Petang hari Sabtu , 28hb Julai 2007 lalu, seusai Program Baca Naskhah Ramlee Awang Murshid, dalam hujan gerimis yang membasahi bumi Kuala Lumpur, kami berombongan ke Dusun Tua, di Hulu Langat. Walaupun cuaca nampak kelam, namun ianya tidak sedikit pun mematahkan niat kami untuk meneruskan perjalanan. Malah, dalam hujan renyai, nyaman dan damai turut terasa. Sempat pula telefon tuan rumah untuk berpesan agar menanti kedatangan kami dengan sabar. Amboi!

Tiga kereta penuh terisi, berkonvoi menuju destinasi. Yang istimewanya, perjalanan tidak terasa jauhnya kerana sepanjang perjalanan, kereta yang kami naiki dihiasi dengan gurau senda dan gelak ketawa. Nasib baik kereta yang kami naiki stabil dan kuat. Bayangkan, bukan sahaja ia bergegar dek jalanraya yang kadang rata dan kadang berbongol. Tetapi gegak gempita yang kami hidangkan di dalam kereta itu turut menambahkan gegaran pada kenderaan itu.

Sedang si pemandu merangkap tuan empunya kereta dengan bersungguh-sungguh dan serius mengikuti kenderaan yang dikonvoi agar tidak ketinggalan atau hilang dek pandangan mata, penumpang-penumpang di dalamnya senang hati bergurau dan bergelak ketawa. Hehehe....baru pertama kali ni saya lihat kawan saya yang merangkap pemandu pelancong pada hari itu serius sikit. Selalu tu ada saja yang hendak diguraukan. Abang Long yang sakit kepala, dan baru sahaja menelan sebiji panadol Actifast, langsung tidak terganggu dengan ulah kami. Malah, dia pun sama saja turut menyakat!

Sedang kami menikmati perjalanan yang bertali arus dengan kenderaan, tiba-tiba Li Hoon, amoi yang sentiasa ceria, membuat kenyataan tergempar.

“Saya rasa lauk acar yang awak letak dibonet tadi tumpah lah. Baunya agak kuat ni. Tadi rasanya tidak diikat plastik lauk tu tau.” Laa....siapa lah yang punya kerja ni agaknya...

“Ye ke? Eh, ya la, memang ada bau acar. Kena berhenti ni,” Abang Long menyambut. Attokz di kereta hadapan, dihubungi dengan segera.

“Attokz, tolong berhenti sekejap. Kereta ada masalah sikit.” Saya menoleh kepada Li Hoon sambil tersengih. Tajam sungguh deria bauannya.

Setelah kami berhenti disimpang jalan, Attokz yang tadinya mendahului kami keluar dari keretanya dengan wajah yang tertanya-tanya. Saya buat selamba saja tunjukkan tangan ke arah belakang. Setelah bonet dibuka, memang benar seperti kata Li Hoon, plastik lauk acar tidak diikat! Nasib baik tidak tumpah. Kalau tidak, mesti kami semua dikerah Mersik untuk mencuci keretanya. Baru betul haru....iskh, iskh, iskh.... Bertambah sakit la kepala Abang Long nampaknya. Tapi tak perlu risau, saya sentiasa ada panadol bersama!


( Berbincang tentang arah perjalanan. Bukannya apa, takut sesat gitu )

Perjalanan disambung kembali. Sepantas kilat kisah acar dilupakan dan cerita lain dibuka. Bergegar lagi kereta Mersik. Memasuki ke daerah Hulu Langat, persekitaran perjalanan sungguh mengasyikkan. Kehijauan kiri kanan jalan mendamaikan saujana mata memandang. Terasa seperti kami dalam perjalanan pulang ke kampung. Rindunya!


( Apa-apa pun, kita posing dulu )

Memasuki kawasan Dusun Tua, ketua konvoi, Attokz dengan berhemah menerajui kami mencari rumah yang hendak dikunjungi. Kalau tidak silap, adalah 2-3 kali kami buat pusingan U dan berpatah balik mencari yang dicari. Nasib kami memang baik hari itu kerana ada ‘polis trafik’ merangkap Presiden Kelab Alaf21 FC yang sudi memberi khidmat kelas pertama iaitu menjadi Polis trafik secara mudim terjun. Siap arah kenderaan mana yang harus buat pusingan U dulu, yang mana perlu berundur. Pun begitu, masih lagi tidak berjumpa dengan rumah sasaran kami.

Tuan rumah kata, rumahnya yang bercat warna oren. Puaslah kami menoleh kanan dan kiri hinga berpusing-puisng kepala mencari rumah warna oren. Jumpa! Tapi kan.....gelihati saya tidak terkata, sebab bila menoleh kiri dan kanan, kedua-dua arah ada rumah yang bercat oren! Erks! Yang mana satu agaknya ni? Namun akhir, dua-dua pun bukan... alahaii.



Akhirnya, kami diturut oleh salah seorang ahli keluarga tuan rumah di salah satu simpang jalan yang terdapat di kawasan itu. Ah...lega.... Mahunya tidak, puas dah cari, masuk simpang ini dan itu, buat pusingan U, masih tak jumpa lagi. Nasib baik liputan untuk telefon bimbit luas di kawasan itu. Bayangkan jika tiada liputan dan tuan rumah tidak dapat dihubungi. Jenuh lah kami gamaknya bersiar-siar satu kampung. Tapi tidak pula terfikir hendak bertanya dengan orang kampung di situ. Kenapa ya? Mungkin kami merasa yang kami dah dekat dah...hehehehe. Saya rasa, paling sadis pun, kalau masih tak jumpa juga, saya akan kunjung ke setiap rumah berwarna oren bertanya nama tuannya!

Al-kisahnya kami harus mendaki lereng bukit untuk ke rumah yang ingin kami kunjungi. Mujurlah ada jalan tar untuk kenderaan turun naik ke sana. Tidak boleh saya bayangkan kiranya kenderaan harus di parkir di bumi rata dan kami harus menapak mendaki bukit Kampung Dusun! Aduh, ada yang minta minyak gamat untuk urut kaki la nampaknya.

Memasuki perkarangan menuju ke rumah yang kami cari, pemandangan sekitaran menggamit perasaan. Sungguh cantik dan menghijau! Kami dikelilingi dek pohon-pohon yang subur. Bukan itu sahaja yang menarik pandangan mata kami, yang lebih menarik adalah pokok buah-buahan yang mengelilingi kami! Pokok durian, cempedak, rambutan, dan banyak lagi. Tapi, yang paling menarik perhatian saya.....sebuah kereta Merscedez sports 500i berwarna perak yang diparkir dalam salah satu dusun berdekatan. Tuannya, seorang yang dalam pertengahan usia 40an mungkin, sedang sibuk mengatur buah cempedak. Untung betul jadi buah cempedak dapat naik kereta mewah tu!

Kawan-kawan yang lain, kerana asyik masyuk melihat pokok buah-buahan yang merata, langsung tidak menyedari hala pandangan saya, hinggalah saya bersuara.

“Eh, ya la. Kalau you tak cakap, I pun tak perasan tau,” Li Hoon bersuara sambil ketawa kecil. Yang lain ikut sama tertegun.

Bukan bermakna kami tidak pernah melihat kereta seumpama itu dimana-mana. Namun untuk berjumpa dengan kereta mewah sedemikian di kawasan dusun dan kampung adalah sesuatu yang jarang dapat dilihat. Sudah menjadi kebiasaan, seringnya barang yang mahal dan mewah ada tempat khas yang tersendiri. Selalunya juga kenderaan mewah sebegitu digunakan diwaktu santai sahaja. Satu pengajaran kepada saya pada hari itu, bahawasanya, setiap barang yang dimiliki punyai kegunaan tertakluk kepada kebijaksaan kita sebagai pemiliknya.

Akhirnya, sampai juga destinasi yang kami tuju. Fuh.....lega, selamat sampai kat rumah oren yang dicari! Tatkala kami keluar dari kenderaan masing-masing, melihat ruang persekitaran kediaman Kak Sharifah Abu Salem sekeluarga, kami semua mengeluarkan satu perkataan yang sama, Woww!

Rasanya cukup sampai disini dulu untuk kali ini. Akan saya cerita lagi tentang kunjungan kami di lain masa dan ketika. Banyak kenangan yang ingin dirakamkan ni.... tunggu!

Salam ceria..... dan selamat berhujung minggu.

Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati