Selepas Kasih Antara Kita dikupas, saya tidak jemu menunggu buah tangan terbaru dari Aleya Aneesa. Terlerai sudah penantian saya semasa berkunjung ke PWTC 28hb April lalu. Pun masih tidak punya banyak masa untuk duduk bersantai sambil membacanya. Kini, saya tersenyum lebar setelah berhasil menunaikan Janjiku Bersamamu.

Aleya Aneesa menunjukkan gaya penulisan yang kian dewasa dan mantap. Antara lain, beliau berjaya membawa pembaca menyelam perasaan watak yang direka. Seperti novel-novelnya yang terdahulu, kali ini beliau juga menghidangkan sebuah cerita yang berjaya menyentuh perasaan dan naluri saya.

Kisah yang membuka matahati saya akan kasih sayang seorang bapa yang kadangkala amat payah untuk meluahkan perasaannya hatta kepada anak sendiri. Membawa pembaca menyelam ke dasar perasaan seorang lelaki yang jarang mahu berkongsi duka dengan mereka yang disayangi.

Cerita kali ini juga membawa kita mengupas dilema seorang gadis yang ketandusan kasih sayang didalam hidupnya yang serba mewah. Namun, dapatkah kemewahan memberinya kebahagiaan? Tidak dinafikan, dalam dunia hari ini wang adalah keperluan untuk hidup. Tetapi dengan harta yang melimpah apakah seseorang itu mampu membeli kasih sayang?

Moral


Terdapat banyak moral yang boleh didapati dari buah tangan Aleya Aneesa kali ini. Antaranya....

Kasih sayang ibubapa tiada ukuran sempadan. Kebahagiaan dan kepentingan anak-anak menjadi agenda utama dalam kehidupan mereka. Anak-anak sentiasa didahulukan dan dititik-beratkan berbanding diri sendiri. Namun tidak semua anak-anak yang mengerti akan kebimbangan dan kerisauan kedua ibu bapa. Lebih menyedihkan jika ada anak-anak yang lancang mulut menuduh ibubapa tidak memahami naluri mereka. Betapa berdosanya kita sebagai seorang anak!

Tidak dinafikan, ramai kaum bapa yang tidak mudah meluahkan kekecewaan yang dirasai. Rasanya, ramai kaum Adam yang memiliki tingkah sedemikian. Diam mereka tidak bererti mereka tidak peduli, bukan juga tiada kasih sayang dihati. Mungkin mereka lebih senang begitu. Atau tidak mahu menambahkan rasa sedih dan kecewa yang sedia ada. Adakala juga kita alpa bahawasanya mereka juga punya hati dan perasaan. Selalu kita berfikir, lelaki lebih tabah menghadapi dugaan dan tidak cengeng. Namun, seringkali juga kita tersasar. Kaum Adam juga pandai terasa hati dan merajuk, mereka juga punya airmata untuk ditumpahkan! Yang nyata, sayang bukan hanya boleh terbukti dibibir, tetapi juga melalui perbuatan dan cara.

Dendam tidak pernah mendatangkan kesenangan dan kebaikan. Selalunya ia akan menghadirkan penyesalan. Kiranya tidak terlewat, alhamdulillah. Bagaimana jika yang didendami dan dikasari atau dilukai sudah kembali ke rahmatullah terlebih dahulu? Terampunkah agaknya dosa yang telah dilakukan? Oleh itu, berpada-padalah menyimpan marah dan dendam. Jangan terlalu menurutkan perasaan hingga membakar diri. Seelok-eloknya, lupakan sahaja dan redha dengan ketentuan. Tuhan lebih mengerti.

Dilahirkan dalam salasilah keturunan melayu yang beragama Islam adalah merupakan satu bonus. Tapi, haruskah bangsa lain dihina dan dimusuhi? Salah merekakah dilahirkan bukan sebagai orang Islam. Mengapa masih ada yang tega menghina saudara baru yang bagaikan kain putih di mata ALLAH SWT disaat dua kalimah shahadah dilafazkan. Dimana baiknya individu itu sebagai seorang Islam jika diri tidak mampu berbaik sangka dengan bangsa lain apatah lagi yang seagama. Sedangkan Rasulullah begitu berhemah melayan kaum Yahudi, mengapa kita umatnya alpa dengan keluhuran beliau? Renungan untuk diri sendiri juga.

Lupa diri perkara mudah yang boleh berlaku keatas sesiapa dan dimana sahaja. Sampai bila kita mahu menongkat dunia sedangkan nyawa yang dipinjamkan boleh diambil kembali bila-bila masa sahaja. Bak kata orang sekarang, hidup ini tentatif.

Suami isteri yang saling menyayangi seharusnya sentiasa bersama dalam susah dan senang, dalam suka dan duka. Meninggalkan seseorang dalam marah dan dilema adalah sesuatu yang tidak bijak sama sekali. Apatah lagi isteri dalam keadaan yang memerlukan sokongan padu. Hati yang marah dan kesal jangan terlalu diikutkan sangat. Kelak segala keindahan tidak nampak dimata. Kemaafan adalah sesuatu yang sangat indah, dan melaluinya kita mendapat ketenangan dan kebahagian.

Membentuk keluarga bahagia adalah impian setiap insan, namun tanpa usaha kearah itu, ianya tidak akan tercapai. Berusahalah untuk kebahagiaan bersama.
Banyak lagi moral yang didapati dari pembacaan novel terbaru Aleya Aneesa ini. Harapan saya anda akan dapat mengupas lebih banyak lagi. Moga anda yang telah membaca dan akan membaca novel ini akan turut terhibur sebagaimana saya. Jangan lupa sediakan tisu ya. Terutamanya kepada kaum Hawa.

salam ceria selalu...

salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati