Pertama kali menjejakkan kaki di sebuah rumah kolonial di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, saya tertarik dengan persekitarannya yang nyaman dan menghijau.

Sabtu, 28hb Julai 2007, bersaksikan Rumah Pena, telah diadakan program PAsiNo yang pertama iaitu, Baca Naskhah Ramlee Awang Murshid. Program PAsiNo ini adalah salah satu aktiviti yang telah diperkenalkan oleh Kelab Peminat Novel Alaf21 atau lebih dikenali sebagai Alaf21 FC.

PAsiNo adalah singkatan bagi Program Apresiasi Novelis. Tujuan ia diperkenalkan adalah untuk merapatkan hubungan ukhwah antara penulis dan pembaca serta peminat pada karya-karya mereka.

Apa itu baca naskhah? Ia adalah satu kaedah atau teknik pembacaan karya (satu fragmen) dihadapan khalayak secara terbuka. Kepelbagaian kreativiti dan intonasi yang dilontarkan oleh seseorang pembaca naskhah tentu sahaja akan menjadikan naskhah tersebut lebih menarik untuk dinikmati, selain dari kekuatan naskhah itu sendiri.

Baca naskhah juga merupakan satu wadah mengekspresikan karya-karya tulisan novelis, selain menyatakan rasa penghargaan dan tanda sokongan terhadap novelis itu sendiri.



Kumpulan Gendang Gemala Kasturi, pimpinan Saudara Serunai Faqir, membuka tirai majlis dengan iringan musik yang sungguh merdu dan mendamaikan halwa telinga. Beberapa irama melayu telah didendangkan menggunakan pelbagai alat-alat musik tradisional seperti serunai, gendang ibu, gendang anak, dan gong. Lagu Bol Radha Bol mengakhiri acara.

“Baca Naskhah adalah sesuatu yang sinonim dengan para sasterawan. Ianya telah julung-julung kali diadakan dan bukanlah sesuatu yang baru hari ini. Namun inilah pertama kali ianya diadakan untuk novel popular. Program ini merupakan langkah awal untuk memartabatkan novelis-novelis novel popular.” Ini adalah antara ucapan yang dilontarkan oleh Saudara Zaifulnizam Wagiran selaku Pengarah Program pada hari tersebut.

Presiden Kelab, Saudara Mohammad Feroz @ Abang Long juga merakamkan rasa gembiranya dengan pengenalan program ini kepada masyarakat. Beliau juga berharap agar ianya adalah sebagai satu perintis untuk merapatkan hubungan antara novelis dan pembaca.

( Antara tetamu istimewa yang hadir, En. Norden Mohamed , Pengurus Besar Alaf21, Ramlee Awang Murshid. Di sebelahnya adalah En Feroz ( Abang Long ), Peneraju Alaf21 FC )

Majlis telah diserikan dengan pembaca-pembaca dari pelbagai lapisan umur dan bangsa. Peserta cilik, adik Nur Adilah dan Nur Izzati yang berusia antara 9-10 tahun, telah berjaya memikat hati para hadirin dengan bacaan yang santai dan intonasi yang bersahaja. Tidak ketinggalan, pembaca berbangsa Tionghua, Saudari Loke Li Hoon, turut menunjukkan bakat yang tersembunyi.
Para hadirin juga telah diperdengarkan bacaan fragmen dari seorang novelis dari Indonesia, Arlena Arlan Gucci. Antara novel tulisan beliau adalah ‘Surat Dari Tebing Barat’. Slanga Indonesianya dan penyampaian yang mantap, mampu membuat para hadirin terpegun. Tidak dinafikan, kepelbagaian cara dan teknik penyampaian oleh semua pembaca mampu memeriahkan majlis. Siapa sangka, novel thriller karya-karya Ramlee Awang Murshid mampu mencungkil bakat-bakat terpendam yang diketepikan selama ini. Sekaligus, membuktikan bahawasanya novel popular juga boleh dijadikan sebagai bacaan naskhah.

Novelis yang diraikan pada hari itu, Saudara Ramlee Awang Murshid, yang ditemani oleh isteri dan anaknya, turut melahirkan rasa terharunya. Antara ucapannya, beliau menyatakan bahawa ini adalah antara penghargaan yang tidak mungkin dilupakan. Beliau juga melahirkan syukurnya yang tidak terhingga kerana dapat menghadirkan diri untuk sama-sama menikmati Program Baca Naskhah ini.

Encik Norden Mohamad, Pengurus Besar Alaf21, turut sama meraikan majlis yang sederhana tetapi meriah ini. Selain dari itu, sebahagian staff editorialnya juga hadir. Di dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan agar program murni sebegini diteruskan di masa-masa akan datang. Beliau juga berharap agar usaha mempopularkan novel akan merapatkan novel dan masyarakat. Walaupun masyarakat hari ini sudah mula minat dan jinak membaca, namun amat digalakkan agar bahan pembacaan dipelbagaikan.

Majlis disudahi dengan makan tengahari bersama. Majlis yang sederhana, namun meriah dengan ramah mesra dan gelak ketawa dari gurauan yang dikongsi bersama. Apatah lagi, pengacara majlis pada hari tersebut, Saudari Azie, sungguh petah dengan kata-kata yang menceriakan dan menghidupkan suasana majlis.

Program Apresiasi Novelis (PAsiNo) pada hari itu tidak habis di Rumah Pena sahaja. Seusai Program Baca Naskhah Ramlee Awang Murshid, kami berombongan ke Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor. Disitulah, Novelis Sharifah Abu Salem menanti kedatangan kami dengan penuh kesabaran. Ternyata, kunjungan kami mendapat sambutan yang sungguh meriah daripada keluarga dan dusun Kak Sharifah.

Kepada Novelis Ramlee Awang Murshid dan Sharifah Abu Salem, kami mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama. Tidak kami lupakan, Encik Norden Mohamad yang turut sama menghadirkan diri hari itu. Kerjasama dari semua, sangat dihargai.

bersambung...

Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati