Salam ceria semua pengunjung blog Alaf21 FC! Semoga anda semua sihat sejahtera. Seperti yang dijanjikan, dengan sukacita saya menyambung kisah kunjungan ke Kampung Dusun Tua.

Telah diberitahu sebelum ini, ‘Wow!’ adalah perkataan pertama saya dan kawan-kawan yang lain tatkala kaki berpijak di tanah persekitaran rumah Kak Sharifah Abu Salem. Setelah salam diberi dan disambut, kami masih lagi leka menikmati keadaan sekeliling rumahnya. Merimbun kehijauan disana sini. Mengasyikkan dan menyejukkan mata yang memandang. Apatah lagi kedudukannya diatas bukit yang walaupun tidak setinggi mana, tetapi turut memainkan peranan.


Suasana yang nyaman dan sejuk ketika itu turut menyamankan perasaan. Tubuh yang agak penat dan lesu, tiba-tiba terasa segar pabila udara segar semulajadi dihirup. Apatah lagi wangi bauan hijau dan buah-buahan turut menjadi penyokong. Leka kami seketika dengan apa yang dihidangkan di hadapan mata. Kenangan menerawang kembali ke detik bercuti di Cameron Highlands dan Bukit Tinggi tidak lama dulu. Beginilah enaknya udara segar yang menanti dan menyambut kehadiran saya sekeluarga di sana.

Dengan senyuman mesra yang tersungging dibibir, Kak Pah hanya memerhatikan kami yang bagaikan orang jakun saja lagaknya, hehehe... jangan marah kawan-kawan. Siapa yang tidak terpikat dengan suasana yang jarang-jarang dapat kami nikmati. Maklum saja, kami semua tinggal di kawasan bandar. Kalaupun ada kampung, tetapi tidak begini suasananya. Rumah Kak Pah dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan. Dari pokok durian, manggis, rambutan, pulasan, ada juga duku langsat dan bermacam lagi, memang tak cukup mata menoleh kesana sini. Pendek kata, setiap pandangan terhala, pasti sudut menarik menanti santapan bola mata kami.

Ada pula kolam-kolam hiasan penambah seri. Tidak ketinggalan pondok kecil sebagai tempat bersantai disebelahnya. Tentu seronok kalau dapat duduk-duduk di situ sambil melihat ikan-ikan berenang di dalam kolam.

Melihat wajah manis Kak Pah yang masih tersenyum melihat ulah kami, saya mendapatkannya untuk bersalaman. Teruk kan? Sampainya bukan hendak bersalaman dulu, cuci mata didulukan. Tapi tidak mengapa. Kak Pah faham. Seorang demi seorang mula mendapatkan Kak Pah dan keluarganya untuk bersalaman. Kami dijemput memasuki rumah Kak Pah yang memang luas. Kami juga diberitahu bahawa beberapa orang kenalan termasuk Novelis Liza Zahira berkunjung sebelum kami sampai. Terlepas peluang nak bertemu dengan Novelis Liza Zahira!

Ahli keluarga Kak Pah begitu ramah melayan kami. Terharu kami dengan layanan yang dihulurkan. Layanan yang membuatkan kami tidak segan silu untuk membuat rumah Kak Pah seperti rumah sendiri! Hidangan tengahari sudahpun dinikmati bersama novelis Eyman Hykal dan Ramlee Awang Murshid, namun jemputan Kak Pah untuk menikmati juadah yang telah disediakan tidak kami pandang sepi.

Bak kata pepatah, musuh jangan dicari, rezeki jangan sesekali ditolak. Tanpa segan dan silu, hidangan yang ada kami nikmati. Pelbagai juadah dihidangkan untuk menjamu tekak kami, hingga tidak tahu yang mana nak makan dulu. Ada nasi dan lauk pauk, ada juga mee kari dan kuih muih. Alahaii...semua sedap-sedap, mana satu nak makan dulu ni? Hai perut, terima la segala pilihan tekak dengan gembira. Jangan buat hal pulak. Jauh perjalanan nak balik nanti!



( Sambil tersipu-sipu, sambil tu juga tersapu-sapu (apa yang ada di depan mata) )

Sambil menikmati hidangan, kami turut sama berbual dan bercerita itu ini. Melihat wajah ceria Kak Pah, berdetik hati saya. Ini agaknya rahsia kecantikan Kak Pah. Wajah yang sentiasa murah dengan senyuman. Tutur katanya pula sentiasa lembut meniti dibibir setiap kali suara di keluarkan untuk berbicara. Rumusan saya, Kak Pah memang seorang yang lemah lembut dan penyayang! Terserlah watak keibuan dan kewanitaannya.

( Budi, dengan gaya seorang peraih manggis )

Semasa kami di sana, rumah Kak Pah tidak putus-putus dikunjungi adik-beradik dan sanak saudaranya. Kebanyakan darinya tinggal disekitar-sekitar sini juga. Jadi, senanglah nak berkumpul-kumpul. Apatah lagi masing-masing ramah menyapa. Membuat saya terfikir, saya hanya akan menikmati suasana sedemikian bila ada kenduri kendara di rumah. Sekaligus saya jadi rindu dengan kaum keluarga saya!

Kawan-kawan yang lain begitu asyik menikmati hidangan. Dengan gurau dan gelak yang mengiringi, membuatkan sajian yang dinikmati cukup menyelerakan! Saya pula mengambil peluang berbual dengan anak dara Kak Pah. Kaki yang bersimen menjadi topik perbualan. Kasihan, kerana hendak mengelakkan kenderaan lain, motor yang dinaikinya tidak dapat dikawal dengan baik. Begitulah jika ada pemandu yang tidak berhemah dijalanraya. Orang lain menjadi mangsa! Semoga Sha cepat sembuh dari sakitnya.

Melihatkan mereka yang masih menikmati makanan, saya jadi kecur liur pula. Sepinggan mee kari diambil. Siap duduk bersimpuh di antara Ina dan Budi.

“Kenapa tak ambil sambal udang? Sedap tau,” Budi sengaja nak menambah lemak saya.
“Sabarlah. Tapi....”
“Apa?”
“Akak memang suka makan udang. Tapi suka makan isinya saja. Tak suka kopek kulitnya.” Malas sebenarnya!

“Ambil jek la, saya kopekkan kulitnya.”
“Betul ke ni?”
“Ya!” Saya pun apa lagi. Dah orang nak berjasa...hehehehe....

Huh! Sepinggan penuh sambal udang saya letakkan di hadapan Budi. Tanpa banyak cakap, satu persatu isi udang diletakkan ke dalam pinggan mee kari saya. Meleret senyum saya. Siap kongsi dengan Ina lagi. Terima kasih sekali lagi Budi. Lain kali boleh buat kerja sambilan ni lagi... Betul kata Budi, sedapnya sambal tu. Tak pedas sangat.

Selesai menikmati juadah di dalam rumah, seorang demi seorang mula bangun dari duduk masing-masing menghala ke berandah. Di luar sana sudah ada yang menanti kami dari seawal kedatangan kami lagi. Memang seronok berkunjung ke rumah Kak Pah ni. Macam-macam ada. Pemanjat pokok, pemetik buah-buahan dan penyambutnya pun ada!

Tapi....lain kali saja lah saya sambung. Sabar menanti ya...

Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati