C.I.N.T.A. Pernahkah anda dilamun cinta, atau sedang bercinta atau ingin dilamun cinta? Bagaimanakah pula perjalanan dan rasa cinta anda. Adakah cinta anda itu rasanya manis, pahit, masam,payau atau cinta anda adalah cinta yang terpendam, cinta terhalang atau cinta yang bertepuk sebelah tangan?

Bagi anda yang sedang dilamun cinta atau yang baru ingin belajar bercinta dan ingin merasakan indah dan sakitnya bercinta, apa kata anda membaca karya terbaru Aisya Sofea yang bertajuk ' Selagi Ada Dia '.

Ini adalah kerana karya terbaru beliau ini ditujukan khas pada mereka yang pernah jatuh cinta, putus cinta, dan kembali mencintai.

Membaca hasil karya terbaru Aisya ini membuatkan saya mengimbau kembali kenangan lalu, seterusnya mengingatkan saya kepada sebuah lagu nyanyian kumpulan Alleycats yang tidak saya ingat judulnya tetapi beberapa rangkap lagunya masih terpahat dihati ini . Antara rangkap lagunya berbunyi begini :


Cinta itu boleh diumpamakan bagai
makan sambal belacan
Walau pedas sehingga mengalir air mata
masih mahu dimakan juga


Novel Aisya Sofea pada kali ini mengajak kita menerokai dan menjelajah perjalanan cinta seorang gadis yang bernama Arianni yang penuh dengan suka duka dan warna-warni.

Pertemuan awal yang dipenuhi dengan pergaduhan dan rasa benci, akhirnya telah membibitkan rasa cinta di antara Arianni dengan Haris.

Namun apakan daya, lelaki pertama yang dicintai sepenuh hati rupanya kekasih pujaan kakaknya, Malini . Sepanjang musim percintaan mereka, Arianni terpaksa makan hati dan menahan rasa dengan sikap Haris yang tidak mahu berterus-terang tentang hubungan mereka yang sebenarnya.

Percintaan yang disembunyikan itu akhirnya terbongkar juga menyebabkan Arianni menjadi mangsa kemarahan keluarganya, terutama sekali kakak dan ayahnya, Encik Malek . Dia dituduh sebagai orang ketiga dan perosak kebahagiaan orang lain. Lantaran kecewa akibat disisihkan oleh ahli keluarganya, ditambah lagi dengan sikap Haris yang tidak berusaha untuk mempertahankan cinta mereka menyebabkan Arianni membawa diri ke London.
Selama tiga tahun membawa diri di rantauan, Arianni pulang juga ke tanah air bagi menjalankan tangungjawab sebagai seorang anak untuk menjaga ayahnya yang sakit disamping untuk membetulkan kembali kesilapan yang lalu. Semasa penerbangan balik ke Malaysia, Arianni telah berkenalan dengan seorang duda kematian isteri bernama Idris. Bermulanya hubungan sebagai teman biasa, Arianni tidak menyangka bahawa cinta bertandang lagi buat kali keduanya dengan Idris.

Perjalanan cinta buat kali kedua ini juga mengalami kesukaran kerana Arianni tidak pasti sama ada cintanya itu berbalas atau dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja lantaran kasih dan sayang lelaki itu masih tertumpah pada arwah isterinya Zulaikha yang mirip wajahnya dengan Arianni. Arianni tidak mahu dirinya dibayangi arwah Zulaikha. Dia mahu dirinya diterima dan disayangi oleh Idris kerana dia adalah Arianni dan bukannya Zulaikha.

Selain terpaksa bersaing dengan arwah Zulaikha, Arianni juga terpaksa berhadapan dengan hubungan mesra yang terjalin di antara kakaknya Malini dan Idris. Arianni tidak ingin kisah lama berulang kembali menyebabkan dia sukar untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan rasa kasih dan cintanya yang semakin mendalam kepada Idris atau terus melupakannya demi memberi laluan kepada kakaknya, Malini.

Kehadiran semula Haris yang tidak pernah jemu untuk menagih cinta lama membuat hidup Arianni semakin kacau. Dirinya semakin tertekan dengan sikap bapanya yang sering marah-marah dan kadangkala tidak mengenali dirinya sebagai seorang anak yang pernah disayangi suatu ketika dahulu.

Perkembangan plot penceritaan yang baik serta penggunaan bahasa yang santai dan meruntun kalbu menyebabkan saya sukar untuk menghentikan pembacaan saya walau sesaat jua pun.
Sesungguhnya satu yang amat saya kagum dengan penulis ini, beliau sangat pandai bermain dengan kata - kata menyebabkan saya seolah-olah berada dalam plot penceritaan, merasakan rasa cinta yang ada pada Arianni, berkongsi rasa rindunya yang meluap-luap pada sang kekasih, merasa rasa sedih dan kecewanya dengan sikap kekasih serta disisihkan keluarga, rasa marahnya, cemburunya, dan semua perasaan yang dirasakan oleh Arianni.

Syabas buat penulis kerana berjaya membuat saya menangis teresak-esak ketika membaca babak seorang ayah yang benar - benar dapat membaca dan memahami gelodak perasaan anaknya yang sedang berdukacita pada waktu itu. Dalam marah ada perasaan kasih dan dalam benci masih ada perasaan sayang yang tidak berbelah bahagi.

Walaupun jasad terpisah ' JAUH ', namun cinta ' ADAM dan HAWA ' tidak pernah luntur . Begitulah juga kasihku terhadapmu. ' BUATMU KEKASIH ' akan kutitipkan seluruh rasa cinta yang membara ini agar kau mengerti akan ' GELORA JIWA 'ku. Semoga pada suatu hari nanti kau akan membalasnya dengan ' SEHANGAT ASMARA 'mu . Namun, ' SELAGI ADA DIA ' dihatimu, kasih di antara kita tidak mungkin akan bersatu. Justeru itu, aku akan tetap menunggu walau seribu tahun lamanya agar ' JENDELA HATI ' mu akan terbuka sepenuhnya buatku kerana aku benar - benar yakin bahawa ' KAU UNTUKKU ' .

~ Ila ~

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati