Sebelum novel terbaru ini ada dipasaran, saya ada berbual-bual dengan Kak Lina sendiri mengenai perasaanya menanti saat-saat novel nya dilancarkan ke bulan.. oops silap, ada pulak bulan. Ke pasaran gitu.

Namun ceritanya yang berkisar dibulan. Bulan..? hmm menarik tuh. Dapatkah anda bayangkan manusia yang hidup dibulan 150 tahun lagi? Tentunya dengan sedikit fiskyen dari Hollywood, buku-buku futuristik dan maklumat-maklumat maya tanpa sempadan ini, kita akan dapat tahu akan kecanggihan hidup masa depan.

Bagaimana pula dengan nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri? Adakah wujud rasa cinta, marah, geram, dendam dan tipudaya?


Barangkali mungkin sama, sebab kejadian manusia itu sendiri adalah unik dan mempunyi seribu satu macam perasaan. Jadi perasaan ini juga akan sama-sama berada dibulan. Demikainlah juga konflik manusia itu sendiri yang turut dibawa bersama oleh penulis ke bulan.

Walau ini adalah sesuatu yang baru, Norzailina Nordin sanggup mengambil cabaran ini untuk dirinya selain cuba memberikan sesuatu kelainan dari novel-novelnya sebelum ini.

Dan baru-baru ini saya sempat bertanyakannya beberapa soalan mengenai novel terbarunya ini. Maklumlah, orang tengah terdebar-debar, masa tulah kita terjah.. yihaa..

1. Apa perasaan Kak Lina setelah selesai menulis, dan buku tersebut telah pun dilancarkan?


Belum 'lancar' tapi lebih tepat 'berada di pasaran'. Perasaan setelah selesai menulis? Bersyukur dapat menyiapkan sesuatu yang sangat mencabar sepanjang menjadi novelis selama 15 tahun! Bila dah terbit, alhamdulillah. Gembira melihat hasil kerja selama berbulan-bulan dah terpampang di depan mata tapi seperti novel-novel lain sebelum ni, tetap rasa berdebar menanti reaksi pembaca...

2. Kenapa orang mesti membaca buku ini? Apakan kelainaannya dari novel-novel kak Norzailina yang terdahulu?

Buku ini wajar dibaca kerana belum pernah aspek 'futuristik dengan suntikan sains fiksyen' dipaparkan kecuali di dalam novel-novel Bahasa Inggeris. Kelainannya memanglah banyak dari segi latar masa dan tempat tetapi Arjuna Hati juga mempunyai kelainan kerana ia bermula pada 1845 sehingga 2005 (sejarah). Sedangkan IT pula menjangkau 150 tahun ke depan (2124). Dari segi jalan cerita, kali ini 'percintaannya', saya kira lebih 'mendebarkan' daripada novel saya yang terdahulu...


3. Setelah hampir seminggu lebih berada dipasaran, apa perkembangannya? Apa reaksi atau komen pertama sekali yang akak dapat daripada buku itu?

Masih terlalu awal untuk melihat perkembangannya tapi ada yang menyatakan, garapan IT berbeza daripada novel terdahulu (dari segi bahasa dan pergolakan emosi watak) dan menurut seorang rakan, anak terunanya (belasan tahun) begitu seronok membacanya.

4. Apa bab atau peristiwa yang paling sukar sekali untuk ditulis?

"Paling sukar' adalah ketika gadis (watak utama) hendak menyeludup keluar serum dari simpanan Ketua Tertinggi Gamma 7 (stesen penempatan di bulan). Sebagai penulis, mesti mencari jalan paling 'bijak' dan merancang seluruh senario supaya nampak 'bukan dibuat-buat'. Ertinya, 'manusia' dalam novel itu akan melakukan kesilapan walaupun mereka hanya watak ciptaan penulis (dengan mewujudkan insiden yang tak disangka-sangka).

5. Kaitan buku tersebut dengan Dr.Syeikh Muszaphar ? sebagai rujukan? mentor? Dll

Rahsia sebenar hanya boleh diperolehi selepas membaca novel ini tapi saya jadikan Dr.Sheikh Muszaphar sebagai 'ikon' kepada penerokaan kita (rakyat Malaysia) ke angkasa lepas. Beliau berasa teruja dan gembira kerana saya sudi memasukkan kata-kata peransangnya untuk tatapan pembaca. Beliau juga menyokong usaha untuk mendekatkan lagi aspek angkasa lepas kepada pembaca terutama remaja. Jadi, caranya adalah memberatkan elemen cinta-kasih-sayang dalam latarbelakang angkasa lepas.

6. Kata-kata bakal angkasawan (Dr.Syeikh Muszaphar ) tersebut yang menjadi pendorong atau pencetus semangat.

What Your Mind Believes, Your Body Can Achieve. (Apa yang boleh dicapai oleh minda, mampu dilaksanakan). Jadi, sebagai novelis juga sama - apa yang saya fikir, boleh saya tulis untuk menjadikan "dunia" itu realiti. Selama ini jika saya hanya berangan-angan untuk menghasilkan novel tentang keadaan 150 tahun lagi, kini saya dah buktikan ia bukan semata-mata khayalan!

7. Selain fakta mengenai kapal angkasa dan struktur pentadbiran dibulan, yang kak Norzailina cari di internet atau mana-mana buku, bagaimana pula maklumat yang akak cari mengenai “kehidupan” manusia itu sendiri dibulan?

Tentang struktur pentadbiran dan "kehidupan" manusia di bulan adalah picisan daripada siri tv/filem yang pernah saya tonton. Saya olahkan biar berbeza tapi masih dekat dengan realiti. Bila menulis sesuatu karya, semua pengalaman yang dikutip dulu, aka dicerna menjadi idea. Di sinilah kita harus mengutip yang relevan untuk dijalin ke dalam cerita. Cinta adalah lumrah biarpun manusia itu hidup 1000 tahun lalu atau 1000 tahun ke depan. Ia aspek universal.

8. Apabila kak Norzailina sudah mula menulis cerita yang lain pada novel terbaru ini, adakah bermaksud ianya kan terus kekal atau sekadar mencuba sesuatu yang baru.

Sekadar mencuba sesuatu yang baru tapi jikalau ada permintaan untuk menulis novel sebegini, insyaAllah saya akan sambut cabaran itu. Kita tidak dapat menjangkakan apakah 'impak' novel 'lain daripada yang lain' ini pada pembaca, bukan?

9. Harapan Kak Norzailina terhadap novel ini?

Harapan, sepertimana kebanyakan novelis lain, adalah untuk melihat novelnya mendapat sambutan "panas" (bukan sekadar "hangat", haha...). Selain daripada peminat novel yang gemarkan elemen cinta, saya harap ramai pembaca 'baru' di kalangan remaja/dewasa lelaki yang membacanya kerana terdapat juga aspek teknikal berkaitan 'space travel', gajet yang hi-tec, elemen 'surprise' dengan dendam dan pengkhianatan. Ia sebahagian idea anak lelaki saya yang berusia 18 tahun, jadi, anda boleh bayangkan bagaimana mindanya berfikir pada zaman siber ini...

10. Ada apa nak ucapkan untuk peminat Alaf21 FC semua .

Terima kasih kerana memberi sokongan tidak berbelah bagi pada novelis seluruhnya kerana kewujudan FC adalah untuk merapatkan lagi 'jurang' antara kita. Mudah-mudahan usaha saya menghasilkan IT menaikkan lagi semangat peminat Alaf21 FC yang sedang cuba menulis novel mereka sendiri...yang penting, dalam apa jua keadaan, semangat dan sikap positif sangat mustahak!

Itu sahajalah yang saya rasa sempat nak tanya-tanyakan pada kak Norzailina nih sebelum dia berlepas ke angkasa.. hahaha. Acah je tu. Tapi dari sambutan-sambutan yang diterima, memang novel terbaru nya ini amat unik dan lain dari kebiasaanya.

Apa-apa pun kita sama-sama doakan supaya " Impian Terindah " Kak Norzailina ini mendapat sambutan yang luarbiasa.

mersik

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati