Jika kita mempertaruhkan cinta untuk kebahagiaan sepanjang hayat, letaklah Allah di tempat pertama. Jika cinta hanya kerana diri dan perasaan tanpa landasan yang betul, maka akan porak perandalah dunia yang bergelar cinta lantas dengan mudahnya iblis mencelah dan memesong manusia menjadi lebih hina dari haiwan. Dan sekutunya iaitu Taghut terkutuk juga mudah saja menjalankan tugas mengendali insan yang rakus menurut nafsu.

Dalam trilogi karya Ramlee Awang Mursyid iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan akhir sekali Hijab Sang Pencinta, cinta menjadi tunjang utama.Tetapi jangan silap tafsir. Ianya bukan hanya berkaitan antara lelaki dan wanita saja, malah lebih dari itu. Cinta pada ibu bapa, cinta pada sahabat dan teman-teman, lebih manis jika cinta insan berlainan jenis yang kukuh dan padu dijalin dengan kejujuran dan keikhlasan. Paling tepat jika saya andaikan cinta dalam novel ini lebih dalam pada DIA yang Maha Esa. Kesukaran dan rintangan yang sukar menjadi manis dan bertambah indah andai kita menerima dengan redha dan ikhlas.

Jadi, sudahkah anda memiliki ketiga-tiga novel tersebut? Ianya mempunyai kekuatan yang tersendiri malah tiap kali disambung, ada perbezaan dari novel-novel yang terdahulu. Saya akan imbas novel terdahulu sebelum mengulas novel beliau yang amat dinanti-nantikan iaitu HIJAB SANG PENCINTA.
Melalui BAGAIKAN PUTERI, kita dihidangkan dengan cinta Haryani yang begitu utuh pada Laksamana Sunan yang bermula apabila dia tercampak ke abad ke 15. Segala kepayahan dan kerumitan yang dilalui bersama Laksamana Sunan menguatkan rasa cintanya yang tidak berbelah bagi. Pertarungan sengit dengan Hang Tuah demi perintah sultan telah membuka juga hijab Kiai Mulia yang sebenarnya adalah Nyi Burga Kelara yang berdendam dengan Laksamana Sunan. Akibat dilukai oleh Nyi Burga Kelara, Haryani telah dirasuk. Pertarungan antara Laksamana Sunan dan Haryani membuahkan cemas di hati Sultan Melaka kerana baginda telah jatuh cinta pada Haryani. Lantas apakah yang terjadi seterusnya. Adakah Haryani dapat diselamatkan oleh Hang Tuah dari tangan Laksamana Sunan atas perintah sultan?

Bagaimana pula caranya Laksamana Sunan menghantar Haryani kembali ke zaman akan datang meskipun dalam hatinya ada kasih yang sudah berbunga?

Dalam CINTA SANG RATU, Laksamana Sunan berperang dengan Ratu Sulaman yang kejam dari Pulau Utara namun dia tercedera akibat panahan curi yang beracun dek Ratu Sulaman. Dia dirawat di Tanah Rencong oleh Sadiq, sahabat yang setia. Ratu yang kejam itu pergi sendiri ke Tanah Rencong dengan penuh keyakinan bagi memusnahkan Sunan yang dalam keadaan lemah. Namun sebaliknya yang berlaku. Ratu Sulaman akhirnya menyerah diri kerana tertarik dengan keikhlasan dan ketaatan Laksamana Sunan pada sang pencintaNYA..

Namun bahagia tidak hadir berpanjangan. Ratu Sulaman atau nama sebenarnya Ratna dilarikan ke Pulau Utara hingga ia menerbit rasa duka di hati Sunan. Maka perjalanan yang panjang mencari sang Ratu menemukan beliau dengan Kastiwara yang membantu Sunan menjejaki Ratu. Kehadiran Senggara sebagai orang suruhan Maharani berakhir dengan kematian yang aneh di mata pengikut Sunan.

Sementara Haryani di abad ke 21 menjejaki Dani yang hilang di Aceh akibat Tsunami. Perjalanan yang cemas dan mendebarkan hingga nyawanya hampir tergadai di tangan serigala jadian yang mahu menjadikan dia korban bagi menghidupkan semula Manggala.
Siapakah Ratu disisi Sunan? Mengapa Sunan bersungguh-sungguh menjejaki Ratu Sulaman yang pernah mencederakannya? Adakah cintanya pada Haryani masih bersisa? Apa pula hubungan Senggara dan Dani hingga akhirnya Dani kembali pulih dan bertemu Haryani kembali.

Akhir sekali, novel yang dinanti iaitu HIJAB SANG PENCINTA. Fokus diberikan pada Sunan yang kerinduan pada orang tuanya, lalu menggamit Laksamana Sunan kembali ke Tanah Melayu. Namun berbagai rintangan dan pertempuran yang terpaksa Saifudin lalui sebelum sampai ke destinasi. Pengikut-pengikut Nyi Burga Kelara memburu Sunan demi melunasi dendam atas kematian wanita terkutuk itu. Lebih memeritkan lagi apabila Sunan juga dijejaki oleh Manggala yang dihidupkan oleh Taghut lalu berlanjutan dalam pertempuran yang dirancang. Taghut masih mendendami Sunan yang tidak pernah patah semangat dan sentiasa dihijab dari dapat didekati olehnya. Kekuatan semangat dan penyerahan diri yang total pada Yang Berkuasa, adalah kunci kemenangan di pihak Sunan. Walaupun begitu dia tidak pernah mendabik dada akan kehandalan dan kewibawaannya.

Akhirnya Manggala tewas namun itu bukan pengakhir riwayatnya. Taghut bersumpah Manggala akan hidup kembali walau beribu tahun terpaksa dinanti dengan syarat 100 dara harus dikorban untuk itu. Lantas Haryani yang terpilih untuk dijadikan korban terakhir. Rajikin memburu Haryani untuk tugas tersebut. Dia begitu teruja untuk menikmati kekayaan yang dijanjikan hingga sanggup menggadaikan iman. Ini adalah konflik manusia yang sanggup bertunjangkan nafsu demi kebahagiaan dan keseronokan yang sebentar di dunia ini.
Berbalik pada Sunan, dia diperintahkan oleh Sultan Melaka supaya ditangkap yang dianggap menderhaka atas sebab membunuh Haryani wanita yang diidamkannya. Demi menyelamatkan keluarga, Sunan terpaksa menyembunyikan diri di dalam gua. Keajaiban berulang bila Sunan muncul di zaman Haryani dan Dani. Peristiwa pelik dan mengelirukan menghambat Sunan yang melihat kemajuan abad 21. Perit dirasa bila terpaksa di penjarakan kerana dikata bersubahat dengan ajaran sesat yanga dibawa Ibnu Misad. Demi kesabaran dan niat suci membenteras kemungkaran, Sunan rela apa jua. Bertemu dengan orangtua Dani merupakan rahmat yang tidak terduga lantas mengheret Sunan ke Acheh bagi menyelamatkan Haryani yang ditawan Rajikin.

Jika cinta yang tidak pernah surut, lalu apa lagi yang dinanti. Malah kasih yang suci bertambah kuat melihat lelaki yang dipuja ada di depan mata. Lalu harus kemana kasih Dani ditumpah jika Haryani tidak mampu di tawan hatinya.

Sunan pasrah dengan takdir dan akur dengan hati. Maka bertaut kembali cinta yang tercipta di abad 15 hingga ke saat ini. Bahagia yang dikecapi bersama lelaki tercinta membuah keindahan yang tidak bertepi.

Mampukah Sunan dan Haryani mengharungi detik yang dinanti di abad 21 ini sedangkan Sunan adalah milik masa lampau yang terperangkap dek peralihan zaman atas kehendakNya. Dan mampu jugakah Haryani menahan masa agar Saifudin tetap berada di sisinya.

Apa berlaku pada Manggala dan Rajikin yang hanya menanti korban terakhir dan pada saat itu iblis pasti menari meraikan saat kehancuran manusia sejagat di bawah kuasa jahat dan kejamnya.
Kemanakah pula Dani membawa diri kerana tidak mampu menggapai cinta Haryani?

Apa yang boleh saya andaikan di sini, kelebihan trilogi karya RAM amat dekat di hati kerana dia bukan saja berbicara tentang misteri atau kejahatan semata, malah ia lebih bersandar pada hakikat yang kita tidak boleh lari dari hidup dan mati. Yang pasti hidup harus berteras kebenaran dan menolak kebatilan. Keteguhan hati padaNYA adalah satu-satu harapan untuk meneruskan sisa hidup dengan lebih tenang dan penuh keyakinan.

Jika anda belum lagi memiliki triologi novel tersebut, saya sarankan anda memilikinya kerana ianya satu antara beribu novel yang tidak ketandusan kasih sayang, perhatian dan kebenaran. Bezanya antara novel yang lainnya, adalah kekemasan jalan cerita dan perasaan ingin tahu penyudah ceritanya membuat pembaca enggan melepaskannya. Seorang sahabat di Kelantan ada bertanya, best ke novel RAM? Saya sekadar berkata, cuba baca dulu baru tau best atau tidak. Jika asyik budu jadi santapan,tidak salah sesekali beralih merasa tempe pula, maka pelbagai rasa dapat dinikmati, barulah perut harmoni.

Syabas untuk RAM yang meraih carta teratas di kedua-dua gedung buku yang terbesar dipasaran. Semoga, akan datang akan terbit lagi novel yang lebih hebat dengan inti yang lebih mantap dan bertenaga.

INA

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati