Salam untuk semua. Sebelum saya meneruskan dengan komen saya untuk buku ‘Atas Nama Cinta’ tulisan novelis Alaf21, Lily Suriani, ingin sekali saya bercerita sedikit.

Pada mulanya, saya tidak gemar membaca novel Melayu. Kerana pada pendapat saya, novel Melayu ini kebanyakannya skema. Terlalu banyak kisah cinta. Bukan itu saja, tapi selalu juga penulis Melayu, memang bukan semua, suka melakar karakter yang datangnya daripada golongan berada. Saya tahu perkara ni pun sebab selalu dengar cerita kawan-kawan yang suka baca novel Melayu. Sampaikan ada yang berangan-angan nak cari pasangan seperti yang dipotretkan dalam novel! Kadangkala kita juga harus berpijak pada realiti, dunia ni ada bermacam2 golongan manusia. Yang miskin, mahupun yang kaya. Kenapa harus ditumpukan pada orang berada saja?

Baru-baru ini, teman kepada mama saya iaitu Ibu Sal, telah mencabar saya dengan novel2 Melayu sewaktu berkunjung ke rumahnya. Dilonggokkan hampir dua dozen novel-novel miliknya yang banyak sangat dalam almari bukunya tu, di depan saya. Nak terpengsan rasanya. Tak tertelan air liur saya! Mata pun dah tak boleh nak kelip lagi tengok muka Ibu Sal yang tersenyum sehabis manis macam kek aiskrim coklat yang mama buat.

Saya memang meminati cerita thriller, tapi saya langsung tak kenal siapa itu Ramlee Awang Murshid!, sebelum mendapat 6 buah hasil karyanya dari Ibu Sal. Saya tak pernah baca karya-karya dari Sri Diah, Sharifah Abu Salem, Norzailina Nordin, Lily Haslina, dan banyak lagi. Pendek kata, saya tak pernah kenal nama novelis Melayu! Kalau adapun, Puan Khadijah Hashim! Itupun sebab mama ada banyak koleksi novel beliau.

Yang saya kenal hanyalah nama-nama seperti Danielle Steel, Tom Clancy, David Baldacci, Heather Graham, dan banyak lagi penulis dari Barat.

Terimakasih kepada Ibu Sal! Cabarannya mula menyuntik minat saya untuk membaca novel-novel Melayu. Satu perkara yang membuatkan mama tersenyum senang dan papa menaikkan kening dengan soalan tanpa bersuara, “Apa dah jadi?” hehehe….

Pertama kali saya membaca karya Ramlee Awang Murshid yang bertajuk ‘Bagaikan Puteri’, saya jatuh cinta! Bahasa yang indah sesuai dengan keadaan masa dahulu kala. Keromantikan pasangan juga sangat halus penyampaiannya, sesuai dengan tata-susila orang Timur. Tak sangka ada penulis Melayu yang begitu kreatif hingga mampu membawa kita ke dua alam tanpa sebarang ‘kekecohan’. Saya kagum!

Sampai hari ni, masih ada lagi novel yang belum saya sentuh. Tapi dah cakap pada Ibu Sal, nak pinjam semua yang dia ada. Ibu Sal senyum saja. Saya pulak tersengih-sengih. Ibu Sal kata macam kerang busuk. Tergaru-garu jugalah kepala. Ada pula samakan saya dengan kerang yang dah busuk!

Sebab sudah habis membaca beberapa novel2 yang dipinjamkan Ibu Sal, dia cabar pulak saya komen salah satu novel yang sudah saya baca. Teragak-agak juga nak buat. Mana saya pernah buat kerja macam ni. Kalau setakat bercerita dengan kawan-kawan pasal cerita yang dibaca atau yang ditonton tu, perkara biasa la.

Tapi sebab Ibu Sal kata dia akan bantu, saya setuju saja la. Kesian Ibu Sal, dalam sibuk, terpaksa juga bantu saya. Jangan tak tahu, kalau ikut dari tulisan original saya, tunggang langgang, bercampur aduk bahasa Inggeris dan Melayu. Macam ABC yang saya suka makan di Johor Bahru tu. Tapi Ibu Sal banyak bantu saya mencantikkan bahasa. Dari ABC, jadi macam Kek Lapis Serawak yang mama buat masa raya lepas. Cantik!


Saya pilih novel Atas Nama Cinta ni sebab saya baru habiskan bacaan. Kata orang tu, lagi garing ingatan saya pada cerita ni. Saya nak ucapkan tahniah pada Novelis Lily Suriani kerana mengolah cerita dengan baik.

Saya suka watak Ardini yang menggambarkan kekuatan wanita dalam kelembutannya. Sebagai seorang gadis dia tegas dengan pendiriannya. Tidak berdolak-dalik. Bila dah jadi isteri pula, sayangnya tiada benteng yang menghalang dia dari terus untuk bersama suaminya. Wataknya yang dijadikan sebagai wanita kental jiwa dan semangat buat saya menyedari bahawa kita berhak menentukan masa depan kita sendiri, tanpa perlu membelakangkan orang tua.

Merelakan diri untuk disakiti oleh suami sendiri, memang akan dikatakan mereng oleh kebanyakan orang. Namun, untuk berdiri di belakang orang yang kita sayang dan memberi sokongan padu seratus peratus, sesuatu yang patut dihargai dan dicontohi. Ardini juga beruntung kerana keluarganya sentiasa ‘menjaga’ kebajikan dirinya. Kadangkala saya terfikir, apa akan jadi kiranya saya tidak mempunyai abang untuk temankan saya menonton wayang midnite setiap Sabtu? Mesti mama dan papa tak izinkan saya keluar dengan kawan-kawan dalam waktu begitu.

Walaupun saya tidak banyak memberi pendapat tentang cerita Atas Nama Cinta ini, tapi, sekiranya ada sesiapa yang nak baca novel yang baik, ini salah satunya. Memang tak rugi langsung! Banyak moral yang boleh didapati (pinjam kata-kata Ibu Sal ni) hehehe....

Saya harap, anda sekelian akan sentiasa minat membaca. Tidak kiralah novel Melayu atau Inggeris, atau lain-lain bahasa sekalipun. Ini kerana membaca mampu membawa kita menjelajah ke seluruh dunia!

Salam ceria dan selamat membaca,


Ann

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati