Archives

Salam Aidil Fitri dari kami di Alaf21 FC

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera buat semua.

Dikesempatan ini, saya bagi pihak pentadbir Kelab Peminat Novel ALAF 21 - ALAF 21 FC. Dengan ini mengucapkan ,

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI.

Kepada seluruh umat Islam.Juga, saya ingin merakamkan ucapan TERIMA KASIH dan Salam Lebaran. Khususnya kepada Encik Norden dan seluruh staff ALAF 21. Atas segala sumbangan, kerjasama dan penghormatan yang diberikan selama ini.

Jasa dan budi pihak ALAF 21 Sdn. Bhd tidak akan dapat dilupakan. Dan akan dikenang selama - lamanya.Buat semua pengunjung Blog Kelab Peminat Novel ALAF 21 ini, saya juga merakamkan ucapan TERIMA KASIH atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan.

Akhir kata, saya bagi pihak ALAF 21 FC, dengan ini menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf, atas segala kekurangan dan kesilapan selama kami menjalankan tugas dan amanah ini.Sekian, Wassalam.

Mohammad Feroz ( Abang Long )
Presiden Alaf21 FC.



Nampaknya Ramadan sudah mula merangkak pergi membawa sinar Syawal yang dinanti. Keriangan terasa di sana sini selain keterujaan untuk kembali ke pangkuan ayah bonda tercinta nun jauh di kampung sana. Bertemu sanak saudara dan kaum keluarga, menyambut hari indah yang penuh bermakna. Sememangnya lebaran ini begitu amat ditunggu-tunggu hadirnya.

Dikesempatan yang terluang ini, saya hulurkan sembah salam, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat salah dan silap disepanjang melayari blog ini. Atau pun disepanjang mengenali diri ini. Maklumlah, diri ini tidak sempurna. Kadang-kadang tak perasan gitu akan segala khilaf dan sifat buruknya. Manalah tahu, dalam pada menulis apa-apa cerita di blog ini, ada timbul rasa yang kurang selesa.

Saya harapkan semoga pengunjung akan bergembira selalu di hari yang mulia ini. Kalau makan ketupat rendang tu, janganlah lupakan kami di sini. Dan lagi, jangan pula terlebih makan. Nanti kolesterol, gula , darah semua naik. Silap-silap berat badan pun naik jugak. Senyum selalu..

Mersik
Pengendali Blog Alaf21 FC



Salam ukhuwah buat semua pelayar blog FC dan istimewa untuk semua novelis dan kakitangan ALAF21. Maaf jika ada tersilap kata dan tersimpul bahasa.

Moga kita ketemu lagi di Ramadan akan datang. Selamat hari raya dan hati-hati semasa memandu.

Zarina ( Ina )




Kepada semua pengunjung blog ini, warga kerja dan novelis Alaf21, serta teman2 Alaf21FC...Salam AidilFitri diucapkan sempena menyambut Syawal yang bakal hadir.
Semoga ceria selalu serta bergembira disamping keluarga tersayang dan handai taulan. Maaf dipohon untuk segala keterlanjuran kata dan bahasa. Moga kita akan bersua Ramadhan tahun hadapan. InsyaAllah.

Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ulasan Novel : Sebutlah Namaku - Murni Aqila


Tajuk novel ini menarik minat saya untuk menghayatinya. Pada pandangan saya novel ini mempunyai kemampuan bagi menarik minat pembaca khususnya para remaja. Paparan novel ini amat dekat di hati para remaja dengan jalan cerita yang tidak memeningkan kepala untuk memahaminya.

Konflik cinta, persahatan dan kerjaya sememangnya lumrah kepada setiap orang dan itulah yang dipaparkan dalam novel ini. Amelissa adala watak yang mewakili remaja seusianya. Putus cinta, rasa dipinggirkan dan renggang dalam persahatan terpaksa dilalui sebelum bertemu kebahagiaan dalam percintaan. Namun itulah sebenarnya yang mendewasakan kita.

Cinta bertepuk sebelah tangan dialami oleh Johari apabila Amelissa hanya menganggapnya sebagai abang dan anak-anaknya seperti adik. Johari menjauhkan diri daripada Amelissa menyebabkan Amelissa merasa terpinggir.

Hasrul pula cinta pertama Amelissa. Perkenalan secara tidak sengaja membuahkan bibibt-bibit cinta yang indah bagi mereka berdua. Kehangatan itu cukup mengujakan Amelissa yang tidak pernah dicinta dan mencintai. Namun cinta itu renggut oleh kesilapan Hasrul yang tidak berterus terang. Amelissa terpaksa akur bahawa sahabat baiknya Azura turut mencintai orang yang sama dan demi sebuah persahatan Amelissa dengan rela mengundur diri.

Perkenalan dengan Tajul bermula dengan salah faham yang menyangka nombor telefon Tajul adalah milik sahabat baiknya. Namun siapa sangka tersilap nombor telefon menyebabkan pertemuan Amelissa dengan Tajul bermula. Dengan hanya berbual melalui telefon, akhirnya mereka bersetuju bersua namun pertemuan yang sepatutnya berlangsung dengan santai dan ceria bertukar menjadi mimpi ngeri pada Amelissa. Benci nya pada Tajul membahang kembali hingga apa jua yang dilakukan oleh lelaki itu hanya satu helah saja bagi Amelissa. Keadaan bertambah buruk apabila Tajul menjadi boss Amelissa pula.

Namun benci bertukar menjadi rindu. Dendam terurai menjadi sayang bila Tajul tidak pernah bertindak kasar maupun mengganggunya. Hanya sesekali Tajul dengan sengaja menyakiti hati gadisnya. Sikap Tajul yang mengambil berat hingga sanggup menghantarnya pulang ke kampung bagi menziarahi ibunya yang terlantar, membuat Amelissa keliru. Apatah lagi ibunya sendiri mula menyayangi Tajul. Apa muslihat Tajul kali ini. Benci dalam sayang bertindan dalam benaknya.

Adakah keresahan Amelissa membuahkan bahagia? Siapa sebenarnya menjadi pilihan Amelissa antara tiga lelaki yang pernah cuba memilikinya. Mungkin Johari yang memang mengasihinya sepenuh hati dan berjaya menarik cinta Amelissa kepadanya. Atau tidak mustahil juga Hasrul, cinta pertamanya. Apatah lagi bila perhubungan Amelissa dan sahabat baiknya Azura kembali pulih dan keajaiban cinta mereka berdua kembali berkembang. Namun siapa tahu, mungkin lelaki yang dibenci itulah jodohnya.

Terdapat beberapa babak menarik yang termuat dalam novel ini. Babak di kedai buku pada saya sungguh romantik. Hairul dan Amelissa menggunakan tajuk novel untuk meluahkan rasa hati mereka. Selain itu, apabila Amelissa menukar nama Tajul kepada ‘hantu’ dalam senarai nombor telefonnya, saya juga tertanya-tanya. Namun, persoalan itu bakal terjawab apabila anda membaca buku ini hingga ke akhirnya..

Secara umumnya, novel ini amat santai dan saya pasti mampu meraih perhatian remaja khususnya. Kalau hendak tau, selanjutnya, jangan lupa mendapatkannya.

Selamat membaca.

Huda

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Sekitar majlis berbuka puasa dari Kelab RAM ( RAM FC )

klik di sini.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Lagi ulasan Hijab Sang Pencinta

Sudah sekian lama menantikan kewujudannya. Sejak pertemuan di Pesta Buku Antarabangsa tempohari, aku sudah merisik perkhabaran akan perkara ini dan bila sahaja mendapat tahu apa yang ku nanti sudah tiba, aku tidak berlengah waktu. Mencari kelapangan dalam kesibukan yang memang membelenggu diri. Akhirnya Hijab Sang Pecinta menjadi milikku.


Saifudin a.k.a. Laksamana Sunan merentasi Tanah Sumatera untuk kembali ke Tanah Melayu semata-mata kerana gamitan rindu pada keluarga yang sudah lama ditinggalkan. Rontaan naluri agar dirinya segera pulang ke Punggor seakan tidak dapat ditahan-tahan. Namun tiap gerak yang diaturnya teriring bersama kejahatan yang seolah tidak mahu langsung bercerai apatah lagi membebaskan dirinya. Tiap hayunan langkahnya masih dibayangi ketidakpuasan hati Taghut latnatullah yang didatangkan melalui seorang Yu-nak yang melarikan diri dari hukuman dunia hingga mewujudkan kembali Manggala yang pernah tewas satu ketika dahulu. Ternyata makhluk terkutuk itu tidak pernah putusasa walaupun Laksamana Sunan dapat menumpaskan bajingan tunggangannya.

Taghut bersumpah Manggala akan kembali meski terpaksa menanti beribu tahun dengan syarat 100 perawan mesti dipersembahkan sebagai korban untuk tujuan tersebut. Bila manusia buta dan taksub pada kemewahan, diri mudah diperdaya, justeru iman yang senipis kulit bawang bisa melayang tanpa pertimbangan. Itulah yang terjadi pada Rajikin. Baka Manggala yang dicurinya mahu dihidupkan semula lantaran keinginan untuk hidup mewah menjadi impian. Haryani yang berjaya diculik menjadi pertaruhan sebagai korban bagai kerana terpedaya dengan hasutan syaitan. Bila hidup berpaksikan nafsu, dosa tidak lagi dihiraukan, yang bertunjang di jiwa hanyalah mengecapi kemewahan dengan cara maudah dan cepat. Itulah yagn ada di fikiran Rajikin. Permintaan baka Manggala harus ditunaikan dengan apa cara sekalipun. Haryani mesti dikorbankan segera. Laksamana Sunan yang terpaksa menghindarkan diri dari Negeri Melaka akhirnya bersembunyi di dalam sebuah gua. Menyelamatkan diri dan nyawa sendiri dari Sultan yang kurang waras mengeluarkan perintah supaya laksamana itu ditangkap agar dapat ditamatkan riwayatnya hanya kerana gagal memperolehi seorang wanita yang bukan dicipta dan ditakdirkan untuk di miliki. Ternyata nafsu dan keinginan mendahului segalanya hingga mampu membutakan mata terhadap segala yang telah dilakukan oleh laksamana itu dalam memerangi kejahatan makhluk terkutuk. Tika bersembunyi inilah satu keajaiban telah terjadi. Laksamana Sunan dibawa merentasi ke abad yang tidak langsung diketahuinya.

Hadir dalam peradaban yang nyata terlalu asing buat dirinya. Atas kehendak dari-Nya, Sunan dipertemukan dengan susur galur keturunannya hingga membawa dia kembali semula ke Acheh dalam missi menyelamatkan Haryani. Kembali bertemu Haryani yang pernah menzahirkan diri di zamannya dahulu. Sesungguhnya tiada yang mustahil dalam sebuah kehidupan andai 'DIA' mengkehendaki sesuatu itu berlaku. Dalam serba kecanggungan, Sunan masih betah cuba mencari penyesuaian meski dirinya ampuh dalam apungan kepelikan. Terlalu banyak yang terpaksa dilalui hinggakan pada satu tahap dia terpaksa berhadapan dengan tuduhan kononnya bersubahat dengan Ibnu Misad dalam menyebarkan ajaran sesat. Namun berkat sabar dan takwa yang ada di dalam diri, segala dugaan itu mampu dihadapinya hingga terbukti yang dia tidak bersalah untuk terus memikul tuduhan tersebut. Cinta tak pernah kenal usia, tidak juga kerana terpaksa malah mana mungkin lahir dari paksaan penuh kepuraan. Melihat Sunan di hadapan mata mengemburkan lagi rasa yang sememangnya sudah sekian lama bertapak di jiwa Haryani. Lantaran itu di ruang mana lagi Dani mampu menempatkan dirinya?? Dia tidak mampu menolak sebuah ketentuan. Cinta Haryani tak mungkin beralih pada dirinya.

Takdir yang tersurat sudah sedemikian. Pasti ada yang tersirat disebalik sebuah ketetapan. Maka pasrahlah ketiganya menerima. Cinta yang mekar dihati kedua insan berlainan peradaban itu akan disatukan agar halal untuk mereka membajai di taman kehidupan. Perancangan dari-Nya adalah sebaik-baiknya mengatasi perancangan makhluk bergelar insan. Percintaan yang tercipta di abad ke 15 bersatu di zaman peradaban penuh kecanggihan.

Namun apakah segalanya akan berakhir dengan bahagia? Dapatkah Haryani melayari bahtera cinta bersama arjuna hatinya?? Apakah Rajikin dapat mencapai segala hasrat dan impian bilamana korban yang dipinta oleh baka Manggala kini berada disamping Sunan? Mampukah Taghut merealisasikan sumpahannya untuk menghidupkan kembali Manggala bajingan tunggangannya itu dan bagaimana Dani merawat luka cinta yang tak kesampaian. Segala hijab akan tersingkap.. Semua persoalan akan terungkai bila bertemu kalam penamat. Segala yang tersirat dalam seribu yang tersurat akan berakhir...

Hijab Sang Pencinta merupakan pelengkap bagi segala persoalan yang dizahirkan sebelum ini. Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu. Menyingkap hijab takdir dalam redho dan keizinan-Nya. Menyedarkan kita sekelian bahawa di fana milik-Nya ini tiada yang bersifat mustahil meski adatika apa yang terjadi itu tak terjangkau dek akal insani yang sejengkal cuma. Itulah kekuasaan-Nya. Bila Dia mengkehendaki sesuatu terjadi, maka terjadilah ia...

Cara garapan Abang RAM sarat dengan segala pengajaran dan panduan yang boleh kita jadikan pedoman dengan hadirnya terjemahan surah-surah yang sesuai untuk kegunaan tertentu. Membawa kita berfikir dan menilai di mana paksi dan tunjang dalam meniti kehidupan. Mengingatkan insan bahawa makhluk terkutuk dan dilaknati tidak pernah berputusasa dalam misi menyesatkan kita yang leka dalam kealpaan. Seharusnya apa yang terjadi dalam garapan novel ini memberi iktibar dan peringatan untuk kita semua renung dan halusi dalam menongkah arus kehidupan. Kejahilan bisa membawa diri terjerumus dalam kebatilan. Iman dan amal harus digandingkan agar padu supaya dapat menjadi tunjang yang berpaksi kepada 'DIA' yang SATU...

Tahniah dan terima kasih abang RAM...

Ku melihat Ratu dalam Bagaikan Puteri
Terbelenggu dalam seribu kepalsuan yang memagari diri
Terpenjara jasad terkunci sanubari
Kebatilan dan kekufuran itu yang menyinari

Cinta Sang Ratu bertahta di hati
Atas kehendak-Nya hati kita dipatri
Nur dan keinsafan mula menyinari
Membasuh dosa yang pernah menodai
Sekeping hati Sang Ratu miliki

Hijab Sang Pencinta menyingkap segala cerita
Apa yang selama ini tak jelas di mata
Tiada yang mustahil bukan jua dusta
Ketentuan dalam izin-Nya itu yang nyata


Ikhlas
Pu3Chempakabiru.
Nota:
Carrie Kirana, seorang pengulas buku, juga sedang memperkatakan tentang buku ini diblognya , sila klik di sini.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ulasan Trilogi novel-novel Ramlee Awang Murshid , Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta.

Jika kita mempertaruhkan cinta untuk kebahagiaan sepanjang hayat, letaklah Allah di tempat pertama. Jika cinta hanya kerana diri dan perasaan tanpa landasan yang betul, maka akan porak perandalah dunia yang bergelar cinta lantas dengan mudahnya iblis mencelah dan memesong manusia menjadi lebih hina dari haiwan. Dan sekutunya iaitu Taghut terkutuk juga mudah saja menjalankan tugas mengendali insan yang rakus menurut nafsu.

Dalam trilogi karya Ramlee Awang Mursyid iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan akhir sekali Hijab Sang Pencinta, cinta menjadi tunjang utama.Tetapi jangan silap tafsir. Ianya bukan hanya berkaitan antara lelaki dan wanita saja, malah lebih dari itu. Cinta pada ibu bapa, cinta pada sahabat dan teman-teman, lebih manis jika cinta insan berlainan jenis yang kukuh dan padu dijalin dengan kejujuran dan keikhlasan. Paling tepat jika saya andaikan cinta dalam novel ini lebih dalam pada DIA yang Maha Esa. Kesukaran dan rintangan yang sukar menjadi manis dan bertambah indah andai kita menerima dengan redha dan ikhlas.

Jadi, sudahkah anda memiliki ketiga-tiga novel tersebut? Ianya mempunyai kekuatan yang tersendiri malah tiap kali disambung, ada perbezaan dari novel-novel yang terdahulu. Saya akan imbas novel terdahulu sebelum mengulas novel beliau yang amat dinanti-nantikan iaitu HIJAB SANG PENCINTA.
Melalui BAGAIKAN PUTERI, kita dihidangkan dengan cinta Haryani yang begitu utuh pada Laksamana Sunan yang bermula apabila dia tercampak ke abad ke 15. Segala kepayahan dan kerumitan yang dilalui bersama Laksamana Sunan menguatkan rasa cintanya yang tidak berbelah bagi. Pertarungan sengit dengan Hang Tuah demi perintah sultan telah membuka juga hijab Kiai Mulia yang sebenarnya adalah Nyi Burga Kelara yang berdendam dengan Laksamana Sunan. Akibat dilukai oleh Nyi Burga Kelara, Haryani telah dirasuk. Pertarungan antara Laksamana Sunan dan Haryani membuahkan cemas di hati Sultan Melaka kerana baginda telah jatuh cinta pada Haryani. Lantas apakah yang terjadi seterusnya. Adakah Haryani dapat diselamatkan oleh Hang Tuah dari tangan Laksamana Sunan atas perintah sultan?

Bagaimana pula caranya Laksamana Sunan menghantar Haryani kembali ke zaman akan datang meskipun dalam hatinya ada kasih yang sudah berbunga?

Dalam CINTA SANG RATU, Laksamana Sunan berperang dengan Ratu Sulaman yang kejam dari Pulau Utara namun dia tercedera akibat panahan curi yang beracun dek Ratu Sulaman. Dia dirawat di Tanah Rencong oleh Sadiq, sahabat yang setia. Ratu yang kejam itu pergi sendiri ke Tanah Rencong dengan penuh keyakinan bagi memusnahkan Sunan yang dalam keadaan lemah. Namun sebaliknya yang berlaku. Ratu Sulaman akhirnya menyerah diri kerana tertarik dengan keikhlasan dan ketaatan Laksamana Sunan pada sang pencintaNYA..

Namun bahagia tidak hadir berpanjangan. Ratu Sulaman atau nama sebenarnya Ratna dilarikan ke Pulau Utara hingga ia menerbit rasa duka di hati Sunan. Maka perjalanan yang panjang mencari sang Ratu menemukan beliau dengan Kastiwara yang membantu Sunan menjejaki Ratu. Kehadiran Senggara sebagai orang suruhan Maharani berakhir dengan kematian yang aneh di mata pengikut Sunan.

Sementara Haryani di abad ke 21 menjejaki Dani yang hilang di Aceh akibat Tsunami. Perjalanan yang cemas dan mendebarkan hingga nyawanya hampir tergadai di tangan serigala jadian yang mahu menjadikan dia korban bagi menghidupkan semula Manggala.
Siapakah Ratu disisi Sunan? Mengapa Sunan bersungguh-sungguh menjejaki Ratu Sulaman yang pernah mencederakannya? Adakah cintanya pada Haryani masih bersisa? Apa pula hubungan Senggara dan Dani hingga akhirnya Dani kembali pulih dan bertemu Haryani kembali.

Akhir sekali, novel yang dinanti iaitu HIJAB SANG PENCINTA. Fokus diberikan pada Sunan yang kerinduan pada orang tuanya, lalu menggamit Laksamana Sunan kembali ke Tanah Melayu. Namun berbagai rintangan dan pertempuran yang terpaksa Saifudin lalui sebelum sampai ke destinasi. Pengikut-pengikut Nyi Burga Kelara memburu Sunan demi melunasi dendam atas kematian wanita terkutuk itu. Lebih memeritkan lagi apabila Sunan juga dijejaki oleh Manggala yang dihidupkan oleh Taghut lalu berlanjutan dalam pertempuran yang dirancang. Taghut masih mendendami Sunan yang tidak pernah patah semangat dan sentiasa dihijab dari dapat didekati olehnya. Kekuatan semangat dan penyerahan diri yang total pada Yang Berkuasa, adalah kunci kemenangan di pihak Sunan. Walaupun begitu dia tidak pernah mendabik dada akan kehandalan dan kewibawaannya.

Akhirnya Manggala tewas namun itu bukan pengakhir riwayatnya. Taghut bersumpah Manggala akan hidup kembali walau beribu tahun terpaksa dinanti dengan syarat 100 dara harus dikorban untuk itu. Lantas Haryani yang terpilih untuk dijadikan korban terakhir. Rajikin memburu Haryani untuk tugas tersebut. Dia begitu teruja untuk menikmati kekayaan yang dijanjikan hingga sanggup menggadaikan iman. Ini adalah konflik manusia yang sanggup bertunjangkan nafsu demi kebahagiaan dan keseronokan yang sebentar di dunia ini.
Berbalik pada Sunan, dia diperintahkan oleh Sultan Melaka supaya ditangkap yang dianggap menderhaka atas sebab membunuh Haryani wanita yang diidamkannya. Demi menyelamatkan keluarga, Sunan terpaksa menyembunyikan diri di dalam gua. Keajaiban berulang bila Sunan muncul di zaman Haryani dan Dani. Peristiwa pelik dan mengelirukan menghambat Sunan yang melihat kemajuan abad 21. Perit dirasa bila terpaksa di penjarakan kerana dikata bersubahat dengan ajaran sesat yanga dibawa Ibnu Misad. Demi kesabaran dan niat suci membenteras kemungkaran, Sunan rela apa jua. Bertemu dengan orangtua Dani merupakan rahmat yang tidak terduga lantas mengheret Sunan ke Acheh bagi menyelamatkan Haryani yang ditawan Rajikin.

Jika cinta yang tidak pernah surut, lalu apa lagi yang dinanti. Malah kasih yang suci bertambah kuat melihat lelaki yang dipuja ada di depan mata. Lalu harus kemana kasih Dani ditumpah jika Haryani tidak mampu di tawan hatinya.

Sunan pasrah dengan takdir dan akur dengan hati. Maka bertaut kembali cinta yang tercipta di abad 15 hingga ke saat ini. Bahagia yang dikecapi bersama lelaki tercinta membuah keindahan yang tidak bertepi.

Mampukah Sunan dan Haryani mengharungi detik yang dinanti di abad 21 ini sedangkan Sunan adalah milik masa lampau yang terperangkap dek peralihan zaman atas kehendakNya. Dan mampu jugakah Haryani menahan masa agar Saifudin tetap berada di sisinya.

Apa berlaku pada Manggala dan Rajikin yang hanya menanti korban terakhir dan pada saat itu iblis pasti menari meraikan saat kehancuran manusia sejagat di bawah kuasa jahat dan kejamnya.
Kemanakah pula Dani membawa diri kerana tidak mampu menggapai cinta Haryani?

Apa yang boleh saya andaikan di sini, kelebihan trilogi karya RAM amat dekat di hati kerana dia bukan saja berbicara tentang misteri atau kejahatan semata, malah ia lebih bersandar pada hakikat yang kita tidak boleh lari dari hidup dan mati. Yang pasti hidup harus berteras kebenaran dan menolak kebatilan. Keteguhan hati padaNYA adalah satu-satu harapan untuk meneruskan sisa hidup dengan lebih tenang dan penuh keyakinan.

Jika anda belum lagi memiliki triologi novel tersebut, saya sarankan anda memilikinya kerana ianya satu antara beribu novel yang tidak ketandusan kasih sayang, perhatian dan kebenaran. Bezanya antara novel yang lainnya, adalah kekemasan jalan cerita dan perasaan ingin tahu penyudah ceritanya membuat pembaca enggan melepaskannya. Seorang sahabat di Kelantan ada bertanya, best ke novel RAM? Saya sekadar berkata, cuba baca dulu baru tau best atau tidak. Jika asyik budu jadi santapan,tidak salah sesekali beralih merasa tempe pula, maka pelbagai rasa dapat dinikmati, barulah perut harmoni.

Syabas untuk RAM yang meraih carta teratas di kedua-dua gedung buku yang terbesar dipasaran. Semoga, akan datang akan terbit lagi novel yang lebih hebat dengan inti yang lebih mantap dan bertenaga.

INA

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ramlee Awang Murshid live , esok!




These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

HIjab Sang Pencinta , TOP dia dua gedung buku besar!

Hijab Sang Pencinta, karya Ramlee Awang Murshid mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai carta top 5 di kedua-dua gedung buku besar. Carta terkini yang terbit di akhbar Berita Harian 12 September, mencatatkan Hijab Sang Pencinta di tempat teratas di kedua-dua gedung buku MPH dan POPULAR, dua syarikat yang mempunyai rangkaian kedai-kedai buku di seluruh Malaysia.

Menyentuh mengenai fenomena ini, Mohd Feroz, Presiden Kelab Alaf21fc berkata, “Antara faktor yang menyebabkan Hijab Sang Pencinta diterima khalayak pembaca ialah kerana kelainannya. Hijab Sang Pencinta hadir di pasaran yang dipenuhi dengan novel-novel cinta dan kekeluargaan. Pembaca perempuan yang inginkan kelainan akan mendapatkan novel ini. Pembaca lelaki yang hauskan bahan bacaan untuk golongan mereka memperoleh Hijab Sang Pencinta sebagai santapan minda mereka.” Beliau juga turut mengambil faktor promosi yang berterusan ALAF 21 sebagai salah satu sebab mengapa Hijab Sang Pencinta diterima ramai.

“Saya tak sangka! Tak tau nak cakap apa!” demikian reaksi Noorsyeila Bibi Mohamed Din, peneraju kelab peminat Ramlee Awang Murshid atau RAMfc. “Selama ini novel-novel cinta akan menjuarai carta kat gedung-gedung tu. Sekarang Hijab dapat tempat juara. Kawan-kawan di fan club pun suka sangat. Tak sia-sia bila kami berkali-kali promosikan Hijab kepada ahli-ahli.”

Kak Wan Rohana, Editor Kanan di Alaf 21 pula turut gembira dengan berita itu. Namun, ada kerisauan bila komennya dipinta. “Mulai dari sekarang, Alaf 21 kena bersedia untuk menempah ulangcetak! Takut terputus bekalan!”


Nota : Berita dipetik dari laman web Alaf21

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ulasan Novel : Kerana Terluka - Aida Adriani


Novel ketiga karya Aida Adriani, KERANA TERLUKA telah sampai ke sisi para peminat setianya. Ia bukan setakat mengisahkan luka dijari malah lebih dari itu.

Terluka kerana kesilapan sendiri adalah perkara biasa yang tidak mampu kita elakkan. Tapi kalau ia disebabkan insan lain iaitu insan yang dihormati malah mempunyai nama yang gah pada masyarakat, semestinya ia amat menyedihkan dan menyakitkan. Mendengar saja hati sudah terluka, apalagi mengharunginya dalam sekian waktu yang lama.

Seorang nenek sewajarnya mencurah kasih sayang pada cucu tapi sebaliknya yang berlaku. Cucu yang dahagakan kasih ibu dan perhatian nenek tidak tergapai tangan malah dia kerap dicerca dan dihina. Nudra menahan hati yang parah terluka kerana disisihkan oleh nenek, makcik-makcik dan sepupunya. Ibu yang diharap untuk melindunginya juga tidak mampu bersuara walau sepatah, hingga terasa kehadirannya tidak pernah diingini.

Nasib baiklah ada dua sepupunya yang memahami iaitu Syameer dan Ruslina. Namun bahang menjadi kian panas bila dia ditohmah sebagai anak luar nikah, hasil permukahan ibunya dan abang tirinya. Kenyataan itu membuatkan ibu Iskandar memutuskan tali pertunangan mereka.

Hidup memang kejam dan kelangsungan itu yang berterusan memamah hati dan perasaan yang sedia terluka. Iskandar tetap berdegil dengan pendiriannya untuk memperisterikan Nudra. Hasil usaha Syameer, Nudra didapati bukan anak luar nikah tapi anak kandung ibunya dan suaminya yang sah. Lantas Iskandar mengambil tindakan nekad menikahi Nudra walau ibunya masih membenci Nudra. Tapi mengapa tohmahan itu terjadi?Adakah sengaja diadakan cerita agar Nudra dan ibunya terseksa zahir dan batin. Siapa dalang semua fitnah yang gila ini? Tapi demi iman dan kasih yang dijunjung, Nudra pasrah dan menerima segalanya.

Hidup Nudra yang baru bertatih bahagia, tersadung badai bila ibu mertuanya mendesak Iskandar mengahwini Melissa sepupu yang baru saja ditemui, juga merupakan anak murid Nudra. Apalagi yang mampu Nudra lahirkan jika itu kehendak takdir. Lebih menyakitkan hati apabila ibu mertuanya berusaha memisahkan cinta mereka berdua. Tidak cukup dengan itu, berbagai helah turut dilakukan agar kedua insan yang saling menyayangi ini terpisah terus.

Iskandar tersepit antara dua tanggungjawab yang wajib dipikul. Cinta yang mendalam pada isteri dan kasih pada ibu yang melahirkan. Berkecamuk fikiran Iskandar bila hati Melissa yang tidak memahami keadaan harus dijaga juga. Bukan mudah sebenarnya beristeri dua. Kalau lelaki mengambil mudah dan remeh, yang jadi mangsa adalah isteri-isteri. Lalu nak dicampak kemana iman lelaki senipis bawang. Tapi, Iskandar tidak seperti itu.

Jika hati tidak kental, andai jiwa tidak sabar, maka akan terciptalah perbalahan yang lebih besar. Memang bukan mudah menerima keadaan suami meninggalkan diri berbulan-bulan lamanya tanpa khabar. Bukan juga senang menerima bila terpaksa berkongsi suami dalam kekalutan badai yang tiada hentinya. Di kiri, dihina nenek. Di kanan, dibenci mertua dan di hadapan, suami yang kerap hilang tanpa khabar berita bersama isterinya yang lain.

Namun,segala kekusutan ada jawapannya. Kesabaran akan dibalas dengan kemanisan.

Hidupnya yang terumbang ambing kembali tenang setelah akhirnya diri mengambil keputusan.

Anda ingin tahu kesudahan hidup Nudra? Anda ingin tahu mengapa ibu Nudra menyepi diri walau sebenarnya dalam hatinya penuh rasa kasih yang tidak berpenghujung. Bagaimana pula nenek Nudra yang menutup hati dari disimbah Nur Ilahi. Akan berkekalankah jodoh Nudra dan Iskandar yang tidak sudah-sudah diuji. Bagaimana pula dengan Melissa yang seawal jodohnya tidak tahu bahawa Iskandar adalah suami Nudra, yakni gurunya sendiri.

Cetusan permusuhan adalah permainan iblis. Jika kita termasuk dalam golongan manusia yang tidak pandai menilai kaca dan intan, maka dengan mudah kita diseret dalam permainan ini. Kedudukan di dunia bukan ukuran untuk kemegahan di akhirat. Walau kaya yang tidak terhitung, janganlah kerana itu kita jadi perosak rumahtangga insan lain. Walau kedudukan sebagai ibu, tidak sewajarnya menghukum anak yang ingin bahagia dengan melontarkan berbagai tuntutan dan ugutan.

Secara amnya, saya berpuashati dan teruja membaca novel ini. Tiap tinta terselit pengajaran. Tunjang hidup biarlah penuh berilmu. Bukan untuk dunia saja malah lebihkanlah akhirat. Akhlak yang mulia lebih indah jika kita mampu menysyukuri dan menjadikan sebagai pelengkap diri.

Aida Adriani telah melahirkan satu novel yang cukup asam garamnya. Anda harus memilikinya kerana ia bukan saja indah pada jalan cerita malah lebih dari itu. Carilah dalam novel tersebut akan sekian banyak ilmu,hiburan dan santapan rohani.

Syabas buat Aida Adriani moga berterusan menghasilkan novel-novel bermutu dan setanding dengan barisan para novelis terkenal.


Ina

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ulasan Novel : Kumohon Kasih - Haiza Najwa


Kekuatan pada novel KUMOHON KASIH persembahan Haiza Najwa adalah kesetiaan yang kental pada cinta dan sumpah pada janji. Walau bertahun ditinggal merana dan menderita, kasih yang membara tetap dipertahankan yang akhirnya menjadi dendam yang trajis.

Apa lagi yang tinggal pada wanita jika kesuciannya direnggut tanpa rela. kemudian ditinggalkan begitu saja dengan sumpah yang mengikat hati dan hidup wanita ini. Ayuni, gadis Kelantan yang teguh pendirian dan kuat berpegang pada janji walau janji itu akhirnya tidak ubah seperti mengusung nanah sepanjang hayat. Rindu yang sarat dan cinta yang mendalam memaksa dia menelan nista dan tohmahan. Dalam hati, hanya dia yang tahu betapa rakusnya insan bergelar kekasih merobek hati dan kesuciannya dengan kejam. Cintanya yang dijaga utuh kini bertukar menjadi dendam.

Ayuni menanti kekasihnya pulang untuk menunai janji untuk sehidup semati.
Namun kekasih yang didamba menghilangkan diri begitu saja tanpa pamitan. Hati kecilnya lebih terusik bila bayi itu dikata milik suaminya, Awang. Hingga apabila Awang diwartakan mati lemas di lautan, Ayuni kian kerap menanti di pantai. Mak Som, ibu Ayuni, hiba melihat anaknya yang dikatakan gila kerana menanti suami yang tidak kunjung tiba. Walhal dalam hati Ayuni kekasih yang didendami ditunggu selama ini.

Kemunculan Rozaimy memberi nafas baru pada keluarga miskin itu hingga akhirnya Ayuni menerima lamaran Rozaimy. Putra, anak Ayuni begitu rapat dengan Rozaimy. Cinta Rozaimy pada Ayuni begitu suci dan dalam namun dia terpaksa berkahwin dengan sepupu sendiri iaitu Salwarina atas nama keluarga.

Lalu muncullah satu demi satu masalah yang terpaksa dipikul Ayuni hingga dia mengidap amnesia akibat kemalangan selepas keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan penghinaan Salwarina. Ujian lebih hebat buat Rozaimy bila teman rapatnya,Firdaus berkahwin dengan Ayuni tanpa mengetahui siapa sebenarnya Ayuni dan lebih malang masih lagi menjadi isteri Rozaimy!

Keadaan kian runcing bila Firdaus sendiri memang mencintai Ayuni yang dipanggil Puteri. Perbalahan antara kedua sahabat ini menjadikan Firdaus sanggup melakukan apa saja bagi memiliki semula Ayuni.

Lebih malang bila Salwarina terjebak dalam perhubungan terlarang dengan seorang lagi sahabat baik Rozaimy. Kucar kacir jadinya hidup Rozaimy apatah lagi bila dia sering dihantui oleh keinginan Ayuni bertemu kekasihnya bagi melunasi dendamnya.

Siapakah kekasih Ayuni dan apa kaitan Rozaimy dengan lelaki yang dinanti oleh isterinya itu.

Mengapa tergamak Salwarina menjalin hubungan terlarang dengan Nazuan meski cintanya utuh untuk Rozaimy sejak kecil lagi?

Apakah yang telah dilakukan Firdaus hingga akhirnya Ayuni berjaya melunasi dendamnya terhadap kekasih hati yang dicintai?

Saya sarankan anda beli novel ini kerana sekali anda baca, anda akan cuba menghabiskannya.

Saya teruja dengan kekentalan cinta milik Ayuni dan Rozaimy. Bukan semudah itu menemui insan yang setia dan berani. Walau terlalu lewat Rozaimy melamar Ayuni namun kebahagiaan sentiasa dihati kerana wanita pujaannya telah ada di depan mata. Namun kesinambungan kesilapan lalu, menghalang kebahagiaan dikecapi setiap saat. Apapun janganlah tenggelam dalam sumpah sesama manusia yang akibatnya merana sepanjang hayat. Kesetiaan sewajrnya diberi pada suami dan lebih indah pada DIA.

Syabas untuk Haiza Najwa! Moga selepas ini dapat menghasilkan buah tangan lebih menarik dan mengujakan.

Akhir dari saya, cintailah ALLAH, kerana DIA tidak akan meninggalkan kita walau di saat kita dalam kesukaran.

Ina

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Sekitar Majlis Soft Launch Rindu Belum Berhenti - Dhiya Zafira.

Bertemu dengan novelis kesayangan memang mengujakan apatah lagi jika bertemu dengan ramai NOVELIS-NOVELIS tersayang. Sungguh menyeronokkan!

Terima kasih buat Dhiya Zafira kerana sudi menjemput saya menghadiri majlis bersantai untuk meraikan Soft-launch novel beliau – RINDU BELUM BERHENTI. Dalam keadaan sarat begini memang sukar untuk bergerak.Namun kemuliaan hati Norzailina Nordin menumpangkan saya membuatkan saya rasa begitu terharu. Saya ucapkan jutaan terima kasih atas budi baik Norzailina. Tidak terbalas rasanya

Peluang bersantai pada 30 Ogos yang lepas tidak akan hadir buat kali kedua dalam waktu terdekat ini. Ibarat perjumpaan ramai sebelum menyambut bulan puasa..

Alhmdulillah, kami sampai lebih kurang pukul 10 pagi di Pizza Hut, Maju Junction. Saya yang kebetulan teringin hendak menjamah pizza, makin terbau-bau pula aromanya. Kecoh betul mak buyung ni! Suasana di awal pagi di Maju Junction Mall tidak begitu sesak.


Dhiya dengan mesra menyambut kami. Berseri sungguh wajahnya. Kelihatan beberapa temannya yang tiba bersama kami juga begitu ceria dan gembira. Saya yang tidak pernah menghadiri majlis sebegini sudah pasti teruja untuk mengetahui apa agenda di dalamnya. Mersik akhirnya tiba dengan relaxnya. Nasib baiklah ada Syafiq, anak teruna Lily Haslina buat peneman kaum adam, kalau tidak, dia tentulah jadi lelaki melayu terakhir.

Nak tau siapa novelis-novelis yang hadir? Hah, tu yang seronoknya. Novelis tersebut adalah tidak lain tidak bukan Dhiya sendiri, Norzailina,Lily Haslina, Eka Faraha,Laila Kamilia, Lynn Dayana dan Hezzy Azra. Tidak ketinggalan Silencez dan Dyea dari Geng Kicap, Carrie Kirana, Rinn dan beberapa teman Dhiya yang lain. Ija (ahli FC) yang sudah lama tidak bertemu turut hadir.

Majlis berjalan dengan penuh meriah dan akrab. Sup cendawan dan garlic bread kesukaan saya menjadi pembuka santapan. Berselera sungguh! Laila selaku pengacara majlis mengalu-alukan kehadiran kami. Kami semua diminta memperkenalkan diri masing-masing maka riuh rendah ketawa dan usikan pada para hadirin. Kemudian beliau membacakan sinposis novel terbaru Dhiya serta meyentuh serba sedikit mengenai latar belakang penulis ini. Nampak santai saja tuan pengerusi majlis. Agaknya sudah biasa menguruskan acara yang sebegini, maklumlah, cikgu gitu. Dan seterusnya, yang ditunggu-tunggu pun sudah terbau-bau aromanya, Pizza yang berbagai jenis dan rasa, mula dihidangkan. Kami semua pun, apalagi...

Apa-apa pun, saya mengucapkan tahniah buat Dhiya atas hasil novel keduanya yang sudah pun berada di pasaran. Semoga beliau akan terus menulis dan berusaha dengan jaya supaya menjadi penulis yang berjaya dan mempunyai karya-karya yang ngetop.


Anda boleh memiliki novel tersebut di mana-mana toko buku atau pesan terus dari ALAF21. Novel kali ini agak menarik dengan isi dan jalan cerita yang berbeza dari novel pertama. Dhiya makin bijak menggunakan gaya bahasa yang menarik.

Dalam pada menjamu selera, rupa-rupanya ada cenderahati untuk semua peserta dan ditambah lagi dengan cabutan bertuah!! Memang bertuah siapa yang hadir!!

Apa yang boleh saya kata ianya adalah majlis santai, meriah dan ceria. Ada makanan, hadiah dan yang lebih seronok lagi apabila dapat berbual mesra dengan novelis-novelis yang ada. Sikap perramah dan sporting mereka membuat saya rasa selesa. Apatah lagi dapat kawan-kawan baru terutama Geng Kicap dan Carrie Kirana.

Majlis ini diadakan oleh novelis sendiri yang berinisiatif untuk sama-sama meningkatkan mutu novel Melayu. Di samping itu mereka juga saling menyokong diantara satu sama lain. Dengan adanya aktiviti yang sebegini, para penulis dapat berkumpul dan bertanya khabar mengenai diri masing-masing dan juga bidang penulisan.

Hubungan rapat dan baik antara novelis adalah satu cara terbaik meraih kekuatan minda dan rohani. Bertukar-tukar fikiran dan bersantai bersama pasti mampu memacu ilham lebih mantap dan menarik.
Apapun saya kagum dengan usaha mereka ini semua. Berkorban bersama ahli dan bersedia meluang masa untuk merealisasikan impian dan harapan mencipta dan berkarya bagi memenuhi permintaan peminat novel-novel Melayu. Saya doakan mereka terus sukses dan sukses.

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan tahniah pada Dhiya dan semua novelis yang terlibat. Moga bertemu lagi di majlis seterusnya untuk persahabatan lebih akrab dan bermakna.

Tidak lupa buat Norzailina yang sabar melayan kerenah mak buyung sorang ni…

ina

Nota : Ikuti berita tentang majlis yang sama dari blog Gengkicap dan Dhiya Zafira sendiri.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Puasa...

Selamat menunaikan ibadan Puasa.

Semoga kita menjadi orang yang kembali "suci"

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati