Salamz semua! Ketemu lagi kita. Mari ikuti bahagian terakhir cerita kami berkunjung ke rumah Novelis Sharifah Abu Salem.



Seperti yang dikhabarkan, setelah menikmati hidangan didalam rumah, kami menikmati kesegaran di berandah pula. Sungguh ALLAH SWT maha PENGASIH dan PENYAYANG! Sedangkan sudah dua kali kami menjamu hidangan dalam masa tidak sampai 4 jam, kami masih lagi diberi kenikmatan menjamu selera dengan buah-buahan yang enak. Syukur Alhamdulillah!

Setengah dari kawan-kawan saya sudah siap bersila menghadap buah-buahan yang terhidang di hadapan mata. Yang lain pula masih belum puas menikmati persekitaran rumah Kak Pah sambil bergaya di sana sini situ. Nasib baik ada jurugambar berhemah dan baik hati. Tidak banyak kerenah pula. Jika tidak, hai, rugi keringat saja la gamaknya bergaya sakan.

Kawan-kawan yang duduk bersila sambil menikmati keenakan buah-buahan tidak ambil pusing langsung dengan ulah kami. Jemput pun tidak! Kak Pah dan keluarganya saja yang susah hati melihatkan kami yang seakan tidak peduli. Bukan macam tu Kak Pah. Ini strategi namanya. Untuk legakan sikit ruang perut yang agak senak!



Setelah puas bergaya di pelbagai sudut, kami pun apa lagi. Let’s join the party! Saya berdiri di sebelah Kak Pah yang sedang duduk santai sambil memerhatikan setiap yang hadir menikmati buah-buahan yang disediakan. Jelas terpancar keikhlasan di wajahnya.

Saya ikut memerhatikan satu persatu kawan-kawan saya. Macam-macam stail! Yang pasti, tidak seorang pun yang segan silu menghadap buah-buahan di depan mata. Suami Kak Pah pula dengan senang hati mengopek buah durian satu persatu dan disuakan kepada kami. Rambutan, manggis, duku langsat....mana satu nak makan dulu ni? Hmm... ternampak pula pulasan bergayut-gayut di dahan pokoknya. Aduh....

Tiba-tiba, saya teringat sesuatu. Amboi....masing-masing, dah jumpa Kak Pah, dah dapat makan macam-macam hidangan, dah hadap durian dan buah-buahan yang enak, lupa pesanan seseorang! Yang lain hanya tersengih bila saya berseloroh menegur kealpaan. Kak Pah ikut sama gelihati dengan ulah kami.

“Oh ya Kak, Encik Norden kirim salam. Dia tak dapat ikut sama.” Tiba-tiba saya teringatkan pesan Encik Norden. Seronok sangat makan, sampai terlupa nak menyampaikan pesannya. Tidak sengaja, terlupalah tu. Tapi tak apa, yang penting pesan salam tu sampai!

Tidak cukup dijamu dengan buah-buahan didepan mata, ada antara kami yang mula merayap di pokok-pokok buah-buahan. Pokok pulasan dan rambutan menjadi sasaran. Ada pula yang baik hati memanjat pokok untuk memetik buah-buahan yang memanggil-manggil. Terimakasih pada Budi dan Arlen yang tidak segan silu bermanja dengan pokok-pokok tu. Begitu juga dengan Attokz yang senang hati memetik buah-buah pulasan. Apatah lagi tubuhnya yang memang tinggi lampai, mudah saja dia memulas pulasan-pulasan tu. Anak Ina, Izzati dan Adilah tidak mahu ketinggalan. Siap panjat tangga! Terpekik ibu mereka, takut kalau-kalau anaknya terjatuh.

Sementara mereka sibuk memetik buah-buahan, saya mengambil peluang duduk berbual santai dengan Kak Pah. Terasa seperti sudah kenal lama, walaupun itu pertama kali bersua muka. Ramah dan mesra Kak Pah akan saya simpan dalam kenangan.

Dalam pada kami sedang bercerita, beberapa orang kawan-kawanku sedang sibuk buat pembahagian harta rupanya. Untungnya kami hari itu. Dijamu makan dengan hidangan yang enak-enak, buah-buahan yang segar bugar dan manis. Dapat dibungkus untuk dibawa pulang lagi! Bersungguh-sungguh mereka memasukkan buah rambutan dan duku langsat serta pulasan ke dalam plastik-plastik yang disediakan. Siap disukat lagi!

“Agak-agak berapa kilo ni?” Abang Long bertanya apabila seplastik buah duku langsat disuakan kepadanya.

“Dalam sekilo lebih kot,” Iza menjawab.

“Banyak ni mana cukup. Untuk Abang Long, sekurang-kurangnya 5 kilo!” Serius pula wajah tu walau berseloroh. Terpinga-pinga juga Iza dengan kenyataan Abang Long tu. Kami yang dengar perbualan tu tidak tertahan ketawa. Ya lah, ahli keluarga ramai. Silap haribulan, belum sampai rumah dah habis dikerjakan dalam kereta semasa perjalanan pulang!

Saya rasa, inilah program yang tidak mungkin dilupakan oleh adik NorAkmah, salah seorang peserta Baca Naskhah Ramlee Awang Murshid. Selain dari dapat beramah mesra dan bergambar dengan abang RAM, beliau juga ditakdirkan berjumpa dengan salah seorang guru sekolah lamanya dirumah Kak Pah. Guru yang telah empat tahun tidak ditemui, akhirnya di Dusun Tua mereka ditemukan.

Kami merasa sangat terharu dengan sambutan dan layanan yang diberikan oleh Kak Pah sekeluarga. Mereka sefamili memang best dan cool! Melayan kerenah kami satu persatu dengan santai dan bersahaja. Membuatkan perasaan segan dan malu kami entah merayap kemana agaknya. Langsung hilang tatkala berdepan dan bermesra dengan seorang novelis yang berkaliber seperti Kak Sharifah Abu Salem. Atau adakah kami yang terlupa bahawa kami sebenarnya sedang bersama Kak Pah waktu itu? Adush!

Bergelak ketawa dan bergurau senda membuatkan kami terlupa pada masa yang sentiasa mencemburui kami. Hari sudahpun hampir senja. Suka atau tidak, kami harus juga bermohon diri dari Kak Pah sekeluarga untuk berundur pulang.

“Tidur la sini. Sesekali datang. Bilik banyak yang kosong tu,” pelawa Kak Pah.
Namun apakan daya, walaupun ditahan-tahan oleh Kak Pah sekeluarga, setiap dari kami ada yang menanti dirumah masing-masing. InsyaALLAH, lain kali ya Kak Pah. Dengan famili sekali kot.

Ingin kami merakamkan setinggi-tinggi TERIMAKASIH kepada Kak Pah sekeluarga yang sudi menerima dan melayan kunjungan kami dengan mesra. Kak Pah memang happening! Langsung tidak kisah dengan perangai gila-gila peminat-peminatnya yang berkunjung pada hari itu. Kami pula, selamba saja buat rumah Kak Pah macam rumah sendiri. Terima kasih juga di atas jemputan untuk ke sana lagi pada bila-bila masa sahaja.

InsyaALLAH Kak Pah, sekiranya ada masa luang dan dengan izinNYA, akan dijejakkan lagi kaki kami ke rumah Kak Pah. Memang kami seronok di sana! Mungkin lain kali boleh kami buat percutian ‘homestay’ di rumah Kak Pah, sekaligus bertapa jadi anak murid...hehehe.

Di kesempatan ini juga kami mendoakan semoga Kak Pah sekeluarga sentiasa sihat sejahtera. Harapan kami, Kak Pah terus berkarya dan sukses dalam apa jua bidang yang diceburi. Kami tidak jemu menantikan karya-karya terbaru dari Kak Pah!

Kalau ada sumur diladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi.

Jika ada jarum yang patah
Jangan disimpan didalam peti
Jika ada silap dan salah
Maaf dan ampun pohon diberi.

Salam hormat dari kami semua.

Dalam perjalanan pulang, kami dibawa oleh Attokz menikmati keindahan kotaraya Kuala Lumpur di lereng bukit. Tidak jauh dari Menara Tinjau. Memang benar katanya. Pemandangan yang cantik dan mengasyikkan! Tidak mungkin saya lupakan kenangan indah 28hb Julai 2007. Bukan sahaja meriah, malah sangat menghiburkan hati saya.

Kepada semua novelis, Abang Eyman Hykal, Abang Ramlee Awang Murshid dan Kak Sharifah Abu Salem, terima kasih di atas layanan santai dan istimewa dari kalian semua. Kepada semua yang menjayakan program PAsiNo 1 dan 2 pada tarikh tersebut, seharian bersama kalian memang d’boom! Walaupun ada di antara kami yang baru sekali bersua, kemesraan yang terjalin harap berkekalan.

Moga bertemu lagi di lain masa dan ketika. Salam mesra untuk semua.

Delegasi 28hb Julai 2007, Alaf21 FC

Salmah

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati