Selain dari kami yang menceritakan tentang kemeriahan pesta buku yang lalu, ada juga kiriman dari peminat yang turut teruja dengan pesta tersebut. Kita ikuti tentang perasaan peminat yang bernam ila ini, yang turut merasai keseronokan berpesta buku dan berjumpa novelis pujaannya.

Kehadiran Pesta Buku Antarabangsa di PWTC telah pun diketahui olehku seawal bulan Januari lagi melalui seorang kawan yang bekerja di Berita Harian dan teman tapi mesraku yang juga merupakan seorang novelis yang kini telah pun membuka syarikat penerbitannya sendiri.

Aku begitu teruja menanti kedatangan Pesta Buku Antarabangsa kerana aku bukan sahaja dapat membeli buku dengan harga yang jauh lebih murah tetapi aku juga berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan novelis - novelis kegemaranku . Jika sebelum ini aku memperuntukkan lebih kurang RM200 setiap bulan untuk membeli bahan bacaan tapi bagi Pesta Buku pada kali ini aku telah memperuntukkan lebih kurang RM500 untuk membeli bahan bacaan bagi diriku dan anak-anak.


Sebaik sahaja berlangsungnya Pesta Buku yang bermula pada 4 April 2008, aku bertemankan dua orang buah hati pengarang jantungku telah menerjah ke sana pada hari Ahad, bersamaan 6 April 2008. Setibanya di sana, kelihatan selautan manusia bersesak-sesak menuju ke booth masing-masing. Destinasi awalku sudah pastilah ke booth teman novelisku iaitu Fauziah Ashaari. Beliau kini telah pun membuka syarikat penerbitannya sendiri di selatan tanah air yang dinamakan Intens Media.

Apabila melihat booth Alaf21, aku berasa mabuk melihat novel yang beraneka jenis dan warna yang terdapat di rak - rak yang disediakan . Namun keghairahanku untuk membeli novel di situ agak terbantut kerana aku tidak melihat walau seorang pun novelisnya berada di situ seperti tahun-tahun yang lalu.

Namun aku bernasib baik kerana ada seorang pokcik yang baik hati telah memberitahuku lokasi sebenar novelis - novelis tersebut. Tanpa berlengah lagi, aku terus menuju ke booth Alaf21 yang terletak di tingkat bawah.

Setibanya di sana, aku mampu tersenyum lebar kerana terdapat beberapa orang novelis yang terkenal seperti Aisya Sofea, Ramli Awang Murshid, dan beberapa orang lagi penulis baru berada di tempat duduk masing - masing. Namun aku berasa sedikit hampa kerana tempat duduk novelis Anis Ayuni, Meen Zulaikha, dan Norzailina Nordin kosong . Membuang rasa malu, aku bertanyakan Encik Norden akan hal tersebut dan beliau memberitahuku bahawa ketiga-tiga novelis tersebut keluar sebentar.

Oleh itu aku pergi ke rak buku untuk memilih novel yang berkenaan di hati. Gembiranya rasa di hati kerana terdapat banyak novel-novel baru yang masih panas hasil karya Anis Ayuni, Aisya Sofea, Damya Hanna, Norzailina Nordin, Meen Zulaikha, dan beberapa penulis yang masih baru.

Mungkin sudah suratan atau kebetulan, novel Aisya Sofea, Damya Hanna, dan Meen Zulaikha diletakkan sebagai trionovel dan dijual dengan harga RM48. Jimat sikit bajetku. Hanya buku Anis Ayuni dan Norzailina Nordin sahaja yang terpaksa aku beli asing - asing. Selain itu aku juga turut menyambar beberapa buah novel penulis baru, buku motivasi, buku agama, dan sebuah buku English untuk kanak - kanak, ' Simple English for Kids'.


Sementara menunggu ketiga - tiga novelis tersebut datang semula, aku ke tingkat atas untuk mencari buku rujukan dan buku kerja buat anak- anakku . Ketika meninjau - ninjau booth di situ, aku terjumpa dengan abang long. Senang hatiku melihat beliau yang kelihatan lebih ceria dan sihat sedikit. Didoakan beliau akan pulih sepenuhnya dan kembali semula ke alam maya . Setelah bertegur sapa dan berbual-bual buat seketika kami menuju ke destinasi masing - masing .

Aku berasa macam nak gila melihat buku-buku kerja dan buku - buku rujukan yang dijual dengan harga RM1 sahaja untuk sebuah. Selain murah, isi kandungannya adalah mengikut sukatan yang terkini . Apalagi, aku dan beberapa orang ibu bapa lain berebut - rebut memilih buku untuk anak masing - masing. Dalam tak sedar aku telah mengambil lebih kurang 50 buah buku kerja dan buku rujukan untuk anak - anakku.

Alamatnya lepas ni termuntah - muntahlah anak - anakku untuk menjawab soalan - soalan dalam buku kerja yang aku belikan itu. Selain itu aku juga turut membeli beberapa buah buku lain yang agak berkualiti dan harganya juga agak berpatutan, jauh lebih murah kalau dibeli pada hari biasa. Sebelum balik aku sempat mendapatkan tandatangan ketiga-tiga novelis tersebut sambil beramah-ramah mesra dengan mereka .

Kedatanganku bukan hanya pada hari itu sahaja tetapi pada hari Selasa berikutnya aku datang lagi bersama dengan kawanku. Niat asal cuma nak menemankan kawanku sahaja tetapi akhirnya aku turut membeli beberapa buah novel lagi di booth yang lain, beberapa buah majalah masakan di booth Karangkraf, dan beberapa buah buku kerja lagi untuk anak-anakku .

Pada hari penutup Pesta Buku, aku sekali lagi datang ke sini. Tapi kali ini kedatanganku lebih kepada untuk mendapatkan tandatangan novelis pada novel-novel yang telah aku beli disamping untuk bertemu dengan beberapa orang teman tapi mesraku. Seperti biasa, aku memang tidak dapat menolak keinginanku untuk membeli beberapa buah novel dan buku lagi .


Sesungguhnya aku dengan buku memang tidak dapat dipisahkan . Bak kata suamiku, tidur buku, makan buku , tengok tv buku, semuanya buku . Kalau datang angin gilaku, aku boleh habiskan tiga buah novel setebal 600 muka surat setiap satu dalam masa satu hari sahaja .

Oleh kerana kegilaanku kepada buku terutama sekali novel, maka Pesta Buku merupakan sesuatu yang aku nanti - nantikan setiap tahun dan sudah semestinya aku tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir ke setiap Pesta Buku yang diadakan .

~ Ila ~

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati