Saya teruja dengan novelis seorang ini yang tidak tahu duduk diam. Ada saja aktiviti yang dilakukan saban waktu. Sesekali bila saya menelefon, dia sedang berada di lokasi untuk shooting. Pada waktu yang lain pula, dia sedang menyiapkan novel atau buku masakan terbarunya.
Dia juga tidak pernah lokek ‘waktu’ untuk bersama peminat-peminatnya seperti bersantai makan-makan bersama teman-teman dan kumpulan pencinta buku dan novel, seperti Gengkicap , Msjbox group umpamanya. Masih saya ingat lagi beliau meluangkan masa bersama ALAF21FC pada tahun pertama pertubuhannya di Taman Titiwangsa besama Lily Haslina Nasir, Attokz dan sekelian ahli kelab yang lain. Best sungguh!

Terkini, novel terbarunya sudah selesai pembikinannya dan hanya menanti saat untuk dilancarkan. Bukan itu saja. Beliau dalam pembikinan untuk buku masak terbarunya. Bukan satu bukan dua malah 4 buah (dalam perancangan sepanjang tahun 2009)!!. Memang kagum sungguh dengan wanita berhati waja ini. Tidak mengenal penat dah lelah. Kerja sentiasa dilakukan dengan penuh kesungguhan dan disiplin yang tinggi.

Tentu anda nak tahu siapa dia atau mungkin ada yang sudah boleh meneka siapa novelis yang saya maksudkan. Dia tidak lain adalah NORZAILINA NORDIN. Beliau pernah menulis novelis futuristic yang mengagumkan bertajuk, IMPIAN TERINDAH yang berkisar tentang masa hadapan dan angkasa lepas. Sudah pasti ia juga ada kena mengena dengan angkasawan negara iaitu Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Untuk pengetahuan anda semua, beliau sudah menghasilkan 17 buah buku termasuk buku masakan dengan ALAF21. Namanya sudah sinonim dengan dunia masakan. Siapa yang tidak kenal dengan Norzailina Nordin. Jika anda masih ingat, bulan Ramadhan lepas beliau telah menjadi jurucakap bagi produk MMvitaoils yang bermula seawal 5 pagi tiap-tiap hari. Walau sedang memasak, dia kelihatan anggun dan tenang sekali. Kerap juga saya ralit melihat beliau memasak hingga tidak sempat menyalin resepi.

Beliau sering di temuramah oleh media cetak dan elektronik umpama akhbar Stars, TV1 dan menjadi jurucakap produk masakan lainnya seperti pasta San Remo. Pernah juga mempunyai kolum sendiri di akhbar tempatan. Norzailina Nordin, dikenali sebagai wanita yang tidak lokek ilmu. Ada saja petua dan masakan yang di curahkan pada peminatnya sama ada melalui demo masakan ataupun rakaman TV. Anda boleh melayari blog beliau untuk mengetahui berbagai resepi enak yang boleh anda cuba. Jika ada sebarang masalah, boleh tinggalkan mesej di blog tersebut.
Beliau sering juga terlibat dalam bengkel penulisan. Ada juga tips-tips dan panduan dimasukkan ke blognya dan ini sediit sebanyak memberikan pengetahuan yang berguna bagi sesiapa yang hendak mula berjinak-jinak menjadi penulis.

Norzailina sentiasa melibatkan diri dengan memenuhi undangan masakan malah dia bersengkang mata bagi menyemarakkan dunia terbitan dengan hasil tangan beliau yang bermutu.

Selain daripada itu, beliau juga sedang membuat suntingan terakhir untuk novel ‘Raja Menangis’ (judul sementara) yang dikarya bersama Mantan CEO Institut Terjemahan Negara iaitu Encik Shaharudin Ali. Sila lawati
http://rajamenangis.blogspot.com untuk membaca pelbagai posting menarik yang ada kaitan dengan sejarah. Mereka juga sedang membangunkan laman web http://rajamenangis.com untuk dijadikan hub bagi tujuan e-bisnes pelbagai produk berkaitan dunia Melayu khasnya.

Peminat beliau bukan sekadar dalam Malaysia, malah juga di luar negara. Malah ruangan Soaljawab Masakan di laman web Alaf 21 mendapat respons pertanyaan dari seluruh dunia. Beliau telah mengelolakannya selama hampir 4 tahun. Apa yang saya kagum, sikap ramahnya tidak pernah kurang. Murah dengan senyuman manisnya malah dia antara novelis yang tidak lokek menghulur bantuan.

Bagaimana ye dia membahagikan masa? Novel, buku masakan, undangan masakan persendirian, firma-firma kerajaan dan swasta, media cetak dan elektronik…banyak tu. Namun sedaya mungkin dia memenuhi tiap undangan dan sebaik mungkin juga dia menulis untuk kepuasan pembaca. Tanpa bantuan sesiapa dia mampu melakukannya. Tanpa mengharapkan sesiapa, Norzailina melangkah terus ke hadapan dengan semangat dan dedikasi.

Wanita yang mempunyai 4 orang anak remaja ini rajin bertemu dengan rakan-rakan tidak kira novelis atau peminat. Saya kagum apabila mengetahui beliau dan beberapa novelis lain, mengadakan pertemuan demi pertemuan bagi mencari ilmu untuk meningkatkan lagi mutu novel-novel mereka yang akan datang. Jika ada antara mereka yang melahirkan novel baru, dia akan diraikan dengan jamuan sesama mereka dan mereka tidak lupa menjemput kami berserta beberapa tetamu undangan khas lainnya seperti Carrie Kirana dan Gengkicap.

Ok, kita cerita pasal novel barunya. Nak tahu ke? Yang saya pasti novel ini menarik kerana ia bukan sekadar cerita cinta biasa. Ia berkisar tentang sepasang kekasih yang di dalam dilema kerana ibu dan bapa pasangan tersebut pernah menjalin cinta semasa muda dulu. Ada unsur suspens kerana heronya adalah seorang informer untuk badan perisikan. Untuk mengetahui selanjutnya, tunggulah saja kelahirannya.

Apapun, harapan saya semoga Norzailina Nordin meraih kecemerlangan yang tiada batasannya dan meningkatkan martabat novel melayu. Kita harap novelis kini mampu mengubah tanggapan orang ramai tentang novel melayu yang dianggap sebagai novel picisan.

Ina.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati