-Aku bukan sekadar Mikhail pada sebuah nama, tapi aku adalah sesuatu yagn dicipta. Dicipta untuk merealisasikan impian. Memburu dan diburu di bawah satu nama yang sama... -
16 tahun hidupnya bagai pelarian di bumi asing. Mikhail muncul untuk misi belas dendam yang bertapak dalam sanubari setiap kali pintu kemarahan masa silamnya dibuka. Tragedi berdarah pembunuhan keluarganya sering diimbas oleh Uncle Dickens, orang yang telah menyelamat dan menjaga dirinya yang merupakan satu-satunya waris tunggal bagi keluarga Tuan Sadon. Malah Uncle Dickens jugalah yang bertanggungjawab menjadikan dirinya seorang yang berani mati untuk menuntut kembali segala hutang piutang dari rakan kongsi perniagaan arwah ayahnya Tuan Sadon.


Namun dalam kekuatan dan kebejatan yang dibentuk dalam dirinya,dia mengidap sejenis penyakit paranormal apabila retina matanya terdedah pada pantulan cahaya matahari atau silauan lampu yang terang lagi tajam. Tanpa di kawal, dia akan terlontar pada satu dimensi antara illusi dan realiti yang tidak pernah dia tahu di mana malah dia juga ditamu dengan watak-watak yang seakan dekat dengan dirinya. Tahir dan Mahmud, namun dia tetap gagal dalam misi mengingati segala peristiwa. Malah hidupnya juga kosong... kosong tanpa kenangan silam yang mampu di kenang.


Apa yang dia ada hanyalah cerita dari Uncle Dickens tentang kematian keluarganya yang dibunuh dengan kejam. Kenangan itulah yang menjadi barah dalam hati yang sering membuka pintu kemarahan untuk dendam bertamu lantas mengatur langkahnya dalam bertindak. Dia tidak pernah gentar melakukan pembunuhan demi menuntut keadilan dengan caranya tersendiri.


Akan tetapi misinya di Malaysia bagai membuka hijab yang sekian lama tersembunyi. Cinta yang tidak pernah dihiraukan bagai melambai bila pertama kali dia melihat potret Reina Raihana. Dia jadi tidak tega untuk membunuh gadis itu apatah baginya gadis itu tidak wajib memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain. Justeru itulah akhirnya dia diburu dan dijadikan target andai dia gagal dalam misi yang diamanahkan.


Mampukah Mikhail bertahan... siapakah dalang disebalik semua pembunuhan rakan-rakan niaga Tuan Sadon. Mr Yap, Mr Sundram mati di tangannya tapi bagaimana dengan Saiful, Datuk Seri Tan... Pembantu Jack, Datul Bakri dan Jack sendiri... Siapa yang bergelar sharpshooter selain dari dirinya? Mengapa note 1USD dijadikan sebagai killer singature untuk setiap yang menjadi mangsa.


Mengapa tiba-tiba Kharis menjadi seorang yang agresif selepas berada di dalam tahanan reman dan mengapa dia di tahan... Benarkah Tuan Sadon sekeluarga mati dibunuh oleh rakan-rakan kongsi yang berpaling tadah? Segalanya tersingkap dalam satu hijab yang hanya akan terbuka di akhir kalam seorang Mikhail.


Apa kata aku:-


Satu penjelajahan emosi yang sarat dengan kisah di sebalik kisah. Tentang penculikan, pembunuhan, kerakusan manusia yang tamakkan kuasa.Menyingkap keperbagaian isu yang melanda dunia dari kacamata seorang penulis. Garapan Ramlee Awang Mursyid kali ini jauh berbeda dari novel-novelnya yang terdahulu. Pada aku Mikhail membawa isu global. Isu yanga bukan sekadar untuk di pandang, tapi untuk difikirkan. Isu yang boleh menentukan jatuh bangunnya sebuah bangsa dan negara.


Apabila wang sudah memainkan peranan, makan tidak mustahil yang waras bisa gila. yang celik boleh buta dan yang bijak akan diperbodohkan oleh kebijakannya sendiri. Bagaimana kuasa wang memainkan peranan yang cukup besar dalam mengukuhkan kuasa, menidakstabilkan pertimbangan akal hingga sanggup mengadaikan dan maruah diri dan bangsa itu sendiri. Ramlee Awang Mursyid memanipulasikan segala isu ini dengan gaya penuh kreatif untuk menyuntik kesedaran buat semua golongan tak kira bangsa, agama dan latar belakang kerjaya. Menyindir dalam sinis pada sesetengah golongan yang cukup taksub mengejar wang dalam kerakusan kuasa.


Sesungguhnya menatap Mikhail bagai memberi kita ruang untuk berfikir... memikirkan natijah yang bisa berlaku andai kita terus alpa dengan permainan yang dipersembahkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Sesungguhnya tiada istilah bosan walau plotnya sering melangkau ke serata tempat di dunia, cumanya kita perlu lakukan sedikit pengorbanan dengan penumpuan yang tidak sedikit ditagih.


Apapun unsur flashback akan setiap kejadian silam memainkan peranan dalam membantu pembacaan agar tidak tersasar dari titik fokus plot yang seterusnya. Unsur suspen, beremosi, tanda tanya berjaya memainkan emosi pembaca. Rasa ingin tahu siapa di sebalik setiap hijap kejadian yang bagaikan bayang-bayang menjadikan buku ini sukar untuk kita lepaskan sebelum bertemu titik penamatnya.


Apa pun, ada dua perkara yang menjadi sedikit tandatanya:



Pertama:


Dalam frasa lima mukasurat 22, tidak dinyatakan habuan yanag diterima oleh Saiful atas persetujuannya menjadi corporate hitman. Sekadar penyataan jumlah sebanyak 100 000 sahaja.


[sebagai pembaca aku tertanya juga... apakah habuan itu dalam bentuk USD atau RM kerana ada juga dalam beberapa frasa yang lain dinyatakan habuan yang diterima oleh si penyanggup dalam RM... Jadi rasanya pada frasa ini juga sepatutnya diletakkan nilai matawang tersebut supaya pembaca tidak tertanya-tanya.]


Kedua:


Dalam frasa dua muka surat 348, Dialog antara Mikhail dan Zetty Erlina yang berbunyi


“Reina Raihana, macam mana Zetty Erlina?” Mikhail bersuara perlahan.


Waktu ini Mikhail yang merupakan suspek sedang dibawa oleh Zetty Erlina ke balai polis untuk ditahan. Jadi bagaimana wujudnya Reina Raihana di sini. Rasanya itu adalah dialog antara Mikhail dan Zetty Erlina yang menanyakan keadaan Reina Raihana bukannya Zetty Erlina.


Tapi aku tidak melihat kesilapan itu sebagai sesuatu yang mencacatkan.Mungkin unsur terlepas pandang sewaktu proses editing dijalankan telah mewujudkan kesilapan kecil sedemikian. Secara keseluruhan novel ini memang best... kelainan dengan rentak yang dimainkan oleh abang Ramlee membuatkan beliau terus betah mencanai identiti sendiri.


Syabas buat Abang Ramlee Awang Mursyid yang pada pengiraanku novel kali ini mengenengahkan satu penampilan yang berbeda dari yang telah aku baca sebelum ini. Moga masa-masa akan datang nukilan Abang Ramlee akan lebih mantap dengan isu yang pastinya tak kurang hebat dari yang telah ada. Tahniah sekali lagi....


Kalau sudi, jemputlah datang ke ladang anggur saya pada 29 February. Jangan risau, tiket penerbangan akan saya taja. Ajak sekali Reina Raihana dan Tahir. Itupun kalau saya masih bernyawa di bumi sementara ini...


Peminat setia
Pu3salju

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati