Adakala saya membaca buku atau menonton cerita cinta remaja kerana mahu tahu rentak remaja masakini. Apa permasalahan yang remaja masa kini hadapi. Apa yang in-trend dewasa ini dikalangan anak-anak remaja. Pergaulan yang bagaimana yang mereka lalui.

Kemana mereka suka pergi untuk bersantai, selain dari menonton dan membeli-belah. Mengapa masih ada sebilangan remaja yang suka pergi ke kafe siber sedangkan dirumah sudah dilengkapi dengan alat komputer. Malah ada yang serba canggih dan terkini. Jika dirumah tiada punya komputer boleh juga difahami.


Tidak dinafikan, cerita adalah fantasi penulis, namun keadaan sedemikian wujud disekeliling kita pada hari ini.

Walaupun masih berkisar pada kisah cinta dan kekeluargaan, Senafas Rindu menyajikan kita menu yang agak berbeza daripada karya-karyanya yang terdahulu. Masalah remaja dan hubungan dengan orangtua dan kekasih, adalah antara sajiannya.

Damya Hanna juga banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam novelnya kali ini. Satu pendekatan yang baik kepada para remaja khususnya yang masih dialam sekolah. Namun, saya harap Damya akan memantapkan lagi penggunaan bahasa tersebut. Ada terdapat beberapa kesilapan dalam penggunaan ayat. Dari segi tatabahasa misalnya. Ini tentunya akan mengelirukan mereka yang masih bergelar pelajar atau yang sedang mempelajari bahasa itu sendiri.

Jalan cerita yang mudah faham, tetapi agak mudah juga diduga apa yang akan berlaku seterusnya. Walaubagaimana pun, syabas untuk Damya Hanna dengan kelahiran novelnya yang terkini. Semoga akan terus berkarya.

Moral

Remaja hari ini lebih berani menyuarakan pendapat mereka dan mencari bahagia sendiri. Ibubapa pula sering merasakan hak mereka terhadap anak-anak tidak boleh dipertikaikan. Dalam dilemma ini, pendekatan yang bagaimanakah yang harus diambil? Adakah secara paksa atau diplomasi? Adakala, orang dewasa juga boleh hilang pertimbangan. Bukan kerana tidak suka atau mengongkong, tetapi lebih kepada ingin melindungi insan-insan yang disayangi daripada gejala-gejala yang tidak sihat.

Jalinan kekeluargaan juga sentiasa dititik-beratkan. Setiap ibubapa pasti akan memikirkan kepentingan anak-anak mereka dalam melalui kehidupan. Kasih sayang adik-beradik sentiasa mekar sepanjang zaman walaupun memiliki perangai dan minat yang berbeza. Tidakkan putus air walau dicincang beribu kali.

Perasaan cinta hadir tanpa paksaan. Namun bolehkah dikekang? Apatah lagi bila diri masih bergelar pelajar. Yang mana satu harus didahulukan? Kekasih atau cita-cita yang sememangnya menjadi idaman. Sanggupkah melepaskan peluang yang ada dalam genggaman begitu sahaja? Sebagai seorang yang berwawasan, tentunya masadepan yang cerah dan baik harus dititik-beratkan.

Semangat setiakawan yang ditonjolkan menarik minat. Apatah lagi berkawan dengan yang tidak sebangsa dan seagama. Banyak tolak-ansur dan pemahaman yang terjalin samada disedari atau sebaliknya. Malah kadangkala kita lebih peka pada cara hidup dan anutan agama masing-masing, membuatkan kita lebih menghormati mereka sebagaimana mereka terhadap agama yang kita anuti. Apatah lagi membimbing saudara baru. Bukan perkara yang enteng, tetapi boleh menjadikan kita seorang yang lebih bertanggungjawab terhadap diri dan agama.

Gandingan hidup suami isteri perlu ada muafakat. Kehidupan bersama bukan boleh diambil mudah. Tidak ada istilah mengambil keputusan sendiri dalam rukun rumahtangga. Setiap keputusan sebaiknya dibawa berbincang bersama untuk mendapatkan keputusan yang membahagiakan kedua pihak. Seringkali keputusan yang dibuat tanpa rundingan hanya akan memusnahkan diri sendiri. Saling hormat-menghormati antara yang harus diamalkan.

Perkahwinan dalam Islam bukan semata-mata kerana nafsu. Perkahwinan adalah satu jalan untuk dua insan memahami makna perkongsian hidup dan berkongsi apa jua perkara.....petikan dari novel.

Salam ceria selalu,
Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati