Ingatan saya terbang kepada kenangan 28hb Julai yang lalu tatkala menikmati novel terkini dari Kak Sharifah Abu Salem ini. Masih saya ingat haruman segar pokok-pokok di sekeliling persekitaran rumahnya. Wangi buah durian dan enak buah-buahan tempatan bagaikan masih terasa di anak tekak. Tidak mungkin ianya akan pergi dari kotak ingatan saya selagi daya ingatan masih segar. Layanan nan mesra Kak Pah sekeluarga di Kg. Dusun Tua terhadap saya dan rakan-rakan akan sentiasa terpahat di sanubari. Terima kasih Kak Pah! Moga sentiasa ceria bersama keluarga tersayang.
Seperti lazimnya novel-novel terdahulu novelis Sharifah Abu Salem, Biar Rindu Berlalu, tidak kurang hebatnya. Saya seronok membaca karya terbaru beliau ini. Pelbagai rasa dan perasaan bermain di jiwa tatkala diri tenggelam di dalam watak-watak yang diwujudkan. Kak Sharifah berjaya menyelongkar rasa terharu, kasih, cemburu, benci, marah, menyampah, dan bermacam lagi dari dalam diri saya. Rasa macam nak memukul pun ada!
Saya terharu dengan kasih sayang yang dibajai oleh pasangan emas Khalil dan Samirah. Walaupun cinta membara di jiwa, namun perasaan anak-anak tetap menjadi keutamaan. Itulah sifat ibu dan ayah penyayang, hingga sanggup mengenepikan perasaan dan hak sendiri.
Secara tidak langsung, kisah yang dipaparkan ini membawa kita ke alam nyata. Memang sukar menghadapi situasi yang tidak kita duga akan bertandang.
Moral
Rasa cinta dan kasih sayang lahir dari ketulusan hati tanpa paksaan. Tidak semua orang yang datang dalam hidup kita dapat kita berikan kasih sayang yang setimpal. Tidak sembarangan orang juga yang kita izinkan meneroka hati kita bila-bila masa sahaja. Tiada paksaan dalam cinta dan perasaan, hatta perasaan marah yang adakala, tiba-tiba muncul! Kita boleh mencuba, namun jika hati menolak cinta yang ditagih, perlukah kita berpura dan melukakan hati sendiri dan orang lain?
Salahkah seorang bapa dan ibu tunggal yang sedang merangkak ke usia emas dan saling kesepian mencari teman mengisi kekosongan hati? Kiranya ibu dan bapa tunggal yang masih muda bebas memilih pasangan, mengapa tidak mereka yang sudah agak berusia? Adilkah? Cinta tidak pernah mengenal usia, pangkat, mahupun darjat. Tetapi ramai masyarakat kita hari ini, memandang rendah pada seorang warga emas yang berkeingingan mengakhiri zaman kesunyian mereka di usia senja. Mengapa begitu? Bukankah mereka juga punya hak untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan ALLAH SWT.
Adakala, kita sebagai anak, tamak memikirkan perasaan sendiri tanpa menghiraukan perasaan dan kesunyian yang melanda ayah atau ibu yang sendirian. Kita tega menuduh mereka ‘tidak sedar diri’. Derhakanya kita! Mereka juga punya perasaan ingin disayangi dan punya teman tatkala diri masih bernafas. Apatah lagi, jika anak-anak tinggal berjauhan. Bukan anak-anak tidak sayang, tetapi, adakala kita terlalu ralit dengan tangggungjawab sendiri hingga alpa dengan perasaan orangtua kita. Sesungguhnya mereka sudah banyak berkorban untuk kita sedari kita di dalam rahim lagi! Tegakah kita melihat ibu atau ayah kesepian melalui sisa-sisa kehidupan yang ada? Apa salahnya kita berkorban demi kebahagiaan mereka sementara hayat mereka masih ada.
Tidak saya nafikan, tidak mudah untuk tinggal sebumbung dengan orang yang tidak kita kenali peribadinya. Mungkin juga kita merasa sesak kerana tiba-tiba sahaja kita harus berkongsi pelbagai dengan insan-insan yang tidak pernah kita kenali. Namun, kiranya sifat kasih dan sayang wujud dalam diri, insyaALLAH, perkara yang kita anggap mustahil tidak akan menjadi pelik. Berbalik kita pada ketentuan dan takdir ALLAH SWT. Sesuatu perkara itu akan tetap terjadi dengan izinNYA, dan tidak akan berlaku tanpa izin dariNYA.
Sifat cemburu seringkali membawa bencana dan dendam yang tidak kesudahan. Selagi jiwa dipenuhi cemburu dan iri, selagi itu hati tidak pernah rasa tenteram. Malah, sesiapa sahaja akan menjadi mangsa jika silap perhitungan. Jangan biarkan dendam menguasai diri. Kelak, binasa akhlak dan wajah yang manis. Jangan sampai wajah yang cantik meluat dipandang orang. Kesal kemudian tidak pernah memberi kita keuntungan.
Sifat baran dan amarah juga seringkali membakar hati sendiri. Malah, lebih malang lagi jika orang lain menjadi mangsa, apatah lagi insan yang disayangi. Kadangkala juga sifat-sifat itu mampu menukar personaliti seseorang yang pelembut dan penyayang kepada seorang yang garang dan pemarah tidak bertempat. Semuanya hanya kerana tidak mahu beralah dan kerana adanya perasaan benci! Tragisnya!
Setiap sesuatu dugaan yang diberikan kepada kita, tentunya ada hikmah yang dibekalkan. Sebagai manusia, kita tidak dapat melihat dengan mata kasar, rahmat yang dibekalkan mengiringi dugaan. Moga penyesalan tidak menjadi teman setia disaat hijab hikmah dibukakan kepada kita.
Banyak lagi moral yang dibekalkan oleh Kak Sharifah Abu Salem dalam karyanya ini. Terokailah wahai teman. Moga anda turut merasainya pengajarannya, sebagaimana saya merasainya.
Kepada Kak Pah, karya seterusnya senantiasa dalam penantian. Semoga terus berkarya dan berjaya serta sukses dalam apa jua bidang yang diceburi.
Untuk semua, selamat menjalani ibadah Ramadhan yang mulia ini. Mudah-mudahan mendapat rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT walau di mana berada.
ceria selalu...
Salmah
Novelis
-
-
-
-
-
-
-
-
-
SAKITNYA TUH DI SINI - Bab 29 years ago
-
Setahun bersawang...10 years ago
-
-
-
Happy New Year13 years ago
-
SELAMAT TAHUN BARU 200816 years ago
-
Korea Oh Winter Sonata.....17 years ago
-
-
-
-
-
-
-
Labels
- Anis Ayuni (1)
- Novel Cinta (2)
- Perpisahan. (1)
- Pesta Buku Selangor (4)
- Pesta Buku. (4)
- Projek Kelab (1)
- SRI DIAH (1)
- thriller (1)
- ulasan peminat (1)
0 comments
Post a Comment