Archives

Novel yang penuh pengajaran...


DAN JANGANLAH KAMU DEKATI ZINA...’ Surah Al Israq ayat 32.

Hanya 5 perkataan mampu merubah segalanya. Dihina dan tersingkir.

Ku mencintaimu lebih dari yang lain
Walau kau hanya kekasih gelapku...


Bait lirik lagu Kekasih Gelapku seiring dengan cerita yang Mazia Haris paparkan dalam novelnya Bila Cinta Membara. Keasyikan bercinta dan memadu kasih akan menutup hakikat yang diri sudah dimiliki. Kesunyian tercipta dari hati yang tidak bersyukur dengan limpahan kasih sayang suami.

Senario masa kini yang kian hangat dan gawat, kekasih gelap memang ada dimana-mana Ada dua ciri. Pertama, percaturan perasaan yang mengundang cinta di hati namun tidak diiriringi sebarang pertemuan. Mungin kuatir akan terjadi perkara yang tidak mampu dielak. Atau senario kedua kasih beserta nafsu yang diakhiri dengan perhubungan jasmani yang terlarang. Apapun segalanya memang tidak direstui.

Kenapa mesti terjerumus dalam kancah ini? Jika anda membaca novel ini pasti anda faham akan gejala yang seharusnya kita sama-sama jaga dan bendung. Di saat akhir zaman yang kian menghampiri, muncul begitu banyak kemungkaran dan kemaksiatan yang tidak kita jangka akan berlaku di depan mata.

Novel ini mencuri hati saya untuk dibaca walau dalam kesibukan yang panjang. Saya terpikat akan novel ini kerana jalan cerita yang menarik dan cantik isinya. Mazia Harris telah menengahkan skandal isteri seorang polis berjawatan tinggi. Malah ianya disulami cinta yang tersimpul di hati antara DSP Kamarul dengan Insp Dayana. Keputusan DSP Kamarul walau sukar namun patut dipuji dan dicontohi.

Apapun jangan hingga berlaku perzinaan baru kesedaran berputik. Masa itu nasi sudah menjadi bubur. Langit hitam akan menyelubungi diri sepanjang hayat selagi kesedaran dan keinsafan tidak ujud di hati. Lebih menyakitkan, palit dosa sentiasa menghantui setiap langkah.

Bagaimana ye..sedang asyik melakukan kemungkaran, nyawa direntap tanpa peringatan! Na’uzubillah....harap kita semua mendapat taufik dan hidayah menerusi novel tersebut. Fikir fikirkanlah...

Ukhuwah dari

Ina

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ulasan Novel : Biar Rindu Berlalu - Sharifah Abu Salem

Ingatan saya terbang kepada kenangan 28hb Julai yang lalu tatkala menikmati novel terkini dari Kak Sharifah Abu Salem ini. Masih saya ingat haruman segar pokok-pokok di sekeliling persekitaran rumahnya. Wangi buah durian dan enak buah-buahan tempatan bagaikan masih terasa di anak tekak. Tidak mungkin ianya akan pergi dari kotak ingatan saya selagi daya ingatan masih segar. Layanan nan mesra Kak Pah sekeluarga di Kg. Dusun Tua terhadap saya dan rakan-rakan akan sentiasa terpahat di sanubari. Terima kasih Kak Pah! Moga sentiasa ceria bersama keluarga tersayang.

Seperti lazimnya novel-novel terdahulu novelis Sharifah Abu Salem, Biar Rindu Berlalu, tidak kurang hebatnya. Saya seronok membaca karya terbaru beliau ini. Pelbagai rasa dan perasaan bermain di jiwa tatkala diri tenggelam di dalam watak-watak yang diwujudkan. Kak Sharifah berjaya menyelongkar rasa terharu, kasih, cemburu, benci, marah, menyampah, dan bermacam lagi dari dalam diri saya. Rasa macam nak memukul pun ada!

Saya terharu dengan kasih sayang yang dibajai oleh pasangan emas Khalil dan Samirah. Walaupun cinta membara di jiwa, namun perasaan anak-anak tetap menjadi keutamaan. Itulah sifat ibu dan ayah penyayang, hingga sanggup mengenepikan perasaan dan hak sendiri.

Secara tidak langsung, kisah yang dipaparkan ini membawa kita ke alam nyata. Memang sukar menghadapi situasi yang tidak kita duga akan bertandang.

Moral


Rasa cinta dan kasih sayang lahir dari ketulusan hati tanpa paksaan. Tidak semua orang yang datang dalam hidup kita dapat kita berikan kasih sayang yang setimpal. Tidak sembarangan orang juga yang kita izinkan meneroka hati kita bila-bila masa sahaja. Tiada paksaan dalam cinta dan perasaan, hatta perasaan marah yang adakala, tiba-tiba muncul! Kita boleh mencuba, namun jika hati menolak cinta yang ditagih, perlukah kita berpura dan melukakan hati sendiri dan orang lain?

Salahkah seorang bapa dan ibu tunggal yang sedang merangkak ke usia emas dan saling kesepian mencari teman mengisi kekosongan hati? Kiranya ibu dan bapa tunggal yang masih muda bebas memilih pasangan, mengapa tidak mereka yang sudah agak berusia? Adilkah? Cinta tidak pernah mengenal usia, pangkat, mahupun darjat. Tetapi ramai masyarakat kita hari ini, memandang rendah pada seorang warga emas yang berkeingingan mengakhiri zaman kesunyian mereka di usia senja. Mengapa begitu? Bukankah mereka juga punya hak untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan ALLAH SWT.

Adakala, kita sebagai anak, tamak memikirkan perasaan sendiri tanpa menghiraukan perasaan dan kesunyian yang melanda ayah atau ibu yang sendirian. Kita tega menuduh mereka ‘tidak sedar diri’. Derhakanya kita! Mereka juga punya perasaan ingin disayangi dan punya teman tatkala diri masih bernafas. Apatah lagi, jika anak-anak tinggal berjauhan. Bukan anak-anak tidak sayang, tetapi, adakala kita terlalu ralit dengan tangggungjawab sendiri hingga alpa dengan perasaan orangtua kita. Sesungguhnya mereka sudah banyak berkorban untuk kita sedari kita di dalam rahim lagi! Tegakah kita melihat ibu atau ayah kesepian melalui sisa-sisa kehidupan yang ada? Apa salahnya kita berkorban demi kebahagiaan mereka sementara hayat mereka masih ada.

Tidak saya nafikan, tidak mudah untuk tinggal sebumbung dengan orang yang tidak kita kenali peribadinya. Mungkin juga kita merasa sesak kerana tiba-tiba sahaja kita harus berkongsi pelbagai dengan insan-insan yang tidak pernah kita kenali. Namun, kiranya sifat kasih dan sayang wujud dalam diri, insyaALLAH, perkara yang kita anggap mustahil tidak akan menjadi pelik. Berbalik kita pada ketentuan dan takdir ALLAH SWT. Sesuatu perkara itu akan tetap terjadi dengan izinNYA, dan tidak akan berlaku tanpa izin dariNYA.

Sifat cemburu seringkali membawa bencana dan dendam yang tidak kesudahan. Selagi jiwa dipenuhi cemburu dan iri, selagi itu hati tidak pernah rasa tenteram. Malah, sesiapa sahaja akan menjadi mangsa jika silap perhitungan. Jangan biarkan dendam menguasai diri. Kelak, binasa akhlak dan wajah yang manis. Jangan sampai wajah yang cantik meluat dipandang orang. Kesal kemudian tidak pernah memberi kita keuntungan.

Sifat baran dan amarah juga seringkali membakar hati sendiri. Malah, lebih malang lagi jika orang lain menjadi mangsa, apatah lagi insan yang disayangi. Kadangkala juga sifat-sifat itu mampu menukar personaliti seseorang yang pelembut dan penyayang kepada seorang yang garang dan pemarah tidak bertempat. Semuanya hanya kerana tidak mahu beralah dan kerana adanya perasaan benci! Tragisnya!

Setiap sesuatu dugaan yang diberikan kepada kita, tentunya ada hikmah yang dibekalkan. Sebagai manusia, kita tidak dapat melihat dengan mata kasar, rahmat yang dibekalkan mengiringi dugaan. Moga penyesalan tidak menjadi teman setia disaat hijab hikmah dibukakan kepada kita.

Banyak lagi moral yang dibekalkan oleh Kak Sharifah Abu Salem dalam karyanya ini. Terokailah wahai teman. Moga anda turut merasainya pengajarannya, sebagaimana saya merasainya.

Kepada Kak Pah, karya seterusnya senantiasa dalam penantian. Semoga terus berkarya dan berjaya serta sukses dalam apa jua bidang yang diceburi.

Untuk semua, selamat menjalani ibadah Ramadhan yang mulia ini. Mudah-mudahan mendapat rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT walau di mana berada.

ceria selalu...

Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Selamat menyambut bulan Ramadhan.

Assalamu'alaikum dan salam hormat buat semua.

Begitu cepat masa berlalu. Akhirnya kini, kita bertemu lagi dengan Bulan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan pengampunan bagi seluruh ummat Islam, dimana sahaja mereka berada.

Bagi pihak Kelab Peminat Novel ALAF 21 - ALAF 21 FC. Saya dan jawatankuasa ALAF 21 FC, dengan ini, mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh muslimin dan muslimat, dimana sahaja anda berada. Ini adalah diantara masa dan waktu terbaik, untuk kita menambahkan lagi amalan kita untuk bekalan diakhirat kelak.

Sepanjang bulan Ramadhan, kebiasaanya, kita mempunyai ruang waktu sanggang yang agak luas, maka amat berfaedah untuk kita membaca bahan bacaan, seperti novel.

Kerana dari pelbagai sudut, ianya mampu untuk membuatkan kita 'bermuhasabah' tentang diri kita sendiri. Menilai kekurangan diri sendiri.

Maka, rebutlah peluang keemasan yang 'dihadiahkan' secara percuma kepada kita oleh Allah S.W.T.

Akhir kalam, berpuasalah dengan sepenuh jiwa dan raga dan dengan penuh keikhlasan.

Terima Kasih
Abang Long


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Sepetang bersama Dr HM Tuah Iskandar.

Tidak ada yang lebih mengujakan kecuali menghadiri agenda Sepetang Bersama DR H M Tuah di Intekma Resort Shah Alam pada 8 Sept 2007 anjuran Alaf21. Memang menyeronokkan! Beliau bijak mengundang ceria pada tiap peserta. Masing-masing begitu sporting memberi kerjasama dengan Dr HM Tuah dengan memberi pandangan dan menjawab tiap soalan Dr Tuah. Selain itu, ceramah ini adalah untuk para wanita sahaja maka tentu lebih mudah meluah rasa.

Sesungguhnya ilmu adalah tidak ternilai, dan kami bersyukur kerana diberi peluang menghadiri ceramah ini. Bayangkan, kami memperolehi ilmu yang bukan sedikit beserta tips yang tidak terhitung hanya dengan RM5!! Niat baik Dr Tuah memang mulia, untuk beramal katanya.

Apa yang menarik adalah ceramah motivasi ini lebih bersifat santai di mana salah satu aktiviti yang meriangkan adalah semua peserta membuat senaman 3E dan ia memang menenangkan hati. Dengan sifat ceria dan kelakar spontan darinya, semua peserta lebih relax dan memberi tumpuan penuh.

Sudah pasti semua wanita ingin dikenali sebagai wanita unggul yang mempunyai ciri-ciri wanita berkarisma dan berketrampilan. Jadi kami disarankan mempunyai sifat Alpha iaitu sifat anggun, comel, cantik, sabar, berkeyakinan dan banyak lagi. Wow!

Lebih menarik Dr Tuah memberi perumpamaan sifat unggul adalah ibarat seperti sebiji kelapa. Walau ia hanyut ke mana saja, ia tetap mampu berakar dan hidup di dalam apa jua keadaan. Malah ia berjasa dari akar hingga ke pelepahnya.

Paling seronok bila Dr Tuah memberi gambaran sifat kita melalui bulan kita dilahirkan. Ia bukanlah suatu ramalan malah ia lebih berupa menterjemah sifat semulajadi seseorang. Maka bersungguh-sungguhlah kami ‘melihat’ carta peribadi kami sendiri di layar.

Betul ke?..tanya Dr. Tuah.
Emm..80% betul Dr! Suami saya memang macam tu Doktor. Degil!
Awak macam tu ke?
Err....hehe...ye la Doktor..


Itulah antara sesi ‘pengakuan’peserta. Hahaha...seronok sungguh ‘melihat’ diri sendiri dan insan yang rapat dengan kita.

Sebenarnya ceramah motivasi sebegini amat baik diikuti oleh semua wanita. Sesekali wanita harus diberi peluang untuk menonjol peribadi jati yang sebenar kerana kita semua dilahirkan dengan kebaikan. Ini juga adalah salah satu cara merehatkan diri setelah penat bekerja di pejabat atau letih melayan kerenah anak di rumah.

Antara tips menarik yang wajar diamalkan adalah minum air, tarik nafas (mengikut senaman 3E), makan anggur manis tanpa biji, menggunakan perfume dan minum susu. Ini adalah salah satu cara untuk membentuk kesabaran dan keupayaan mengawal diri.

Banyak sungguh tips yang diberi oleh Dr Tuah. Namun dalam ruang yang terhad ini tidak mampu saya ceritakan semua. Apapun jika anda teruja untuk mengetahui tips yang menarik dari Dr Tuah...apa kata anda dapatkan hasil tangan beliau dari ALAF21. So...untuk lelaki, apa salah belikan sebagai hadiah bagi isteri atau tunang atau juga kekasih. Hasilnya, kedua-dua mendapat keuntungan!

Adios!

Ina

Nota : Gambar diatas, adalah insan dari Alaf21 . Baca cerita dari Alaf21 pula... layari

http://alaf21.com.my/buletin_isnin/BERITA%20UMUM/drtuah_program/default.htm

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Jemputan ke MASKARA IV

Anda sekelian dijemput hadir di majlis Baca Puisi MASKARA IV , di rumah PENA, Sabtu ini, 8hb Ogos 2007, jam 8.30 malam.


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Ulasan Novel : Janjiku Bersamamu - Aleya Aneesa

Selepas Kasih Antara Kita dikupas, saya tidak jemu menunggu buah tangan terbaru dari Aleya Aneesa. Terlerai sudah penantian saya semasa berkunjung ke PWTC 28hb April lalu. Pun masih tidak punya banyak masa untuk duduk bersantai sambil membacanya. Kini, saya tersenyum lebar setelah berhasil menunaikan Janjiku Bersamamu.

Aleya Aneesa menunjukkan gaya penulisan yang kian dewasa dan mantap. Antara lain, beliau berjaya membawa pembaca menyelam perasaan watak yang direka. Seperti novel-novelnya yang terdahulu, kali ini beliau juga menghidangkan sebuah cerita yang berjaya menyentuh perasaan dan naluri saya.

Kisah yang membuka matahati saya akan kasih sayang seorang bapa yang kadangkala amat payah untuk meluahkan perasaannya hatta kepada anak sendiri. Membawa pembaca menyelam ke dasar perasaan seorang lelaki yang jarang mahu berkongsi duka dengan mereka yang disayangi.

Cerita kali ini juga membawa kita mengupas dilema seorang gadis yang ketandusan kasih sayang didalam hidupnya yang serba mewah. Namun, dapatkah kemewahan memberinya kebahagiaan? Tidak dinafikan, dalam dunia hari ini wang adalah keperluan untuk hidup. Tetapi dengan harta yang melimpah apakah seseorang itu mampu membeli kasih sayang?

Moral


Terdapat banyak moral yang boleh didapati dari buah tangan Aleya Aneesa kali ini. Antaranya....

Kasih sayang ibubapa tiada ukuran sempadan. Kebahagiaan dan kepentingan anak-anak menjadi agenda utama dalam kehidupan mereka. Anak-anak sentiasa didahulukan dan dititik-beratkan berbanding diri sendiri. Namun tidak semua anak-anak yang mengerti akan kebimbangan dan kerisauan kedua ibu bapa. Lebih menyedihkan jika ada anak-anak yang lancang mulut menuduh ibubapa tidak memahami naluri mereka. Betapa berdosanya kita sebagai seorang anak!

Tidak dinafikan, ramai kaum bapa yang tidak mudah meluahkan kekecewaan yang dirasai. Rasanya, ramai kaum Adam yang memiliki tingkah sedemikian. Diam mereka tidak bererti mereka tidak peduli, bukan juga tiada kasih sayang dihati. Mungkin mereka lebih senang begitu. Atau tidak mahu menambahkan rasa sedih dan kecewa yang sedia ada. Adakala juga kita alpa bahawasanya mereka juga punya hati dan perasaan. Selalu kita berfikir, lelaki lebih tabah menghadapi dugaan dan tidak cengeng. Namun, seringkali juga kita tersasar. Kaum Adam juga pandai terasa hati dan merajuk, mereka juga punya airmata untuk ditumpahkan! Yang nyata, sayang bukan hanya boleh terbukti dibibir, tetapi juga melalui perbuatan dan cara.

Dendam tidak pernah mendatangkan kesenangan dan kebaikan. Selalunya ia akan menghadirkan penyesalan. Kiranya tidak terlewat, alhamdulillah. Bagaimana jika yang didendami dan dikasari atau dilukai sudah kembali ke rahmatullah terlebih dahulu? Terampunkah agaknya dosa yang telah dilakukan? Oleh itu, berpada-padalah menyimpan marah dan dendam. Jangan terlalu menurutkan perasaan hingga membakar diri. Seelok-eloknya, lupakan sahaja dan redha dengan ketentuan. Tuhan lebih mengerti.

Dilahirkan dalam salasilah keturunan melayu yang beragama Islam adalah merupakan satu bonus. Tapi, haruskah bangsa lain dihina dan dimusuhi? Salah merekakah dilahirkan bukan sebagai orang Islam. Mengapa masih ada yang tega menghina saudara baru yang bagaikan kain putih di mata ALLAH SWT disaat dua kalimah shahadah dilafazkan. Dimana baiknya individu itu sebagai seorang Islam jika diri tidak mampu berbaik sangka dengan bangsa lain apatah lagi yang seagama. Sedangkan Rasulullah begitu berhemah melayan kaum Yahudi, mengapa kita umatnya alpa dengan keluhuran beliau? Renungan untuk diri sendiri juga.

Lupa diri perkara mudah yang boleh berlaku keatas sesiapa dan dimana sahaja. Sampai bila kita mahu menongkat dunia sedangkan nyawa yang dipinjamkan boleh diambil kembali bila-bila masa sahaja. Bak kata orang sekarang, hidup ini tentatif.

Suami isteri yang saling menyayangi seharusnya sentiasa bersama dalam susah dan senang, dalam suka dan duka. Meninggalkan seseorang dalam marah dan dilema adalah sesuatu yang tidak bijak sama sekali. Apatah lagi isteri dalam keadaan yang memerlukan sokongan padu. Hati yang marah dan kesal jangan terlalu diikutkan sangat. Kelak segala keindahan tidak nampak dimata. Kemaafan adalah sesuatu yang sangat indah, dan melaluinya kita mendapat ketenangan dan kebahagian.

Membentuk keluarga bahagia adalah impian setiap insan, namun tanpa usaha kearah itu, ianya tidak akan tercapai. Berusahalah untuk kebahagiaan bersama.
Banyak lagi moral yang didapati dari pembacaan novel terbaru Aleya Aneesa ini. Harapan saya anda akan dapat mengupas lebih banyak lagi. Moga anda yang telah membaca dan akan membaca novel ini akan turut terhibur sebagaimana saya. Jangan lupa sediakan tisu ya. Terutamanya kepada kaum Hawa.

salam ceria selalu...

salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati

Jika diberi peluang untuk memilih novel yang paling kerap saya baca...


Sudah tentu saya pilih novel Jendela Hati karya Aisya Sofea.Berapa kali saya baca yee? Hemm.tak terhitung rasanya. Garapan cerita yang menarik.

Persoalan besar dalam novel ini adalah cinta tidak mengenal siapa walau dia adalah bekas suami arwah saudara kembar sendiri. Lebih menambah kekusutan adalah arwah Sarah Wahida telah meninggalkan wasiat agar Farah menggantikan tempatnya sebagai isteri kepada Lukman. Bagai satu perjudian yang tidak pasti untung ruginya.

Walau Farah ada perasaan kasih pada Lukman namun dia mahu Lukman menerima dirinya sebagai Farah bukan sebagai pengganti Sarah. Disinilah bermula komplikasi perasaan seorang lelaki yang masih mengingati dan menyayangi arwah isterinya dengan isteri sekarang yang juga kembar arwah! Bukan calang orang boleh menempuhi ujian ini samada Farah mahupun Lukman.

Permainan perasaan yang bukan sedikit mencabar kesabaran dan keikhlasan. Pernahkah anda terfikir untuk meraih cinta dari lelaki yang sahih kita maklum mencintai orang lain sepenuh hati? Sanggupkah anda berkorban diri semata-mata untuk memenuhi impian hati? Kalau saya...saya tidak mampu mencipta kesengsaraan untuk kebahagiaan yang tidak mampu dijanji. Saya tahu tahap kesabaran saya yang tipis macam kulit bawang! Tidak seperti wanita sekental Farah Wahida.

Namun novel ini memberi ruang untuk kita berfikir, sesungguhnya janji Allah itu pasti, bahawa kesabaran dan keikhlasan membuah kebahagiaan yang abadi. Berani menegak hak yang benar untuk diri sendiri. Yang penting, tabah menghadapi segala ujian kerana ujian itu tanda kasih sayang dari NYA...

Nak tau lagi apa novel lain pilihan saya ? Tungguuuuu....

Salam sayang
ina

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati