Pertama sekali saya mengucapkan tahniah pada Aleya Aneesa kerana menghasilkan novel terbaru bertajuk “Janjiku Bersamamu”. Kisah novel ini mengingatkan saya dengan garapan beliau yang terdahulu iaitu “Semusim Rindu”. Ada persamaan sikit cuma jalan cerita yang berbeza. Saya meminati garapan Aleeya sejak novelnya yang pertama lagi.

Ternyata beliau masih dapat mengekalkan gaya penulisan dan bahasa beliau dengan baik dan sempurna. Ada beberapa adengan lucu yang turut diselitkan. Saya turut terhibur dengan ayat beliau “hitam macam buntut kuali”. Membuatkan saya ketawa bak kerang busuk tersengih keseorangan.

Bila saya menyelami watak Dhamira Rysda, ia mengingatkan saya juga kepada watak Hajar Nadirah dalam “Semusim Rindu”. Bila Aleeya melakarkan watak Dami adalah seorang gadis kacukan Inggeris bermata biru, kulit putih melepak, saya membayangkan Aleeya sendiri kerana Aleeya juga memiliki ciri-ciri tersebut.

Dami adalah seorang gadis yang cekal, tabah, cantik dan manja dengan papanya, Aly Rashid. Walaupun tidak diterima sebagai cucu kerana darah yang mengalir ditubuhnya adalah campuran bangsa penjajah, namun Dami tidak pernah lupa asal usul dirinya. Walaupun diri terluka kerana tersisih, tetapi Dami tahu sebagai seorang anak dan cucu, dia yang harus mengalah.

Saya begitu tersentuh hati apabila mengenangkan nasib diri Dami di awal permulaan kehidupannya bermula. Dibenci oleh ibu tiri, adik beradik tiri, datuk dan nenek sendiri membuatkan saya menangis di pertengahan cerita kerana saya menyelami perasaan duka Dami. Lebih menyayat hati apabila Zamirul, anak kepada Dami terlibat dengan kemalangan dan menjadi buta. Masa itu saya membayangkan bahawa Dami adalah seorang ibu yang baik, mulia kerana sanggup berkorban untuk keluarga dan anaknya. Aleeya berjaya membawa diri saya ke dalam daerah kegelapan tersebut.

Aleya telah membuktikan bahawa kita sebagai seorang insan harus ada sikap saling menyayangi, menghormati dan memaafkan kesalahan orang lain. Biar apa jua dugaan yang diuji, setiap kesabaran itu membuahkan kebahagiaan. Kebahagiaan dalam rumah tangga penting dengan saling mempercayai satu sama lain dan saling membantu antara satu sama lain.

Semoga ia dapat memberi kita teladan ke atas kekhilafan setiap insan di atas muka bumi ini.

~ Rosha


Perhatian :

Untuk anda semua, jika belum mendapatkan novel terbaru Aleya Aneesa, jangan lupa ke Pesta buku Sabtu dan Ahad ini. Manalah tahu anda juga berpeluang untuk bersua dan beramah mesra dengannya.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati