Aku bukan pujangga handalan yang bisa bermain madah

Bukan juga penyair yang menjadikan bahasa mainan lidah
Aku sekadar insan kerdil penuh kedhaifan
Namun masih punya rasa dan angan-angan
Mempersembahkan sesuatu yang mungkin tak bernilai
Buat tatapan mu
Bersama secalit harapan
Agar ada kesudian di hamparan hati mu
Untuk menerima seadanya dari insan seperti diriku ini

Suara Hati memanggil untuk mengenali dirimu yang selama ini sekadar berada dalam sebuah pandangan dari kejauhan. Mungkin rasa takut atau malu melingkari diri untuk kau ku hampiri lantas mendekati. Namun dalam pandangan yang jauh itu sebenarnya aku rasa damai melihat seraut wajah tenang dan manis yang kau miliki.

Yang Terindah sebuah kenangan yang tak mungkin mampu ku lupakan. Tanggal 06 May 2007 jam 05.00 petang di PWTC akan terus terpahat kukuh sebagai tugu di memori hati. Segalanya berada dalam ketentuan. Keizinan dariNYA yang memberikan aku kekuatan akhirnya memudahkan proses untuk dirimu ku hampiri. Biarpun di awalnya, aku benar-benar rasa kurang percaya dengan apa yang ku dengar malah suara hati ini juga bagai enggan mengakui apa yang di sampaikan oleh mereka pada ku. Benarkah penulis yang sudah punya sebuah nama besar di pesada dunia penulisan tertanya-tanya gerangan pemilik nick yang hanya sekerdil diriku. Biarpun hakikatnya aku ni besar.

Tiada yang istimewa Chempakabiru ini jika mahu kau bandingkan dengan insan-insan yang sering berada di sisimu. Aku hanyalah insan yang sering memerhatikan dirimu dari kejauhan… mengenali diri mu lewat garapan ilham yang ku sajikan biarpun hakikat tidak banyak novel mu yang menjadi milik peribadiku tapi itu tidak bermakna aku tidak sedar akan kewujudan mu di pesada yang amat aku minati.

Manisnya Cinta tidak hanya pada teruna dara. Tapi pada ku manisnya sebuah cinta bila aku dapat mengenali orang-orang yang telah berjaya yang boleh ku jadikan inspirasi dan idola dalam mengejar pelangi impian. Mungkin ada yang bakal mengatakan.. di sebabkan pertemuan tempohari aku jadi fanatik dalam menyusun kata. Ingin ku perbetulkan statement yang mungkin kini berlegar di minda mereka Aku bukan insan hipokrit yang hanya tahu memuji tanpa keikhlasan.. bukan juga insan pengkritik untuk membunuh usaha yang telah orang lain laksanakan. Aku lakukan keduanya berdasarkan fakta yang aku perolehi.

Tiga garapan mu tidak mengecewakan. Malah aku kagum dengan cara dan gaya yang kau persembahkan. Biarpun aku tidak mengenali dirimu seperti mana mereka yang lain, tapi aku yakin tiap kali kau bercanda dengan ilham anugerahNYA, kau akan pastikan hidanganmu nanti akan mengenyangkan orang yang menikmatinya.

Gemersik Kalbu beralun dalam tiap watak yang kau lakonkan. Mereka seakan hidup dan mampu membawa diri ini bersama dalam tiap situasi yang tercipta. Menangis bila mereka yang kau cipta berduka dan tertawa bila mereka tersenyum bahagia. Itulah kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkanNYA buat insan seperti dirimu.

Kau Kekasihku sebagai guru dan teman Kau kekasih ku sebagai pencetus semangat dan iktizam. Tiada yang mustahil di gapai andai usaha dan kesungguhan di iringkan bersama dalam doa kudus yang di pohon pada DIA yang maha pengasih lagi penyayang terhadap sekelian isi alam ciptaanNYA.

Bayangan Rindu ini akan terus berlari seiring dengan langkah. Menanti dan mencari apa yang bakal kau persembahankan seterusnya. Di mana destinasi yang bakal berpaksi pada pesada penulisan yang tak mungkin bertemu nokhtah pengakhirnya. Moga kau akan sentiasa sejahtera untuk terus memberi warna pada jiwa yang tandus untuk terus melihat tarian dan lakonan watak-watak yang bakal kau ciptakan lagi mengikut skrip dan kronologi yang berarcakan reality sebenar akan sebuah kehidupan.

Ilham Rasa
Pu3Chempakabiru
090507 1230pm

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati