada hari Rabu, 13 Jun yang lalu, bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, telah di adakan Majlis Pelancaran Novel Nostalgia oleh Alaf21.

Terasa bertuahnya badan kerana dapat menghadiri upacara sedemikian bersama para hadirin yang lain. Sesungguhnya, tidak pernah diri ini termimpi untk bertemu dengan sasterawan agung negara dan karyawan unggul di dalam satu majlis yang gilang gemilang.


Kedatangan kami disambut mesra oleh kakitangan Alaf21 yang sentiasa ramah dan murah dengan senyuman. Kemeriahan begitu terasa dengan kehadiran para wartawan dari pelbagai media cetak dan elektronik bersama lensa-lensa kamera mereka. Alunan muzik asli begitu santai dan menenangkan halwa telinga cukup untuk menghilangkan segala kepenatan. Kelihatan juga novelis-novelis dibawah naungan Alaf21 turut sama hadir memberi sokongan dan penghormatan. Bersama meraikan para novelis nostalgia dengan buku-buku mereka yang masih segar sepanjang zaman, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tiada tolok bandingnya, yang diakui hebat oleh semua. Malah ada di antara hasil karya mereka yang telah tersiar di layar perak, diantaranya, Ranjau Sepanjang Jalan.



“Ini adalah antara warisan negara yang akan menjadi bahan sejarah untuk negara dan budaya. Novel-novel yang tersohor yang dihasilkan adalah amat berharga pada generasi kini dan akan datang dengan pelbagai mesej yang tersurat dan tersirat bagi mendidik anak bangsa dengan pelbagai cara.”


Ini adalah antara ucapan yang diberikan oleh YB Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin. Beliau yang dijemput untuk merasmikan pelancaran tersebut, juga turut merasa terharu semasa berucap kerana diri sendiri membesar dengan karya-karya tersebut.

Novel-novel mereka banyak mengisahkan tentang realiti kehidupan dan masa lampau yang tidak pernah generasi muda masa kini lalui, apatah lagi generasi akan datang. Dengan mengekalkan warisan mereka, sudah tentu ianya pasti akan sentiasa boleh dijadikan sebagai bahan rujukan masa kini dan masa depan.


Nama-nama mereka memang sudah tidak asing lagi di negara kita. Mereka adalah Dato’ Shahnon Ahmad (Ranjau Sepanjang Jalan), Puan Khadijah Hashim (Badai Semalam), Encik Azizi Hj. Abdullah (Tukcai) dan Puan Zaharah Nawawi (Jalur Sinar di Celah Daun).


Ternyata, Alaf21 telah mengambil tindakan bijak dengan menerbitkan semula novel-novel penulis-penulis tersohor ini yang boleh digelar ‘magnum opus’ seperti kata Dato’ Shahnon Ahmad, dalam bentuk yang istimewa, segar dan kreatif. Rata-rata, kesemua novelis nostalgik juga melahirkan rasa senang dengan kecekapan pengurusan pihak Alaf21 tanpa ada masalah birokrasi. Antara lain, mereka turut memberi kredit kepada Alaf21 yang telah mengambil inisiatif memelihara dan memartabatkan karya-karya lama yang unggul.

Encik Norden Mohamed, pengurus besar Alaf21, turut memberi nasihat kepada penulis baru atau bakal penulis agar mencontohi sikap profesionalisme seperti yang ditonjolkan oleh penulis-penulis tersohor tanahair ini. Dimana, mereka lebih terbuka kepada cadangan dan pembaharuan bagi mereliasasikan impian bersama. Malah kerjasama yang diberikan oleh kedua belah pihak, amat menyenangkan dan memudahkan misi yang dijalankan.

Sekiranya anda belum lagi memiliki novel-novel nostalgia ini, jangan lepaskan peluang yang ada. Banyak ilmu dan pengalaman hidup yang dipaparkan boleh dijadikan pedoman kehidupan seharian. Dengan gaya bahasa dan plot cerita yang mudah faham, karya-karya mereka memang umph! Apatah lagi, ramai diantara kita yang tidak pernah melalui detik-detik kepayahan di masa lampau.

Para hadirin juga dihidangkan dengan suara lunak dan lembut Puan Khadijah Hashim mendeklamasikan sajak yang berjudul ‘Terlebih’. Sajak yang hebat, hasil buah tangan dari wanita yang hebat juga.

Tidak dapat disangkal, kegembiraan saya memuncak apabila mendapati antara yang hadir adalah Sasterawan Negara, A. Samad Said. (gambar kanan)


Bertambah teruja apabila dikalangan hadirin, Dr. Lim Swee Tin (gambar kiri) turut hadir dan memeriahkan lagi majlis.

Beliau turut mendeklamasikan sajak penghargaan kepada keempat-empat pengkarya tersohor, garapannya sendiri. Suaranya yang lantang dan mantap, melahirkan intonasi yang berbeza-beza pada setiap bait-bait puisi yang dilafazkan.

Kami dari Kelab Alaf21FC amat berbesar hati kerana di beri peluang menghadiri majlis hebat seumpana ini.


Terima kasih yang tidak terhingga dari kami. Moga Alaf21 akan terus aktif menerbitkan bahan bacaan yang bermutu dan berkualiti bagi santapan minda untuk masyarakat supaya minat membaca terus mantap dan berkembang.

Syabas dan tahniah dari kami!

saLiNa

(Salmah dan Zarina )

NOTA :

Cerita majlis tersebut dari web Alaf21 , klik disini

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati