Tanganku menggigil. Airmata ini tumpah untuk sekian kalinya. Kukutip serpihan yang hancur, namun ia berkecai menjadi debu. Kukutip lagi serpihan yang lain, hampa... berkecai juga. Ku seka airmata dengan belakang tangan. Comot pipiku terkena debu hitam. Aduh.. sakitnya terasa. Ah.. biarkan sakit, persetankan. Aku tidak akan putus asa. Aku mesti cuba menyelamatkannya walau ku tahu harapan tipis sekali. Ain menggosok-gosok belakangku. Aku menoleh. Matanya merah. Pipinya juga. Ku gosok pipi Ain perlahan-lahan.
"Ma, sudahlah tu. Semuanya dah habis ma. Kita tak boleh selamatkan lagi," pujuk anak gadisku.
Aku menggeleng kepala.
"Ma sayang semua ni Ain. Bertahun ma simpan. Bertahun ma bersabar mengumpul. Tapi..," Esak kami berdua menjadi satu.
"Apa lagi nak ditangiskan tu. Cepat kemas! Buang semua tu! Buat semak mata saja. Ain! Cepat, kalau tidak abah tambah lagi," jerkah suami ku tiba-tiba.
Terketar-ketar Ain bangun mengambil penyapu. Aku masih berteleku di sisi debu yang tidak bersisa. Segala kesayanganku hancur begitu saja. Musnah impianku. Hancur harapanku membina istana untuknya. Mengapa? Mengapa dia benci sekali dengan kesayanganku. Apa dosa aku? Apa salah aku?
Aku menoleh ke arah suamiku. Dia bercekak pinggang dengan wajah yang masam mencuka. Tiada segaris rasa simpati terhadap aku sebagai isterinya. Isteri yang pernah dibelai dan disayangi. Isteri yang pernah dirindu dan dikasihi. Segalanya hilang hanya kerana kesayanganku yang satu itu.
"Kenapa bang? kenapa abang buat macam ni?. Apa salah Ina bang? Apa dosa Ina sampai sanggup abang buat semua ni?," soalku bertalu-talu
Suamiku hanya tersenyum sinis.
"Suka hati abanglah nak buat apa. Ina tak ada hak nak pertikaikan apa yang abang buat."
Hatiku menggelegak marah. Itu semua hasil dari titik peluhku. Mengapa pula aku tidak ada hak?
"Itu semua Ina yang beli. Guna duit Ina. Bukan duit abang malah satu sen pun Ina tak pernah minta. Itu semua hak Ina! Abang memang tidak pernah peduli apa yang Ina suka. Tapi Ina tak kisah bang. Ina tak kisah langsung sebab Ina sendiri tak nak susahkan abang. Tapi kenapa abang sanggup bakar semua novel-novel Ina tu! Kenapa abang sekejam itu? "
Pang! Satu lagi tamparan hinggap di pipi ini. Berpinar-pinar mataku. Hari ini saja aku kenyang makan tamparan suamiku hanya kerana aku mempertahankan novel-novel koleksi ku.
"Mama!.." jerit Ain. Dia memeluk bahuku. Rasa simpati yang meruah darinya dapat ku rasai. Kesian anak ini, baru saja dia ingin menikmati indahnya berkarya telah diduga dengan ujian seberat ini. Airmatanya menitis di bahuku.
"Abang tak suka Ina beli dan baca semua buku-buku ni! Buat semak rumah abang saja! ," jeritnya lagi.
Ya Allah!... kuatkanlah hati hambaMu ini. Luka yang telah lama berdarah. Kian parah, kian dalam lukanya. Hanya kerana novel dia berubah. Hanya kerana buku tidak bernyawa dia cemburu!
Minat aku dan Ain sama iaitu suka membaca dan kami sering berbincang tentang isi novel yang telah kami tekuni. Kami akan leka berbual dan sesekali aku membetulkan ayat yang ingin disampaikan melalui karangan sekolahnya. Ain rajin mencari ayat-ayat baru dari novel yang aku beli. Sesekali dia akan membawa ke sekolah dan bertukar novel dengan kawan-kawannya.
Namun kini semuanya tinggal debu. Ya... semuanya habis musnah. Semua novel koleksiku di bakarnya. Tanpa menghirau rayuan dan tangisan aku dan Ain, dia terus menyiram minyak tanah ke atas longgokan novel-novelku. Aku di tampar berkali-kali kerana merampas mancis di tangannya. Bibir dan hidungku berdarah namun tidak kuhiraukan. Ain juga turut di sakiti kerana mahu menolongku. Akhirnya.. semua musnah, tidak tinggal walau secebis. Sia-sia semua usahaku.
Kecewa. Terlalu keciwa aku dengan suamiku yang tidak memahami erti sebuah novel walau satu patah perkataan. Apa dosa sehelai kertas dan sejuring ayat hingga sanggup suamiku menghancurkan hatiku.
"Benci sangatkah abang pada Ina hingga sanggup abang buat macam ni?," soalku perlahan. Sudah tiada daya untuk aku mempertahankan hakku. Biarlah.. biarlah nak jadi apapun.
"Ina hak abang dan abang ada kuasa nak buat apa yang abang suka. Sama ada Ina suka atau tidak, Ina tak payah nak fikirkan. Kalau abang kata tak suka, Ina mesti tak suka juga," tegas suamiku. Sombong.
Ku tenung matanya. Bersinar dan penuh dengan kebencian. Sarat dengan dendam. Aku mengeluh. Tak sanggup rasanya aku teruskan semua ini. Kalau inilah akhirnya....
Aku hampiri suamiku perlahan. Kuraih tangannya dan kucium lembut. Ku tatap wajahnya. Untuk terakhir kali.
"Maafkan Ina. Ina tak sanggup hidup di sisi abang lagi.Biarkan Ina pergi mungkin itu yang terbaik untuk Ina dan abang. Moga abang jumpa seseorang yang lebih baik dari Ina. Maafkan dan ampunkan Ina...." ujarku lalu melepaskan tangannya.
Aku terus berlalu pergi. Tanpa menoleh kakiku langkah. Walau sakit aku gagahi jua. Walau perit, demi hati yang hancur ini, aku kan bawa diri jauh dari insan yang membenci. Moga suamiku bahagia tanpa melihat aku dan kesayanganku.
"Mama.. mama." suara Ain memanggil-manggil tidak kuhirau. Pedih hati ini kerana terpaksa meninggalkannya. Airmataku menitis lagi.
"Ina... Ina..." panggil suamiku, lembut.
"Tak perlu abang pujuk Ina bang. Hati Ina dah tiada untuk abang. Tidak cukupkah abang dera hati dan perasaan ini. Ina tak larat dah nak tanggung semua penderaan abang," hatiku membisik sayu.
'Ina.. laa... apa pasal menangis ni? Mimpi apa pulak buat buah hati abang sedih sangat ni. Ina..," pipiku ditepuk lembut.
Mimpi? Buah hati? Perlahan-lahan aku buka mataku. Ain dan suamiku tersenyum nakal. Mereka berteleku di sisiku. Ain mencubit pipiku. Suamiku mengenggam dan mengucup tanganku.
"Nape ma nangis ma?.
Aku masih tersedu-sedu lagi.
Pakwe ma lari ke?," usik Ain sambil ketawa mengekek.
Aku masih terpinga-pinga. Tapi... Aku bingkas bangun. Segera aku menuju ke kotak yang menyimpan semua koleksi novel-novelku. Ah...ada lagi. Alhamdulillah. Aku tersenyum panjang. Lega sungguh.
"Tengok tu Ain. Tadi menangis, sekarang tersenyum pulak. Kita beria-ia kejut dia, novel tu yang dikejar dulu. Ish... kenapa ni sayang?, novel Ina hilang ke, kena bakar ke?," usik suamiku sambil menghampiri.
"Abang!" jeritku sambil mencubit lengannya. Fobia betullah bila mendengar perkataan bakar.
Kiriman
Zarina Amran
Novelis
-
-
-
-
-
-
-
-
SINOPSIS C1NT4 TOP SECRET VERSI 1.08 years ago
-
SAKITNYA TUH DI SINI - Bab 19 years ago
-
Setahun bersawang...10 years ago
-
-
-
Happy New Year13 years ago
-
SELAMAT TAHUN BARU 200816 years ago
-
Korea Oh Winter Sonata.....17 years ago
-
-
-
-
-
-
-
Labels
- Anis Ayuni (1)
- Novel Cinta (2)
- Perpisahan. (1)
- Pesta Buku Selangor (4)
- Pesta Buku. (4)
- Projek Kelab (1)
- SRI DIAH (1)
- thriller (1)
- ulasan peminat (1)
Search This Blog
Arkib Alaf21fc
-
▼
2007
(158)
-
▼
February
(17)
- Blog Umi Azrini dan Aida Adriani
- Majlis Sambutan Hari Jadi Alaf21 FC yang pertama.
- Sudah setahun rupanya usia Kelab Alaf21 FC..
- Horayy.. The Birthday girl..
- Tentang Bikash Nur Idris..
- Sejenak bersama Lynn Dayana..
- Laman web Eyman Hykal berwajah baru
- Ulasan Novel : Cinta Sang Ratu - Ramlee Awang Murshid
- Meen Zulaika Blog..
- Selamat bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina.
- Salam perkenalan dari Zara Juita
- Ulasan Novel : Erti Rindu ini - Zara Juita
- Sekitar Karnival Buku di PWTC yang lepas.
- Karnival Buku 2007 di PWTC ( 9 ~12 Feb )
- Harapan Yang Musnah
- Apa ada dalam Blog Kelab?
- Mari kita lihat siapa yang kena !
-
▼
February
(17)
3 comments
Comment by Anonymous on 10:56 AM
satu catatan yang lain dari yang lain ... zarina, teruskan tulisan sebegini ... baru nampak ada kelainan !
Comment by Anonymous on 12:08 PM
thanx haryani...insyallah..usaha akan dilipatgandakan...
Comment by Anonymous on 1:00 PM
ingatkan preview novel .... rupa - rupanya "kisah mimpi" ... aku terkena !!! ....hahahahaha .... betul kata Haryani, satu kelainan dalam posting pada kali ini ...
Post a Comment